PENGENALAN
Boleh dikatakan setiap hari, sama ada di dalam media massa elektronik atau percetakan, kita disogok dengan perkataan "Surat Hasrat" atau "Memorandum Persefahaman" (ini yang paling banyak). Kadangkala kita sendiri terlibat di dalam urusan berkaitan Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu - sama ada sebagai pihak yang merundingi terma-termanya, mengeluarkan idea atasnya, menderaf isi kandunganya, ataupun mengambil langkah-langkah susulan hasil dari kewujudan Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu.
Dengan itu adalah wajar kita mengetahui sedikit sebanyak mengenainya, terutama takrifnya, pemakaian, kesan dan implikasi darinya - terutamanya daripada perspektif pengurusan dan juga undang-undang.
TAKRIF
Pada permulaan ini kita pecahkan kepada dua:
Pertama - Memorandum Persefahaman
Kedua - Surat Hasrat
"Memorandum" dalam erti lazim bermaksud suatu nota atau rekod (yakni ditulis) untuk masa hadapan.1 Ianya merupakan komunikasi perniagaan secara tak formal2. Dalam konteks undang-undang, memorandum adalah suatu nota (catatan) butiran-butiran apa-apa perkara atau transaksi.3 "Persefahaman" pula, dalam erti lazim bermaksud menyedari atau memaklumi perasaan, pandangan suatu pihak.4 Dalam konteks undang-undang jika digabungkan takrif di atas, nampaknya Memorandum Persefahaman adalah suatu nota atas butiran-butiran yang sama-sama termaklum oleh pihak-pihak terhadap sesuatu perkara atau transaksi. Dengan itu adalah jelas Memorandum Persefahaman akan dibuat oleh dua atau lebih pihak-pihak.
Mengenai Surat Hasrat pula, ianya suatu surat (yakni mesej bertulis yang satu pihak sampaikan kepada pihak lain)5 yang meluahkan hasrat atau keinginannya.6 Hasrat itu dapat dilihat daripada apa yang diluahkan dengan nyata di dalam surat itu.7 Dengan itu hasrat pembuat surat itu hendaklah dilihat dan dipastikan melalui surat itu sendiri, dan bukan dari lain-lain sumber.8
KEWUJUDAN DAN LETAKNYA
Surat Hasrat dan Memorandum Persefahaman mengambil tempat di antara "perundingan" dengan "perjanjian". Kewujudan Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman adalah satu opsen sahaja kepada pihak-pihak yang berunding, sebelum perjanjian sebenar di adakan. Jadi, Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman boleh dibuat dan boleh juga tidak diwujudkan oleh pihak-pihak berkenaan.
LANGKAH-LANGKAH SUSULAN
Adalah jelas bahawa selepas Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu ditandatangani maka pihak-pihak perlulah mengambil langkah positif, fasilitatif, terbuka dan lain-lain langkah perincian bagi tujuan membuat perjanjian yang sebenarnya (dan seterusnya dengan segera dan berkesan melaksanakan hak dan obligasi di bawah perjanjian itu pula).
Kajian-kajian terperinci (misalnya mengenai Kajian Daya Maju, keefektifan kos, jangkaan masa diperuntukkan, jumlah kewangan dan sumber kewangan yang perlu dicari dan lain-lain), kelulusan-kelulusan pihak-pihak berkuasa dan yang berotoriti dan lain-lain lagi perlulah dilakukan - itupun jika pihak-pihak merasakan bahawa projek atau apa yang "dihasrat" atau "dipersefahaman" itu akan diteruskan.
Jika sebaliknya, maka disitulah berakhirnya "nyawa" Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu. Tidaklah perlu diadakan "upacara perkebumian" untuknya. Dengan kata lain, sebenarnya pihak-pihak tidak diperlukan disisi undang-undang untuk memaklumkan secara bertulis (menotiskan) kepada pihak yang satu lagi bahawa pihak itu bercadang menamatkan Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman. Seterusnya tidak timbul tuntutan gantirugi dan lain-lain. Mungkin yang ada cuma mungkin ada pihak "berkecil hati, sedih atau kecewa" (atau marah) apabila apa yang dihajatkan di dalam Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu tidak menjadi kenyataan - itupun jika "kematian" Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu dibuat secara tidak wajar, berniat buruk atau tanpa lain-lain sebab yang munasabah.
KESIMPULAN
Daripada perbincangan adalah jelas Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman bukanlah suatu perjanjian kontrak yang mengikat pihak-pihak berkenaan. Ia diwujudkan hanya bagi maksud merebut peluang dan semangat setiakawan dalam transaksi awalan urusan komersil. Ianya juga seolah-olah memberi komitmen awalan kepada pihak-pihak kearah menrealisasikan apa-apa yang dinyatakan atau dihasratkan oleh pihak, dan seterusnya melaksanakannya.
