Feb 18, 2011

Format Seragam Kontrak Pembinaan

PENDAHULUAN

Pada masa kini banyak dokumen transaksi perniagaan telah disediakan terlebih dahulu, dimana didalamnya telah dinyatakan terma-terma dan syarat-syarat yang pihak-pihak yang terlibat dalam transaksi tersebut perlu patuhi. Dokumen berkenaan akan digunakan acap kali dalam transaksi-transaksi yang serupa dimasa hadapan. Dokumen berkenaan dikenali sebagai format seragam, dan jika format seragam berkenaan digunakan dalam kontrak pembinaan maka ia dipanggil “format seragam kontrak pembinaan”. Dalam bidang projek pembinaan juga format seragam banyak digunakan. Kertas ini akan khusus membincangkan format seragam kontrak pembinaan.

PEMAKAIAN FORMAT SERAGAM KONTRAK

Pada amnya apabila seseorang bersetuju melakukan apa-apa perbuatan, tetapi di pihak yang satu lagi telah pula mengemukakan syarat-syarat kontrak yang telah dibuat seragam dari segi formatnya, maka pihak yang pertama tadi mahu tidak mahu perlu menerima kesemua syarat-syarat seragam itu, yang dinyatakan di dalam Borang Seragam tersebut.
Persoalannya,
                Bagaimana hendak membuat cadangan balas?
               Bagaimana hendak merunding syarat-syarat agar cukup memuaskan hati semua pihak yang terlibat?
Tanggapan:
               Apabila sesuatu pihak telah terima syarat-syarat di dalam Borang Seragam maka pihak itu telah menepikan syarat-syarat (cadangan) lanjut dari pihaknya.
 Telah dihujjahkan bahawa kaedah di atas telah meghilangkan atau mentiadakan “kebebasan berkontrak ” yang sejati1. Hal ini juga dikatakan oleh ahli-ahli ekonomi melanggari konsep laissez faire. Lagipun apabila seseorang telah menandatangani dokumen yang mengandungi terma-terma kontrak maka biasanya ia mengikat pihak-pihak, walaupun dia tidak membacanya, atau dia tidak begitu maklum kesan jelas dari segi undang-undang mengenainya2.
           
