Bulan ini, 20 tahun lepas
Ayah hadiahkan ku sebatang pena
Kerana kecemerlangan ku dalam peperiksaan
Kata ayah,
Dengan pena ini kita dapat tulis pelbagai ilmu
terpulanglah kepada kita
menulis ilmu kejahatan
atau
menulis ilmu kebaikan
Dengan pena, kita sebenarnya berniaga
yang sepatutnya tidak rugi
iaitu berniaga ilmu kebaikan
ilmu kita bertambah
orang lain pun dapat manfaat
kita semua dapat bonus pahala
Namun pena juga amat tajam
ia dapat membunuh
jiwa, masa depan, maruah dan wibawa
Jika kita guna untuk ilmu kejahatan
Jadi, berhati-hatilah dengan pena itu
Jangan jatuhkan
Jangan menjatuhkan atau terjatuh
Tinggikanlah nilai pena dengan ilmu yang berguna
Hormatilah mata pena
Ayah baru sahaja meninggalkan ku—buat selama-lamanya
Pena hadiahnya tetap ku pelihara
Jasad pena, mata pena
dan ilmu daripada pena
InsyaAllah…aku berjanji pada diri
Untuk gunakan pena hadiah ayah
Menulis ilmu kebaikan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.