Namun, apa yang ingin penulis bincangkan di sini hanya melibatkan satu isu sahaja, iaitu kenaikan harga getah yang mendadak sejak akhir-akhir ini. Di bawah ini adalah beberapa cerita yang ada relevannya dengan kenaikan harga getah...
Cerita 1: Kebun getah yang dahulunya dipenuhi semak-samun, kini telah dibersihkan (walaupun ada yang cuma membersihkan lorong laluan menoreh sahaja). Jadi aktiviti menoreh menjadi lebih meriah, dan lebih ramai yang terlibat;
Cerita 2: Ada penjawat (swasta dan, terutamanya kerajaan), yang sanggup bangun awal pagi untuk pergi menoreh (kebun getah sendiri, atau kepunyaan keluarga), sebelum ke pejabat. Penulis dapati rata-rata mereka ini menurun produktiviti di pejabat (mengantuk, letih, berborak bangga tentang harga dan pendapatan daripada menoreh). Tidak kurang juga yang menoreh secara rahsia tanpa pengetahuan organisasi tempat kerja.
Cerita 3: Ada kejadian pencurian getah (getah sekerap/getah beku) yang disimpan di kebun, di stor. Malah ada kes rompakan kedai getah di sebuah negeri di Pantai Timur. Ada kes lagi dimana taukeh getah (pembeli getah dan tuanpunya kebun yang luas) yang dirompak kerana dikatakan mereka ini dalam kategori "kaya".
Ini video yang anak perempuan saya sampaikan kepada saya (sumber tidak saya ketahui) tentang "hukuman ditangan sendiri" terhadap dua pemuda yang dituduh mencuri getah. Semoga kaedah "menghukum ditangan sendiri" ini tidak diamalkan. Kita ada undang-undang dan pihak berkuasa berkaitan, kan?
Cerita 4: Ada satu daerah di satu negeri di Utara Semenanjung Malaysia yang rata-rata peraih/pembeli getah enggan membeli getah dengan harga yang sepatutnya kerana "ramai" penjual yang memasukkan benda asing di dalam sekerap/pok getah (yang lazimnya adalah batu!)
Cerita 5: Ada cerita pemandu lori yang membawa sekerap/pok getah yang sanggup menggadai nyawa mengawal lorinya daripada terjatuh gaung dan mungkin akan hilang muatannya
Cerita 6: Ada orang yang dipukul sehingga parah (ada juga hingga mengakibatkan kematian, dan kini jadi kes jenayah) kerana ditohmahkan mencuri getah di kebun.
Cerita 7: Ada kejadian pokok getah yang ditoreh banyak cabang, atau 2 kali sehari (terjadi bagi kebun yang dipawah/dipajak) kerana inginkan susu getah (latex) yang lebih.
Cerita 8: Ramai juga yang "menonjolkan" (secara sengaja tau tidak sengaja) dengan menukar/menambah kenderaan baru, barangan kemas, rumah, dan seumpamanya...atau mencari sebab untuk menambah isteri (ops, maaf...)
Cerita 9: Ada sekelompok orang yang dahulunya menoreh getah sebagai pekerja atau secara pawah, kini diarahkan berhenti, dan kini tuanpunya kebun atau ahli keluarga terdekat yang mengambilalih menoreh sendiri.
Cerita 10: Ada kejadian berlaku pencerobohan sempadan menoreh (menceroboh tanah getah orang lain) sehingga mengakibatkan perbalahan dan kecederaan
Cerita 11: Ada juga kejadian menoreh dua kali sehari-- pada awal pagi getah ditoreh oleh penoreh sebenar, tetapi waktu petang ada pula orang lain yang menoreh secara sembunyi-sembunyi
Cerita 12: Ramai juga yang nampak manis muka, riang dan kerap tersenyum-- maklum la, dah "kaya"
Apapun...
Inilah masa menabung, masa berjimat, masa menahan diri daripada sifat negatif. Kita tentu sentiasa ingat pesan Rasullullah (s.a.w) dan praktis Nabi Yusuf (a.s.) untuk menyimpan sebahagian pendapatan itu (idealnya ialah satu per tiga)
Jangan lah pula marahkan mana-mana pihak apabila suatu masa harga getah turun kembali, dan kita tiada tabungan, dan sukar pula untuk membuat penyelarasan (adjustment) belanjawan diri dan keluarga. Ini bukan mustahil, dan kita pernah laluinya dahulu...
Anggaplah apa yang diceritakan di atas adalah PESAN DARIPADA SEORANG SAHABAT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.