Didalam industri pembinan di Malaysia, terdapat beberapa format seragam yang digunakan. Diantara yang popular dan semakin mendapat perhatian adalah seperti berikut:
gBorang PAM 1998, bagi digunakan dalam pembinaan bangunan (yang     melibatkan klien projek adalah sektor swasta);
 gBorang JKR 203, bagi digunakan dalam projek pembinaan (yang melibatkan  sektor awam, yakni kerajaan atau agensi kerajaan, sebagai klien projek), dan borang perjanjian seragam lantikan subkontraktor yang dinamakan; dan
gBorang CIDB 2000, yang boleh digunakan oleh kerajaan atau sektor swasta dalam  projek pembinaan.
 Selain daripada itu terdapat juga perjanjian format seragam yang lain yang berkait dengan industri pembinaan, iaitu Perjanjian Jualbeli (Tanah Berserta Rumah atau Bangunan Pecah Bahagian) dibawah Peraturan-peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 dan perjanjian-perjanjian lantikan ahli-ahli profesional projek pembinaan (iaitu arkitek, jurutera dan juruukur bahan).
 KEBAIKAN ATAU KELEBIHAN PENGGUNAAN FORMAT SERAGAM KONTRAK
 Walau apa sekalipun, penggunaan Format Seragam mempunyai kebaikan-kebaikannya yang tersendiri, di antaranya:
 1.      Mudah Mentafsir
          Ini kerana biasanya format seragam telah pun memasukkan “fasal pentafsiran”, dan telah diberikan dengan nyata.  Perkataan-perkataan yang digunakan biasanya tepat. Contohnya jika kita rujuk Fasal 1 Syarat-syarat Kontrak bagi Borang JKR 202, Artikel 7 bagi Artikel-artikel Perjanjian bagi Borang PAM 1998, dan Fasal 1 Syarat-syarat Kontrak bagi Borang CIDB 2000, kita akan perolehi definisi (pentafsiran) bagi banyak perkataan dan ungkapan yang digunakan di dalam perjanjian. Dengan itu pentafsiran berkenaan boleh digunakan apabila timbul sesuatu persoalan berkaitan perjanjian.
          Mengikut kes Alison (J. Gordon) Ltd. lwn. Wallsend Shipway & Engineering Co. Ltd.3, Lord Justice Scrutton[4] menyebut,
                            “Jika seseorang yang berada dibawah liabiliti undang-undang ingin membebaskan dirinya daripadanya, maka dia hanya boleh melakukannya dengan cara menggunakan perkataan-perkataan yang jelas”.
                  Ini bererti, bagi mengelakkan sebarang komplikasi pada masa hadapan dalam melaksanakan perjanjian yang ditandatangani, maka perkataan yang digunakan dalam perjanjian perlulah jelas dan terang maksudnya. Ini kerana apabila telah dinyatakan di dalam Borang Seragam atas sesuatu perkara maka ia akan dengan sendirinya menepikan lain-lain perkara yang serupa bentuknya ( dalam bahasa latinnya ia disebut dengan ungkapan “expresio unius est exclusio alterius”). Oleh yang demikian jika kita lihat format-format seragam JKR 203, CIDB 2000 dan PAM 1998, fasal-fasal atau peruntukan-peruntukan kandungan perjanjiannya telah disusun sedemikian rupa supaya senang dirujuk dan ditafsirkan.
 2.      Kaedah ‘Contra Proferentem
          Maxim atau ungkapan latin yang biasa digunakan bagi maksud menerangkan hujjah ini ialan ‘verba chartarum fortius accipiuntur contra proferentem’ (perkataan-perkataan dalam dokumen bertulis adalah digunakan dengan lebih teguh terhadap pihak-pihak yang menggunakannya). Ungkapan ini adalah terpakai dalam pengurusan penggunaan Borang Seragam.
 3.   Terbukti Dan Teruji
          Seperti kita semua sedia maklum bahawa Format Borang Seragam telah diuji berkali-kali  oleh banyak pihak dan diguna dengan meluas untuk tempoh masa yang biasanya lama. 
          Pengalaman telah mengajar pihak-pihak untuk membaiki kelemahan-kelemahan yang wujud, jika ada, dengan memindanya, dan seterusnya dibuat pembetulan bagi diguna di dalam Borang Seragam yang baru.
          Persoalannya:  Proses ini menguntungkan siapa? Biasanya pihak yang terlebih dahulu mendapat keuntungan atau kelebihan atau kebaikan daripadanya ialah klien projek. Ini kerana biasanya Format Seragam lebih banyak membantu pihak yang memper-kenalkannya (yakni klien).
 4.      Jimat Masa, Kos Dan Kepakaran
          Penggunaan Borang Seragam telah terbukti menjimatkan masa (kerana telah tersedia).  Begitu juga kos untuk menderaf dapat dijimatkan, dan penggunaan kepakaran sekali sahaja bagi bersiri borang seragam yang digunakan berulang-ulang kali.
 5.      Dapat Mengelak Ketinggalan
          Penggunaan Borang Seragam terbukti dapat mengelak atau mengurangkan kealpaan isi-isi penting kandungan perjanjian.  Penderafan secara individu tentunya memerlukan senarai semak, penyemakan semula dan penelitian agar kandungan-kandungan penting perjanjian tidak tertinggal (dan tentunya mendatangkan masalah pelaksanaan perjanjian kelak).

KEBURUKAN ATAU MASAALAH BERKAITAN BORANG SERAGAM

 Walaupun telah dibincangkan kebaikan atau kelebihan penggunaan Borang Seragam Kontrak, namun penggunaannya juga boleh menimbulkan masaalah, malah pengenalannya juga dalam industri pembinaan kadangkala  memberi keburukan kepada pihak pelaksananya. Diantara keburukan atau kelemahan dalam penggunaan Borang Seragam Kontrak ialah seperti yang berikut:


