Seperti yang dicatatkan oleh Carter (1993) dan Kimmel (1999) bahagian utama pelancongan (tepi pantai) adalah berasaskan 3S (sun, surf dan sand) (matahari, menyelam dan pasir pantai). Dengan yang demikian, aktiviti pelancongan tepi pantai juga berkait dengan tiga ciri tersebut. Namun begitu, seperti termaklum, salah satu aspek pengurusan pelancongan pula adalah mengenai aspek undang-undang. Aspek undang-undang ini pula melibatkan pelancong, pengusaha pelancongan dan pihak berkuasa sendiri. Bidang undang-undang yang terlibat juga pelbagai, seperti undang-undang tanah, tort, jenayah, dan lain-lain. Perkara ini menjadi initipati atau pokok perbincangan seterusnya.
PELANCONG TEPI PANTAI – DEFINISI
Tiada takrif konkrit yang ditemui untuk ungkapan “pelancongan tepi pantai”. Dengan demikian kita perlu pecahkan kepada dua, iaitu “pelancongan” dan “tepi pantai”. Kita boleh lupakan definisi “pelancongan” kerana diandaikan semua kita telah maklum mengenainya, dan telah banyak dibincangkan. Bagi yang kedua itu pula, iaitu “tepi pantai” ia ada didefinisikan di bawah seksyen 5, Kanun Tanah Negara 1965:
“tepi pantai” ertinya semua tanah yang ada di antara pinggir laut dan tikas air surut dari pasang perbani biasa”.
Definisi tersebut perlu pula disusuli dengan definisi “tanah” dan “pinggir laut” kerana kedua-dua perkataan tersebut ada digunakan di dalam definisi “tepi pantai” yang dinyatakan di atas.
“Tanah” termasuklah tanah yang diliputi air”.
Takrif yang sama digunakan di bawah seksyen 3, Akta Tafsiran 1967.
“Pinggir laut” ertinya tikas air pasang dari pasang perbani biasa.
Perkataan “tepi pantai” ini pula wujud dalam definisi “tanah kerajaan”.
“tanah kerajaan” ertinya semua tanah di dalam negeri itu (termasuk sebanyak mana dasar mana-mana sungai, dan tepi pantai serta dasar laut, seperti yang termasuk di dalam wilayah negeri itu atau batas perairan wilayah).
Mengikut seksyen 51, Kanun Tanah Negara 1965,
i) Penjenisan tanah, ialah
a) tanah yang lebih tinggi daripada pinggir laut; dan
b) tepi pantai dan dasar laut.
Definisi-definisi yang disebutkan di atas amat berguna bagi membincangkan isu-isu dan cabaran-cabaran yang akan dibincangkan selepas ini, terutama mengenai persoalan: “Siapa kawal, di mana dan apa?”.
ISU-ISU DAN CABARAN UNDANG-UNDANG
a) Mengenai Aktiviti Pelancongan Tepi Pantai.
Tidak ada definisi undang-undang mengenai “aktiviti pelancongan”. Namun di bawah seksyen 2 Akta Industri Pelancongan 1992, ada disebut secara sepintas lalu, iaitu
“……aktiviti yang biasanya dilakukan oleh seseorang pelancong, termasuk bersiar-siar, melawat”
Namun jika kita merujuk, antaranya, apa yang dibincangkan oleh Carter (1993) dan Kimmel (1999), maka aktiviti pelancongan tepi pantai tentunya yang berkaitan dengan aktiviti 3S yang dinyatakan pada awal kertas ini. Dengan demikian, ianya merangkumi, antara lain,
a) Melihat matahari naik atau jatuh;
b) Melihat ombak dan panorama;
c) Berjemur;
d) Berlari, berjoging, dan sukan pasir di tepi pantai (bola tampar, bola sepak, berkuda, berbasikal dan lain-lain) termasuk mendaki batu atau menyusur gua tepi pantai);
e) Melihat penyu mendarat, bertelor dan lain-lain;
f) Barbeque;
g) Bersiaran dengan perahuan menyusur pantai;
h) Mandi-manda
i) Bermain ombak, termasuk dengan papan luncur;
j) Menyelam, snokel
k) Mengumpul bahan-bahan (seperti kulit cengkerang, haiwan/ikan, batu karang, tumbuhan dan lain-lain).