Oleh yang demikian adalah wajar bahawa apabila Surat Hasrat atau Memorandum itu telah disempurnakan maka segala persediaan yang sepatutnya perlu dibuat seberapa segera ke arah membuat perjanjian kontrak yang sebenarnya - dan seterusnya melaksanakan sebaik mungkin hak dan obligasi masing-masing.
Adalah wajar maxim undang-undang, iaitu "kelewatan membawa ketidakadilan" dipakai juga dalam perspektif perlaksanaan Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman.
Selain daripada itu, bagi kita yang selalu didedahkan, diperlihatkan atau terlibat di dalam Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman, sama ada sebagai perunding, penderaf atau pelaksana maka Senarai Semak berikut adalah wajar ditelaah:
Apakah hasrat sebenar Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu? |
Apakah isikandungannya yang menjadi komitmen pihak-pihak? |
Apakah langkah-langkah susulan yang perlu diambil dalam menunaikan hasrat atau | |
persefahaman itu? |
Hayat realistik bagi Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu? | |
Sudahkah pihak-pihak bersedia (kalau belum, bila?) bagi membuat perjanjian | |
kontrak? | |
Ada kemungkinankah Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman itu | |
"berkubur tanpa nisan"? Jika ada kemungkinannya, maka kenapa terjadi, dan bagaimana boleh dielakkan? |
Adakah perlu Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman diwujudkan | |
dalam sesuatu situasi, kes, transaksi atau komitmen itu? |
Akhirnya bagi maksud Surat Hasrat atau Memorandum yang sejati, sifat IKHLAS dan AMANAH pihak-pihak adalah segala-galanya.
RUJUKAN
1. A.S. Hornby & E.C. Parnwell, 1969, An English-Readers's Dictionary, Edisi Kedua, Oxford: Oxford University Press.
2. Ibid
3 . Roger Bird, 1983, Osborn's Concise Law Dictionary, Edisi Ketujuh, London: Sweet & Maxwell Limited.
4 Op. cit. Notakaki 1
5 Ibid.
6 Ibid
7 W.T. Major, 1978, The Law of Contract, Edisi Kelima, Plymouth: Macdonald & Evans, di m.s. 2. Mengenai prinsip asas pengenalpastian hasrat atau niat, lihat British Movietonews Ltd. lwn. London and District Cinemas Ltd, (1952) A.C. 166; (1951) 1 K.B. 190.
8 A.G. Guest (Ed.), 1975, Anson's Law of Contract, Edisi Ke 24, Oxford: Oxford University Press, di m.s. 148.
9 Biasanya di dalam Memorandum Persefahaman akan dimasukkan fasal yang menyebut hal ini. Ada juga kes di mana ada disebut di dalam Memorandum Persefahaman itu bahawa ia tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah - lihat Rose and Frank Co. lwn. Cropton Bros. Ltd. (1925) A.C. 445; (1924) All. E.R. Rep. 245.
10 Op. cit, Notakaki 8, di m.s 64.
11 Ibid.
12 (1934) 2 K.B. 17, 21n. Lihat juga King's Motor Ltd. lwn. Lax (1970) W.L.R. 426.
13 (1981) 24 BLR. 94.
14 (1995)1 M.L.J. 214. Lihat juga kes Yap Eng Thong dan seorang lagi lwn. Faber Union Ltd. (1973) 1 M.L.J. 191 mengenai perjanjian yang isi kandungan-nya, antara lain, menyatakan satu perjanjian akan dibuat untuk jualbeli rumah. Mahkamah memutuskan per-janjian pertama itu tidak mewujudkan ikatan kontrak disisi undang-undang. Untuk komentari, lihat Visu Sinnadurai, 1979, The Law of Contract in Malaysia and Singapore: Cases and Commentar, Kuala Lumpur: Oxford University Press, di m.s. 56 - 59, 78.
15 Malah dari perspektif undang-undang keterangan pun, kenyataan lisan mengalami liku-liku yang lebih sukar untuk dibuktikan - lihat seksyen-seksyen 91 hingga 96 Akta Keterangan 1950 mengenai hal ini dan juga kegunaannya dalam keterangan bertulis. Untuk bacaan lanjut, lihat Bab 7. "Exclusion of Oral by Documentary Evidence", Prof. M.R. Zafer, 1994, Law of Evidence in Malaysia, Kuala Lumpur: International Law Book Services, di m.s. 82 - 87; Batuk Lal, 1970, The Law of Evidence, Allahabad 2: Central Law Agency, di m.s. 232 - 255.
NOTA:
Artikel ini ditulis semasa penulis sedang berkhidmat dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan
( KESEDAR ) ( Kementerian Pembangunan Luar Bandar ). Artikel ini telah diterbitkan di dalam JOURNAL OF HBP, Vol. VI, 1999, School of Housing, Building & Planning, Universiti Sains Malaysia
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.