HUKUMAN MATI: HUJJAH YANG MENYOKONG DAN MENENTANG
Banyak juga hujjah yang dikemukakan oleh pakar-pakar sosial dan undang-undang berkaitan pengenaan hukuman mati. Satu pihak menganggap hukuman mati adalah kejam dan mesti dielakkan. Satu pihak lagi menyokong pelaksanaan hukuman ini terhadap penjenayah di dalam beberapa kesalahan tertentu. Masing-masing pihak mengemukakan alasan masing-masing demi menegakkan pandangan masing-masing.
Daripada lipatan sejarah perundangan yang diketahui, Bedau, H.A.12 menyatakan bahawa salah satu kempen pertama penentangan terhadap hukuman mati telah dibuat oleh Cesare Beccare dalam tahun 1764 di Itali, iaitu melalui penulisannya berjodol “Tratto dei e delle pene “. Di Amerika Syarikat, ACLU (American Civil Liberties Union) telah meneraju penentangan terhadap hukuman mati. Secara iktisar, mereka menentang hukuman mati atas alasan ianya bertentangan dengan moral, praktis dan perlembagaan, iaitu, antaranya seperti berikut:
- Hukuman mati adalah kejam dan luar biasa. Ia adalah peninggalan penologi kuno iaitu semasa zaman perhambaan lagi dan ia berunsur amalan gasar (tidak bertamaddun);
- Jika tidak dikenakan hukuman mati, ia tidaklah pula bermakna memberi simpati kepada orang-orang yang melakukan kejahatan, misalnya membunuh. Ini kerana pengenaannya (hukuman mati) itu pula menjadi bertentangan dengan moral kehidupan manusia;
- Jika hukuman mati dilaksanakan, dan jika selepas itu ada kes di mana keterangan baru diperolehi kemudian hari (misalnya yang membuktikan orang berkenaan tidak bersalah), ia tidak dapat lagi digunakan kerana orang itu telah pun menjalani hukuman mati13;
- Hukuman mati adalah melanggar perlembagaan yang menetapkan perlindungan yang saksama di sisi undang-undang; dan
- Pengenaan hukuman mati merugikan sumber (masa mahkamah, pendakwa, pembela, kewangan dan lain-lain).
Namun dipihak yang menyokong hukuman mati turut memberi sebab dan alasan kenapa hukuman mati perlu dilaksanakan, iaitu, antaranya seperti berikut:
- Menggunakan teori; “hapuskanlah”, iaitu pembunuh perlu dihukum bunuh atas alasan pembalasan (retribusi). “Pembunuh perlu menderita, dan hukuman penjara seumur hidup adalah seksaan yang tidak memadai sebagai balasan atas pengambilan nyawa (oleh pembunuh)”14.
- Ia sebagai deteran (menghalang): Kita perlukan hukuman mati untuk menyokongnya, kerana dengan adanya hukuman mati ia dapat mengelak pembunuh berpotensi daripada melakukan pembunuhan15.
- Ianya bagi menghapuskan perbuatan jenayah sedemikian, misalnya perbuatan membunuh16.
HUKUMAN MATI DAN HAK KEADILAN ASASI
Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia,17 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut membincangkan dan menetapkan prinsip berkaitan hukuman (yang tentunya termasuk hukuman mati) dan hubungkaitnya dengan prinsip hak asasi manusia. Menurut Perkara 11.2 Perisytiharan Hak Asasi Manusia, jika hukuman (terhadap pesalah) akan dikenakan maka hukuman itu hendaklah tidak lebih berat dari peruntukan undang-undang sedia ada yang terpakai ketika kesalahan jenayah itu dilakukan. Perkara 11.2 memperuntukan seperti berikut:
“Tiada sesiapa pun boleh diputuskan bersalah atas sebarang kesalahan keseksaan oleh kerana sebarang tindakan atau ketinggalan yang tidak merupakan suatu kesalahan keseksaan, di sisi undang-undang negara atau antarabangsa, pada masa ianya dilakukan. Tiada pula boleh dikenakan sebarang hukuman yang lebih berat dari hukuman yang terpakai ketika kesalahan keseksaan itu dilakukan”.
Ini bererti jika seseorang penjenayah melakukan jenayah yang hukuman perbuatan itu tidaklah termasuk hukuman mati, maka mahkamah tidak boleh menghukum penjenayah berkenaan dengan hukuman mati.