Senarai ini tentunya panjang lagi jika mengambil kira apa yang boleh ditawarkan khusus di sesuatu destinasi pelancongan tepi pantai – sama ada yang halal atau yang haram di sisi undang-undang. Ini tentunya banyak bergantung kepada undang-undang sedia ada dalam mengurus pelancong (dan sikap pelancong sendiri dalam menjalankan aktiviti pelancongan). Isu berbangkit mengenai hubungkait di antara aktiviti pelancong dengan undang-undang yang ada dan penguatkuasaannya. Contohnya, pernah dilaporkan (Barber & Pratt, 1998), di banyak tempat di dunia pelancong (terutama penyelam) menggunakan racun sinida untuk menangkap hidupan laut. Perbuatan ini tentunya membahayakan penyelam, pelancong yang mandi manda dan juga produk pelancongan (seperti spesis karang, invertebrata dan ikan)(Barber & Pratt, 1998). Munurut seksyen 26(1)(a) Akta Perikanan 1985, orang yang menangkap ikan menggunakan racun atau pencemar, bahan letupan, arus letrik dan lain-lain adalah melakukan kesalahan. Seterusnya menurut seksyen 25 Akta yang sama, orang berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjara untuk tempoh tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya. Persoalannya ialah daripada aspek sikap tanggungjawab pelancong berkenaan dan aspek penguatkuasaannya. Ini kerana amat sukar mengesan pelaku yang melakukannya semasa di dalam air (contohnya), yakni daripada aspek menangkap dan mendakwa (membuktikan kesalahan).
Contoh lain ialah aktiviti perahuan oleh pelancong, sama ada dalam bentuk bersiaran, bermain ombak dan lain-lain perkataaan “perahuan” ada didefinisikan di bawah seksyen 3, Akta Tafsiran 1967 iaitu,
“termasuklah kenderaan terapung dan kenderaan selam, walau apa jenis pun”.
Di Malaysia, hanya perahuan yang bukan kegunaan persendirian sahaja yang perlu didaftarkan di bawah Kaedah-kaedah Perahuan 1953 ( iaitu Kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Ordinan Kapal Dagang 1952)(Jabatan Laut, 2004). Kita biasa mendengar berita kemalangan (maut atau parah) melibatkan perahuan pelancong, misalnya dilaggar perahuan, seperti jet-ski atau skuter air, atau perahuan yang tenggelam semasa dinaiki pelancong. Bilangan bot persendirian makin bertambah – begitu juga perahuan berbentuk skuter air. Isunya tiada undang-undang yang mengawalnya (daripada aspek pelesenan, spesifikasi, jenis dan had kawasan kegunaan, kapasiti dan lain-lain). Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 pula hanya mengawal kenderaan pelancongan di darat – dan ini pula terhad hanya kepada dua jenis kenderaan sahaja iaitu bas persiaran dan kereta sewa dan pandu sahaja (seksyen 2 Akta). Akta Industri Pelancongan 1992 juga hanya bagi pelesenan pengusaha pelancongan (yakni pengendali pelancong, agensi pelancongan, premis, restoran dan institusi latihan pelancongan) dan pemandu pelancong sahaja. Walau bagaimana pun seseorang yang menjalankan perahuan dengan gopoh adalah satu kesalahan di bawah seksyen 280 Kanun Kesiksaan. Begitu juga orang yang membawa orang dengan jalan air untuk mendapat sewa dalam perahuan yang berlebihan muatan atau yang tidak selamat adalah juga melakukan kesalahan di bawah seksyen 282 Kanun Kesiksaan. Isunya, kedua-dua peruntukan itu adalah untuk menghukum pesalah dan bukan berbentuk menghalang perbuatan berkenaan daripada berlaku (yakni dalam bentuk mengelak secara proaktif).
