Mar 26, 2011

Had Masa Untuk Mengambil Tindakan


Di Malaysia (dan kebanyakan negara lain di dunia) telah wujud undang-undang bertulis (yang digubal oleh kerajaan) yang menetapkan bahawa sesuatu tindakan sivil (tuntutan ganti rugi, perisytiharan, perintah larangan, dan lain-lain) hanya boleh diambil dalam tempoh-tempoh tertentu sahaja. Ini bermaksud orang yang menuntut, yakni plaintif, hanya boleh mengambil tindakan terhadap orang yang dituntut (defendan) dalam tempoh yang ditetapkan sahaja. Jika tindakan undang-undang diambil selepas luputnya (tamatnya) tempoh masa tersebut maka pihak defendan boleh memohon kepada mahkamah secara khusus untuk menolak tuntutan tersebut. Perkara ini diperuntukkan dibawah seksyen 4 Akta Pembatasan 19533. Seksyen 4 memperuntukkan seperti yang berikut:

4.   Tiada apa pun dalam Akta ini boleh bertindak sebagai halangan kepada sesuatu tindakan melainkan Akta ini telah dicatatkan sebagai pembelaan terhadapnya dalam mana-mana kes di mana di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan dengan acara sivil yang pada masa sedang berkuatkuasa pembelaan seperti ini perlu dicatatkan.

Dengan erti kata lain, pembelaan oleh defendan bahawa tindakan sivil oleh plaintif adalah melebihi had masa (dan perlu ditolak) hanya boleh diterima jika defendan dengan jelas menyatakannya (memberitahu) (yakni kes dihalang oleh had masa) dalam pernyataan pembelaannya.

Terdapat dua statut berkaitan pembatasan (had masa) tindakan, iaitu Akta Pembatasan 19534 dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 19485.

Dari segi skop pemakaiannya Akta Pembatasan 1953 adalah lebih umum, dan ianya tentang pembatasan tindakan-tindakan dan penimbangtaraan6. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 pula adalah berhubungan dengan perlindungan bagi orang-orang yang bertindak dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan statutori dan kewajipan-kewajipan awam lain7. Ia juga melindungi pihak berkuasa awam itu sendiri dalam hal yang serupa. Pihak-pihak yang terlibat dengan industri pembinaan termasuk penjawat-penjawat awam perlulah mentafsir dan mengguna pakai Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dengan berhati-hati. Mengenai batasan (had masa) tindakan dibawah akta ini, ianya diperuntukkan di bawah seksyen 2(a) Akta. Seksyen 2 (a) Akta memperuntukkan seperti yang berikut:

2.  Jika, selepas mula berkuatkuasa Akta ini, apa-apa guaman, tindakan, pendakwaan atau prosiding lain dimulakan di Persekutuan terhadap mana-mana orang kerana apa-apa perbuatan yang dilakukan menurut atau dalam melaksanakan atau dengan tujuan melaksanakan mana-mana undang-undang atau apa-apa kewajipan awam atau kuasa awam atau berkenaan dengan apa-apa keabaian atau keingkaran yang dikatakan dalam melaksanakan mana-mana undang-undang bertulis, kewajipan atau kuasa tersebut, maka peruntukkan-peruntukkan berikut hendaklah berkuatkuasa -
    
(a)   guaman, tindakan, pendakwaan atau prosiding itu tidak boleh diambil atau dimulakan melainkan jika ianya dimulakan dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas sahaja perbuatan, keabaian atau keingkaran yang diadukan itu atau, berkenaan dengan kecederaan atau kerosakan yang berterusan, dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas sahaja perbuatan, keabaian atau keingkaran yang diadukan itu atau, berkenaan dengan kecederaan atau kerosakan yang berterusan, dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas sahaja terhentinya kecederaan atau kerosakan itu;

Adalah jelas bahawa seseorang (misalnya pemaju hartanah atau kontraktor) yang ingin mendakwa kerajaan8 kerana dikatakan kerajaan telah tidak melaksanakan sesuatu obligasi dibawah undang-undang bertulis atau kewajipan atau kuasa awam, atau telah mengabaikan atau mengingakari dalam melaksanakan undang-undang bertulis, kewajipan awam atau kuasa awam tersebut, hanya boleh mendakwa (yakni mengambil tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding) dalam tempoh tiga puluh enam bulan sahaja.

Perlulah disebutkan bahawa Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 adalah terpakai kepada pihak-pihak berikut:

Pertama, terhadap Kerajaan Persekutuan (di bawah Perkara 69(2) Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama Mukaddimah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dan seksyen 64 serta seksyen 128 Akta Tafsiran 1948 dan 1967);

Kedua,   terhadap Kerajaan-Kerajaan Negeri (di bawah Bahagian III dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama Mukaddimah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dan seksyen 131 Akta Tafsiran 1948 dan 1967).

Ketiga,   badan-badan berkanun yang mempunyai peruntukan didalam akta penubuhannya mengenai pemakaian Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948. Contohnya Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (di bawah seksyen 6 Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (di bawah seksyen 6 Akta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan 1978), Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (di bawah seksyen 124 Akta Kerajaan Tempatan 1976), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (di bawah peruntukan seksyen 7 Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang 1983), Universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam (di bawah seksyen 24B Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971), Lembaga Akreditasi Negara (di bawah seksyen 59 Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (di bawah peruntukan seksyen 6 Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah 1981), dan lain-lain lagi.


3   Akta 254 (Semakan 1981)
4   Akta 254. Ia mula berkuatkuasa pada 19 Februari 1953.
5   Akta 198 (Semakan 1978). Ia mula berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia pada 19 Ogos 1948 dan di Sabah dan Sarawak pada 25 Februari 1965.
6   Mukaddimah Akta.
7   Mukaddimah Akta.
8  Iaitu dibawah Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 359). Untuk prosedur prosiding sedemikian lihat Aturan 73, Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (bagi prosiding di Mahkamah Tinggi) dan Aturan 43, Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980 (bagi prosiding di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Seksyen).

NOTA: Artikel ini boleh juga diperolehi di http://www.hbp.usm.my/aziz. Ia juga menjadi salah satu bab di dalam buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2004. Aspek Undang-undang Dalam Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. Harga RM36 (sebelum diskaun).  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.