1.          Perlu Terima Syarat Atau Lupakan Kontrak Kerja
 Pihak yang terlibat, mahu tidak mahu, perlu menandatangani perjanjian format seragam ini. Contohnya perjanjian berformat seragam diantara klien dengan kontraktor. Kontraktor, jika mahu meneruskan pelaksanaan projek, perlu menandatanganinya. Begitu juga bagi perjanjian berformat seragam bagi kerja-kerja subkontrak diantara kontraktor dengan subkontraktor, maka subkontraktor yang mahu meneruskan kerja-kerja subkontrak perlu menandatangani perjanjian berformat seragam tersebut.
 Seperti yang dinyatakan pada awal bab ini, pihak berkenaan tidak ada peluang untuk meminda syarat-syarat yang terdapat di dalamnya, tidak dapat merundingi terma-terma dan syarat-syarat yang telah tersedia, atau dengan kata lain, tidak dapat membuat apa-apa cadangan balas.
2.          Tidak Sesuai Dalam Kontrak-kontrak Kerja Khas
 Borang Seragam Kontrak cuma sesuai dalam bentuk pengurusan kontrak pembinan secara konvensional. Ia tidak sesuai dalam penggunaan-penggunaan melibatkan inovasi-inovasi baru pengurusan kontrak seperti kontrak khusus bena-kendali atau bina-kendali-pindahmilik, yakni kontrak secara penswastaan. Ia juga tidak sesuai dalak kontrak berbentuk berbilang pihak dimana, contohnya, klien projek sendiri turut aktif dalam kerja-kerja pembinaan. Ia juga tidak sesuai dalam projek usahasama. Dalam kes-kes sedemikian perjanjian yang dibuat khusus bagi projek berkenaan perlulah disediakan.
 3.   Menutup Ruang Inovasi
 Penggunaan Borang Seragam Kontrak sebenarnya menutup peluang pihak-pihak dalam pembangunan projek pembinaan dalam membuat atau memperkenalkan inovasi-inovasi baru dalam pengurusan kontrak. Ini tentunya mematikan atau memalapkan usaha-usaha baru yang inovatif dalam mengurus kaedah kerja dan kaedah mengurus  kontrak dan pengurusan pembinaan itu sendiri secara am. 
 4.      Pembaharuan Dan Pengemaskinian Terma Dan Syarat Menguntungkan Satu Pihak Sahaja.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, apabila terma-terma dan syarat-syarat di dalam Borang Seragam Kontrak dipinda, ianya biasanya dipinda oleh pihak yang mengemukakannya (yang biasanya adalah klien projek). Dengan itu biasanya pindaan yang dibuat atau dikemaskini adalah demi menguntungkan pihaknya dan bagi menutup atau membuang kelemahan-kelemahan terma-terma dan syarat-syarat yang dahulu yang nampaknya merugikan mereka (yakni klien projek).