Perkara 5 Perisytiharan Hak Asasi Manusia juga menetapkan bahawa jika sesuatu seksaan atau hukuman perlu dijalankan maka ia tidak boleh dalam bentuk atau cara yang zalim, tidak berkeperimanusiaan atau menghinakan. Dengan itu jika hukuman mati akan dikenakan terhadap seseorang penjenayah, misalnya seseorang pembunuh kejam, maka dia tidak boleh dikenakan hukuman mati dengan cara atau berbentuk zalim, tidak berkeperimanusiaan atau menghina, contohnya dengan membakar penjenayah berkenaan dalam tempat pembakaran sampah atau menenggelamkannya ke dalam takungan kolam najis atau diselam di dalam takungan asik formik! Ini sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perisytiharan Hak Asasi Manusia yang memperuntukkan bahawa setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri. Ini pula ditekankan lagi di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan (yang akan penulis bincangkan selepas ini).
Seperti dinyataka sebelum ini, di Amerika Syarikat, salah satu hujjah yang diketengahkan dalam menentang kewujudan hukuman mati ialah berdasarkan hujjah bahawa ianya melanggar Perlembagaan Amerika Syarikat. Perkara ini pernah diketengahkan oleh pihak pembela dalam beberapa kes mahkamah. Namun akhirnya dalam bulan Julai 1976, dalam kes Gregg lwn. Georgia,18 Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan bahawa hukuman mati tidaklah sedikit pun melanggar Perlembagaan Amerika Syarikat (yakni berkaitan hak asasi).
Keesahan pengenaan atau kewujudan hukuman mati dalam sistem perundangan Malaysia, dalam kes-kes di bawah seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, pernah dicabar di mahkamah atas alasan ianya bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Malaysia. Ia pernah dicabar dalam kes-kes Pendakwa Raya lwn. Lau Kee Hua19 (kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi) dan kes Law Kee Hua lwn. Pendakwa Raya20 (kes yang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan). Dalam kes yang kedua itu, Suffian, Ketua Hakim Negara, menyatakan bahawa hukuman mati adalah sah di sisi Perlembagaan dan tidak ultra vires. Malah Perkara 5(1) Perlembagaan memberi ruang kemungkinan Parlimen memperuntukkan hukuman mati dan ini memperkukuhkan lagi dengan kewujudan Perkara 42 Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja atau Yang di-Pertua Negeri memberi pengampunan atau meminda hukuman.
Menurut Perkara 5, Perlembagaan Malaysia, seseorang tidak boleh diambil nyawanya (misalnya dihukum mati) kecuali menurut undang-undang. Dengan itu apabila bercadang mengenakan hukuman mati, perlulah dilihat adakah undang-undang (yakni undang-undang bertulis) sama ada memberi kuasa atau menetapkan secara mandatori bahawa hukuman bagi kesalahan tersebut adalah hukuman mati? Jika jawapannya “tidak”, maka hukuman mati tidak boleh dikenakan. Malah jikapun ditetapkan bahawa hukuman bagi kesalahan tersebut adalah hukuman mati (sama ada sebagai hukuman maksima atau mandatori), prosedur pelaksanaan hukuman itu juga hendaklah mengikut lunas-lunas yang ditetapkan dibawah undang-undang. Kegagalan mematuhi mana-mana yang disebutkan di atas tentunya membawa kepada pencabulan hak asasi manusia
Katakan Kerajaan Malaysia memperkenalkan hukuman mati terhadap perogol tertentu,21 adakah ini melanggar hak keadilan asasi? Berdasarkan kes Law Kee Hua (Malaysia) dan kes Gregg (A.S.) yang telah disebutkan sebelum ini, adalah jelas hukuman mati terhadap perogol berkenaan adalah sah di sisi undang-undang dan tidak melanggar hak asasi manusia. Namun cuba pula kita lihat kepada persoalan selanjutnya iaitu: Adakah hukuman mati terhadap perogol tertentu mencapai prinsip dan tujuan hukuman itu dijatuhkan? Kita akan jawab selepas membincangkan skop ini selepas ini.