Aktiviti pelancongan tepi pantai itu juga kadangkala boleh menyebabkan aktiviti pelancong yang lain terganggu – contohnya, untuk mandi mana. Menurut seksyen 15 (1)(c), Akta Kesalahan Kecil 1955, seseorang yang menghalang atau menyukarkan seseorang mandi di mana tempat yang ditetapkan sebagai tempat mandi dengan mengganggu dengan sengaja, atau dengan memandikan apa-apa haiwan di situ atau dekat tempat itu, atau dengan apa-apa cara lain, hendaklah didenda tidak melebihi RM100.00. Sekali lagi statut ini tidak bersifat mencegah perbuatan berkenaan daripada berlaku, tetapi cuma menghukum pesalah.
Walau apapun, segala perbuatan yang dinyatakan di atas adalah contoh perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan pelancong. Menurut Adams (2001) salah satu masalah kemerosotan jumlah pelancong (di sesuatu destinasi pelancongan) adalah mengenai aspek keselamatan pelancong (yakni apabila pelancong merasakan sesuatu destinasi pelancongan tidak selamat maka mereka akan menjauhinya).
(b) Mengenai Isu Konflik Bidangkuasa (Kuasa Dan Kawasan).
Menurut Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan), Perlembagaan Persekutuan, di bawah seksyen 25A dicatatkan, “pelancongan” (melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan Akta A704/1988). Ini bererti, hal ehwal pelancongan terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Tiada huraian mengenai apakah yang dikatakan “pelancongan” itu. Namun setakat ini Kerajaan Persekutuan telah membuat tiga statut berkaitan “pelancongan”, iaitu:
i) Akta Lembaga Penggalakkan Pelancongan 1992 (bagi menubuhkan Lembaga berkenaan)
ii) Akta Industri Pelancongan 1992 (berkaitan pelesenan pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong); dan
iii) Akta Pelesenan Kenderaan Pelancong 1999 (bagi pelesenan bas persiaran dan kereta sewa dan pandu).
Isunya, seperti kita termaklum, “pelancongan” itu luas skopnya, dan ianya ada hubungkait yang rapat dan saling melengkapkan iaitu di antara pelancong, produk dan aktiviti pelancongan serta penyedia produk pelancongan itu sendiri. Ini tentunya pula melibatkan aspek “pengurusan” pelancongan, di mana di antaranya ialah melibatkan aspek pengawasan dan pengawalan (terutama penguatkuasaan). Kita ambil contoh melibatkan penyu sebagai produk dan aktiviti pelancongan (seperti melihat penyu naik ke darat, bertelor, berenang bersama penyu, pelancongan berbentuk penyelidikan penyu, dan lain-lain). Menurut Perlembagaan Persekutuan (melalui pindaan Akta A704/88), “penyu” diletakkan di bawah Senarai 2, Jadual Kesembilan (iaitu di bawah bidangkuasa Negeri). Malah menurut seksyen 5, Akta Perikanan 1985, Pihak Berkuasa Negeri boleh melantik Pegawai Perikanannya sendiri untuk melaksanakan peruntukan Akta ini mengenai penyu (termasuk telor penyu – seksyen 38(2) Akta). Menurut seksyen 38 Akta ini juga, Pihak Berkuasa Negeri adalah merupakan pihak yang mempunyai kuasa undang-undang mengenai pengurusan penyu. Jelas di sini bahawa terdapat isu kuasa dan bidangkuasa pengurusan pelancongan melibatkan penyu.