PENGGUNAAN KONSEP KEMUNASABAHAN

 Di dalam menguruskan dan menggunakan Borang Seragam, konsep kemunasabahan perlulah juga dilihat dan diambilkira demi menjamin tiada pihak yang teraniaya atau tertindas. Contohnya seperti mana yang telah terjadi dalam kes Parker lwn. South Eastern Railways Co.[5] dimana fakta yang relevan adalah seperti berikut:
                  P telah menandatangani dokumen yang menyebut, sejumlah £1000 akan dirampas jika barang-barang yang berada di dalam suatu bilik simpanan barang tidak dikeluarkan dalam tempoh 48 jam.
 Dalam hal ini, Bramwell L.J [6] ada menyebut prinsip am perjanjian (yang tentunya termasuklah perjanjian menggunakan format seragam),
          ... adalah difahami secara tersirat bahawa tiada syarat yang tidak munasabah dalam pengetahuan pihak-pihak yang mengemukakan dokumen dan tidak mahu membacanya—tiada syarat yang tidak relevan dengan perkara yang tersedia ada”.
 Dalam kes John Lee and Son (Grantham), Ltd. lwn. Railway Executive[7] hakim Denning L.J.[8] semasa membincangkan mengenai satu terma yang dihujjahkan tidak munasabah dan terlalu berat yang terdapat di dalam satu Borang Seragam Kontrak menyatakan bahawa mahkamah tidak akan menguatkuasakannya (yakni tidak akan menguatkuasakan terma  yang terdapat di dalan format seragam kontrak berkenaan) kerana,
          “adalah sesuatu yang senantiasa diawasi dibawah common law bahawa walaupun membenarkan kebebasan berkontrak namun perlu diawasi agar ianya tidak disalahgunakan”
 Dengan itu jika terma atau syarat sesuatu kontrak itu adalah terlalu tidak munasabah dan membawa pula kepada frod, bencana dan lain-lain (termasuk menyalahi undang-undang), maka kandungan format seragam itu masih boleh dianggap tidak terpakai. Begitu juga jika terma atau syarat itu tidak sesuai lagi dengan polisi semasa.
 Kita ambil contoh fasal 34(a)(b) Borang JKR 203 yang menghendaki kontraktor mengambil polisi insuran perlindungan pekerja dibawah Akta Pampasan Pekerja 1952 dan dalam masa yang sama dikehendaki juga mengambil atau mencarum dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Peruntukan fasal 34(a)(b) tersebut kini menjadi tidak munasabah dipatuhi kerana polisi Kerajaan Malaysia bahawa setiap pekerja tempatan perlu mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO), yakni mencarum dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Apabila seorang pekerja telah didaftar di bawah PERKESO maka dia tidak lagi perlu dilindungi di bawah polisi pampasan pekerja (walaupun majikan, yakni kontraktor atau subkontraktor mengikut yang berkaitan, digalakkan mengambil juga perlindungan insuran pampasan pekerja).
 Kita ambil pula contoh fasal 40 dan Jadual bagi Borang JKR 203, atau fasal 22.0 dan Lampiran bagi Borang PAM 1998, atau fasal 26.2 dan Lampiran bagi Borang CIDB 2000, iaitu mengenai amaun yang perlu diisi bagi pengenaan Gantirugi Yang Ditetapkan. Katakan klien projek mengisi angka “RM 10,000 sehari” bagi amaun gantirugi setiap hari kontraktor lewat menyiapkan projek yang hanya bernilai RM 200,000. Tentunya amaun pengenaan gantirugi yang ditetapkan ini terlalu tinggi dan tidak munasabah, dan disalahgunakan oleh klien projek. Maka dalam kes sedemikian mahkamah akan masuk campur (dan mengenepikan fasal itu) atas alasan terdapat fasal dalam perjajian berformat seragam yang tidak munasabah.

PENUTUP

Walau apa pun hujjah tentang masaalah atau keburukan penggunaan format seragam kontrak pembinaan, namun kebaikannya atau kelebihannya mengatasi hujjah keburukan atau masaalahnya. Kita dapati penggunaan borang seragam kontrak semakin berkembang—bukan sahaja bagi tiga jenis format seragam kontrak pembinaan yang telah dibincangkan sebelum ini (yakni JKR 203, CIDB 2000 dan PAM 1998), tetapi juga dalam pengurusan kontrak yang lain yang nampaknya turut berkembang, misalnya  dalam kontrak putar-kunci. Apa yang perlu ialah semua pihak faham mengenai fasal-fasal (peruntukan-peruntukan) yang terkandung didalam format seragam kontrak berkenaan, dan mempastikan ianya diisi segala fasal-fasalnya agar tiada pihak yang boleh mengisinya kemudian (dan seterusnya disalahgunakan), dan akhirnya mempastikan segala yang dijanjikan itu dapat dan mampu dilaksanakan dengan jayanya. Ini penting bukan sahaja bagi mengelakkan “penyalahgunaan” peruntukan format seragam kontrak tetapi juga membantu melicinkan pengurusan kontrak kelak.
 Pengurus-pengurus atau pentadbir-pentadbir kontrak yang menggunakan perjanjian berformat seragam juga janganlah terlalu mengambil mudah setiap set perjanjian, atas alasan “isinya atau kandungannya serupa seperti yang lain sebelum ini”. Ini kerana kemungkinan ada beberapa pindaan atau penyesuaian fasal atau kandungan yang perlu dibuat bagi memberi gambaran sebenar kontrak kerja yang akan dilaksanakan itu.



1 Adam Smith. 1916. “The Wealth of Nation
2 L’Estrange lwn. Graucob Ltd. [1934] 2 K.B. 157
3 [1927] 43 T.K.R. 323
[4] Ibid. m.s. 324
[5] [1877] 2 C.P.D. 416
[6] Ibid. m.s. 428
[7] [1949] 2 All E.R 581
[8] Ibid. m.s. 584

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.