PRINSIP DAN TUJUAN HUKUMAN MATI
Oleh kerana hukuman mati juga adalah jenis hukuman, maka prinsip dan tujuan am hukuman turut terpakai kepada hukuman mati. Misalnya, menurut Halsbury’s Laws of England (1988)22 tujuan utama menghukum adalah bagi melindungi masyarakat (dari penjenayah berkenaan). Dikatakan seterusnya bahawa,
“Tujuan utama hukuman dalam perkiraan (pemikiran) kehakiman, walau bagaimana pun, masih lagi demi melindungi masyarakat, dan tujuan lain biasanya menjadi pertimbangan kedua apabila hukuman akan diputuskan23.
McClean, J.D. dan Wood, J.C. (1969)24, yang merujuk Laporan Jawatankuasa Streamfield Mengenai Urusan Mahkamah-mahkamah Jenayah (UK) (1961)25, menyatakan bahawa matlamat utama adalah mengenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan penjenayah. Sebagai tambahan, mahkamah biasanya memikirkan betapa perlunya masyarakat dilindungi daripada penjenayah-penjenayah yang tegar, menghalang berlakunya atau berulangnya jenayah itu (oleh penjenayah berpotensi)26 dan menghukum atau memulihkan penjenayah itu sendiri (Abdul Aziz Hussin, 1988)27.
Sebagai perbandingan, Undang-undang Islam juga mempunyai prinsip dan tujuan menghukum, termasuk hukuman mati. Contohnya, ayat 45 Surah A-Maidah menyebut (ertinya):
“Dan Kami (Allah) tetapkan terhadap mereka didalamnya (At Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisas)nya, maka melepas hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”.
Perkara yang sama juga ditekankan dalam ayat 126 surah An-Nahl, yang ertinya,
“Dan jika kamu memberi balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang dilimpakan (dilakukan) kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar”.
Dengan hal sedemikian maka penulis berpendapat hukuman mati terhadap perogol, seperti yang di ketengahkan sebelum ini, tertentu masih lagi logik dan menepati prinsip dan tujuan hukuman itu dijatuhkan.
Untuk makluman pembaca juga, prinsip-prinsip menghukum dan faktor-faktor yang diambilkira juga pernah dinyatakan oleh Ketua Hakim Willan dalam kes Mohamed Jusoh bin Abdullah dan seorang lagi lwn. Pendakwa Raya28 dan oleh pakar undang-undang iaitu Ahmad Ibrahim, et.al. (1990)29. Namun bagi tujuan artikel ini, terutama bagi maksud hukuman mati, perbincangan yang diberikan di atas dikira sudah mencukupi.
12 Lihat artikel oleh Bedau, H.A. (2003). “The Case Against the Death Penalty” – http://www.worldpolicy.org/globalrights/el.p/bedean/html.
13 Mereka merujuk beberapa kes, terutama kes Dale Earl Charles yang dilaporkan dalam Atlanta Weekly, 30 Mei 1982.
14 Lihat Bedau H.A. .(1978). “Retribution and the theory of punishment”. The Journal of Philosophy 75: 601-620; Finkenaver, J.O. 1988. “Public support for the death penalty: Retribution as just deserts or retribution as revenge?”. Justice Quarterly 5:81-100.
15 Radelet, M.L. dan Akers R.L. (2003). “Deterence and the Death Penalty: The Views of the Experts: http://sun.soci.niu.edu/.
16 Jawapan majoriti responden dalam kajian oleh Ellsworth, P.C. dan Ross, L. (1983). “Public opinion and capital punishment: A close examination of the views of abolitionists and retentionists”. Crime and Delinquency 29: 116-169.
17 Universal Declaration of Human Rights. http://www.unhchr.ch./udhr.
18 Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang tidak boleh diambil nyawanya kecuali menurut undang-undang.
19 [1983] 1 M.L.J. 157.
20 [1984] 1 M.L.J. 110.
21 Utusan Malaysia , Sabtu 28 Jun 2003, m.s.1.
22 Halbury’s Laws of England (1988). Edisi Keempat, Vol. II, m.s. 288, para 482.
23 Ibid.
24 McClean, J.D. & Wood, J.V. (1960). Criminal Justice and the Treatment of Offenders. London : Sweet and Maxwell Ltd., m.s. 88.
25 Report of the Streamfield Committee on the Business of the Criminal Courts (1961) (Cmnd 1289, perenggan 257 dan seterusnya).
26 Ibid.
27 Abdul Aziz Hussin. (1988). Panduan Umum Undang-Undang Jenayah di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 118-146.
28 [1947] M.L.J.130.
29 Ahmad Ibrahim, et. al. (1990). Al-Ahkam. Jilid 2. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 120.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.