Isu lain berkaitan bidangkuasa ialah bidangkuasa kawasan pelancongan tepi pantai itu sendiri – iaitu mengenai pihak berkuasa mana yang benar-benar mempunyai kuasa dan perlu dipertanggungjawabkan dalam hal-hal berkaitan pelancongan. Jika dilihat kepada Kanun Tanah Negara 1965. Pihak Berkuasa Negeri adalah pihak yang sebenarnya berkuasa bagi tanah tepi pantai (seksyen 5). Di bawah seksyen 62, Kanun Tanah Negara 1965, Pihak Berkuasa Negeri boleh merezabkan tanah (termasuk tanah tepi pantai) kepada pihak-pihak lain. Dengan demikian isu liabiliti terhadap pelancong (misalnya atas keselamatan dan kecuaian) adalah terletak di bahu Pihak Berkuasa Negeri. Kita ambil contoh berikut:
Melalui Warta Kerajaan Negeri Kelantan No. 241 bertarikh 6 April 1989, Majlis Daerah Bachok telah diisytiharkan sebagai pihak berkuasa yang mengawal (untuk kegunaan awam) satu kawasan dikenali sebagai Tapak Kompleks Perkembangan Pusat Pelancongan Pantai Irama, Bachok (melibatkan 5 lot tanah kerajaan). Kompleks tersebut mempunyai, antara lain, rumah kediaman pelancong, surau, tandas awam, dan kawasan pantai. Namun daripada lawatan penulis pada 20 Mei 2001, kompleks berkenaan dalam keadaan tidak terurus (calet terbiar, longgokan sampah di tepi alur, banyak kemudahan awam yang rosak).
Isunya, jika kuasa yang diberi tidak disertai dengan “keupayaan” (kewangan, kakitangan, dan lain-lain) maka ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada pelancongan tepi pantai. Selanjutnya, ia pula boleh mengundang liabiliti tort (terutama) kecuaian terhadap Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan.
PENUTUP
Daripada apa yang dibincangkan, dua perkara yang perlu ditangani dengan bijak (yang melibatkan undang-undang) bagi pelancongan tepi pantai ialah mengenai pihak berkuasa yang benar-benar berwibawa mengawas dan mengawalnya, dan juga penyelarasan pelbagai undang-undang (di peringkat Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan) bagi mempastikan keberkesanannya agar pelancongan tepi pantai bukan sahaja dapat bertahan, malah dapat dipertingkatkan dan dikembangkan lagi.
Namun, seperti dinyatakan oleh Environmental Law Institute (1997), undang-undang tentunya menjadi salah satu pilihan apabila cara sukarela nampaknya tidak mencukupi. Hal yang sama berlaku dalam pelancongan tepi pantai – kesedaran tentang sama-sama menjaga keselamatan, kebersihan, keceriaan, keboleh gunaan dan lama bertahan produk pelancongan, kesesuaian aktiviti dan lain-lain adalah lebih utama dan pertama yang perlu diambil tindakan oleh semua pihak (pelancong dan pihak berkuasa). Adalah jelas, dalam keadaan sedemikian, instrumen undang-undang hanya sesuai diguna sebagai cara terakhir sahaja.
Rujukan:
Adams, B. (2001). “Tourism shift troubles Caribbean ”. Hotel and Motel Management, Duluth , 16 Julai 2001. Vol. 216 Issue 13, m.s. 6.
Akta Industri Pelancongan 1992
Akta Kesalahan Kecil 1955.
Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan 1992.
Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.
Akta Perikanan 1985
Akta Tafsiran 1967.
Barber, C.V. & Pratt, V.R. (1998). “Poison and Profit”. Environment, Oktober 98, Vol. 40 Issue 8, m.s. 4 – 16.
Carter, E. (1993). “Ecotourism in the Third World : Problems for sustainable tourism development”. Tourism Management, 14(2) m.s. 85 – 90.
Environmental Law Institute. 1997. “Enforceable State Mechanisms for the Control of Nonpaint Source Water Pollution”. United States of America : ELI Project No. #970300.
Jabatan Laut Malaysia (2004). http://wwww.marine.gov.my.
Kaedah-kaedah Perahuan 1953.
Kanun Kesiksaan (N.M.B. Bab 45).
Kanun Tanah Negara 1965.
Kimmel, J.R. (1999). “Ecotourism as Environmental Learning”. Journal of Environmental Education, Winter 99, Vol. 30 Issue 2, m.s. 40 – 44.
Ordinan Kapal Dagang 1952.
Perlembagaan Persekutuan.
P/s Di atas adalah sebahagian Nota Ceramah (kursus) dan nota kuliah. Penulis juga ada menulis buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2007. Aspek Undang-undang Pelancongan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka. Harga RM39 (Kulit tebal)
Buku ini memenangi ANUGERAH UTAMA PERTANDINGAN PENULISAN ILMIAH ANJURAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (tahun 2003).
.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.