Feb 23, 2011

Takrif “Bon Pelaksanaan”

Martin[1] mentakrif “bon” sebagai akujanji bertulis di mana seseorang itu mengikat dirinya kepada pihak lain untuk melakukan sesuatu. Bon Pelaksanaan pula ialah satu bon yang menjamin dengan teguh[2] bagi pelaksanaan sesuatu kontrak, dan biasanya termasuk juga tempoh menanggung kecacatan[3]. Amaun yang akan dibayar pula telahpun ditentukan terlebih dahulu[4]. Daripada perspektif projek pembinaan, menurut Victor[5], bon pelaksanaan adalah akujanji untuk membayar apabila kontraktor gagal melaksanakan kerja, iaitu akujanji untuk membayar amaun yang dinyatakan kecualilah pelaksanaan tercapai, dan ia berkaitan masa dan harga. Bon pelaksanaan diberikan sama ada oleh bank atau syarikat insurans[6].  Bagi Robinson dan Lavers[7] bon pelaksanaan ialah bon yang dikeluarkan (sebagai balasan bayaran premium) oleh kontraktor, biasanya oleh bank atau syarikat insurans, bagi faedah dan atas permintaan majikan (klien projek), untuk suatu amaun faedah yang maksimumnya telah dinyatakan, yang boleh dikuatkuasakan dalam hal kontraktor gagal, memansuhkan (atau dimansuhkan) kontrak, atau digulung. Uff menyatakan[8], apabila kontraktor gagal melaksanakan kerja sepenuhnya, majikan (klien) berhak menuntut bon itu dibayar kepadanya ke tahap amaun maksimum. “Kontrak jaminan” ada dibincangkan oleh Anson[9] secara umum, iaitu suatu janji untuk melunaskan hutang, perlanggaran atau kegagalan pelaksanaan. Takrif “bon pelaksanaan” daripada perspektif tuanpunya projek ada diberikan oleh Donohue dan Thomas[10] iaitu suatu bon yang menjamin tuanpunya projek bahawa kontraktor akan menyiapkan projek mengikut terma-terma kontrak termasuk harga dan masa.
Walau pun sesuatu surat jaminan itu tidak dinamakan bon pelaksanaan tetapi jika intipati surat itu merujuk kepada obligasi yang serupa seperti bon peraksanaan, maka surat jaminan itu masih dianggap bon pelaksanaan bagi maksud penguatkuasaannya. Contohnya, Patel Holdings Sdn. Bhd. lwn. Estet Pekebun Kecil dan seorang lagi[11] , sebuah bank mengeluarkan tiga surat jaminan bagi menjamin pelaksanaan kontrak bagi amaun jaminan RM250, 000. Antara kandungan surat itu ialah:
“Sebagai balasan kepada...maka kami dengan ini menjamin kepada tuan sejumlah RM250, 000 sebagai deposit jaminan yang dikehendaki di bawah kontrak tersebut ...”
Selah merujuk keputusan Edward Owen Engineering Ltd. lwn. Barclays Bank International Ltd.[12] dan United Trading Corp. S.A. & Murray Clayton Ltd. lwn. Allied Arab Bank Ltd. & lain-lain[13], di mana dikatakan suatu bon pelaksanaan adalah sama kedudukannya seperti suatu surat jaminan (surat kredit) yang meletakkan tanggungjawab kepada bank untuk membayar mengikut terma-terma surat itu, maka hakim Wan Adnan[14] menyatakan bahawa surat jaminan tersebut adalah bon pelaksanaan.


[1] Martin, E.A. 1983. The Concise Dictionary of Law. Oxford: Oxford University Press.

[2] JW Surety Bonds. 2007. Contract bonds: performance bond. www.jwsuretybonds.com/performance_bond.htm. [3 Julai 2007].

[3] McIntyre, M. 2005. Mitigating real Estate Construction risk: hor surety bonds protect borrowers and bankers. The Risk Management Association (RMA) Journal. November., m.s 46-52.

[4] USLegal.com. 2007. Bonds construction law & legal definition. http://definition.uslegal.com/b/bonds-construction/  [8 Julai 2007]

[5] Victor, R. 2006. Developing of construction bond. LawyerIntl.com. http://lawyerintl.com/modules?AMS/article.php?storyid=2871 [8 Julai 2007].

[6] BNet Business Dictionary. 2007. Business definition for: performance bond. http://dictionary.bnet.com/definition/performance+bond.html [8 Julai 2007].

[7] Robinson, N.M. & Lavers, A.P. 1988. Construction Law in Singapore and Malaysia. Singapura: Butterworths & Co.(Asia) Pte. Ltd., m.s. 80.

[8] Uff, J. 1985. Construction law. Edisi Ke-4. London: Sweet & Maxwell Ltd., m.s. 166.

[9] Guest, AG. (Ed.). 1975. Anson’s law of contract. Edisi ke-24. Oxford: ELBS & Oxford University Press., m.s. 76. Lihat juga Issaka Ndekugri .1999. Performance bonds and guarantees: construction owners and professionals beware. Journal of Construction Engineering and Management. Nov. /Dis. 1999, m.s 428-436, yang  juga membincangkan takrif “jaminan” dan “bon”.

[10] Donohue, D. dan Thomas, G. 1996. Construction surety bonds in plain inglish.  Kilcullen, Wilson & Kilcullen. New York: Federal Publications, Incorporated, m.s. 1.

[11] (1989) 1 M. L. J. 190 (Mahkamah Tinggi)

[12] (1978) Q. B. 159

[13] (1985) 2 Lioyd’s Rep. 554.

[14] Op. cit. Nota kaki 12, m.s. 192.


Di atas adalah cabutan daripada artikel Abdul Aziz Hussin (2008) Penggunaan bon pelaksanaan dalam projek pembinaan. KANUN (Journal of Malaysian Law), 20 KANUN (3):1-20.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.