Mar 20, 2011

KAABAH SEBAGAI TEMPAT PERMULAAN PERKEMBANGAN KOTA MAKKAH

Dari sudut kedudukan tempat, Kaabah terletak di tengah-tengah Masjid al-Haram.  Masjid al-Haram itu pula terletak hampir di tengah-tengah Bandaraya Makkah.  Makkah itu sendiri terletak di suatu dataran 909 kaki (277 meter) dari paras laut, di suatu kawasan yang disebut Wadi Ibrahim.36  Bandaraya Makkah terletak hampir di tengah-tengah di antara banjaran bukit-bukit tinggi di sekelilingnya, yakni seperti berikut.37

Di timurnya terdapat kemuncak Jabal38 Ajyad setinggi 1332 kaki (406 meter) dan Jabal Qubais setinggi 1220 kaki (372 meter);

Di baratnya terdapat Jabal Quaiqan setinggi 1404 kaki (427 meter);

Di timur laut terdapat Jabal Hira’ setinggi 2080 kaki (634 meter);

Di selatan Bandaraya Makkah terdapat Jabal Thur setinggi 2490 kaki (759 meter) dari paras laut.

                Ia adalah suatu kawasan berbatu-batan dan berpasir gersang.  Pada permulaannya, yakni sebelum Nabi Ibrahim a.s. singgah bersama anaknya Nabi Ismail a.s. dan isterinya Siti Hajar, tempat itu tidak ada orang tinggal.  Daripada riwayat Ibn Abbas, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Allah merahmati ibu Ismail, dan sehingga dia menggali tanah mendapatkan air, air zamzam begitu segar diperolehi dan dia meminumnya seraya menyusui anaknya.  Jibril memberitahunya supaya jangan gusar atau perit, kerana akan wujud Rumah Allah, dan ia akan dibina oleh Ismail dan bapanya, dan Allah tidak akan menyesatkan mereka.”

Allah S.W.T. juga berfirman:
 22:26

         Maksudnya:

                “Dan (ingatlah) ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di Baitullah…..”

(Surah al-Hajj: 26)

                Apabila telah ditemui air (yakni perigi atau telaga zamzam), maka Makkah mula dikunjungi orang.39  Dan seterusnya tempat itu berkembang menjadi suatu perkampungan.  Perkembangan ini turut diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya yang bermaksud:
“Mereka mendapati ibu Ismail cukup ramah, jadi mereka turut membawa ahli-ahli keluarga untuk tinggal bersama-sama mereka di situ…..”40

Allah S.W.T. juga berfirman:41
     2:125
           Maksudnya:

“Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia…..”

(Surah al-Baqarah: 125)

                Tempat itu terus berkembang di mana pada tahun 1970an, lebih kurang 300,000 penduduk tinggal di situ,42 dan kini didiami jutaan penduduk (kesemuanya Islam).43  Dari segi perkembangan pembinaan bangunan juga, amat nyata begitu pesat.  Ia bermula dari tiada bangunan, kepada sebuah khemah kecil yang menempatkan keluarga Nabi Ismail a.s. kepada suatu perkhemahan sebuah kabilah Arab dan terus berkembang pembinaan rumah-rumah kediaman dan gedung-gedung perniagaan.  Dalam tahun 1959 terdapat lebih kurang 2,300 gedung-gedung perniagaan dan pada tahun-tahun 1970an terdapat lebih kurang 7,000 gedung perniagaan dan 40,000 buah rumah.44  Keluasan kawasan Kota Makkah yang didiami penduduk pada tahun-tahun 1970an ialah 10 batu persegi (26 kilometer persegi) dan masih terus berkembang dengan penempatan-penempatan baru di sekelilingnya.

                Sejajar sebagai tempat berkumpul mengerjakan haji,45 maka tempat itu juga terus berkembang sebagai tempat ibadat berkenaan.  Dalam tahun 1946 sahaja, seramai lebih kurang 61,000 jemaah haji luar datang untuk mengerjakan haji manakala tahun 1972, lebih kurang 480,000 jemaah haji luar.46  Jumlah jemaah haji selama 60 tahun iaitu dari tahun 1345H hingga 1405H adalah mencapai 18 juta orang.47  Perkembangan ini tidaklah menakjubkan sangat jika dibandingkan dengan sejarah jemaah haji pada tahun 10H.  Pada tahun tersebut Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telahpun memimpin seramai lebih kurang 90,000 jemaah dari Madinah mengerjakan haji.48
 -----------------------------------------
36   The New Encyclopedia Britanica, Edisi XV, op.cit, hlm. 754. Wadi bererti lembah yang ada air.
37   Op. cit., hlm. 754.
38   Jabal ertinya bukit.
39   Menurut suatu cerita, sekumpulan kabilah (kelompok pengembara) Jurhum melalui tempat itu, mereka terlihat seekor burung datang dan pergi ke satu tempat, dan mereka tahu burung itu mencari air.  Lalu mereka menghantar dua orang ke tempat itu mencari air lalu terjumpa Nabi Ismail a.s. dan Siti Hajar berada berhampiran suatu tempat yang ada air (perigi zamzam).  Kabilah tersebut terus meminta kebenaran Siti Hajar untuk singgah di situ – lih.  Abbas Abdullah Fida, op. cit., hlm. 80.
40   Hadith riwayat Ibn Abbas.
41   Surah al-Baqarah: Ayat 125.  Ayat ini diturunkan kepada orang yang berkumpul untuk mengerjakan haji, dan boleh juga bermaksud kepada cerita perkumpulan pertama manusia di situ.
42   The New Encyclopaedia Britanica, Vol. II, op. cit., hlm. 754.
43   Kawasan Bandaraya Makkah hanya untuk orang Islam sahaja dan orang bukan Islam tidak boleh memasukinya.  Terdapat beberapa notis yang memberitahu hal ini yang dipamerkan di beberapa jalan menuju ke Kota Makkah.
44   Op. cit., hlm. 754.
45   Surah al-Baqarah: 125, op. cit. Lih. Juga, HAMKA, Tafsir al-Azhar Juz. I op. cit., hlm. 295. Lih. Surah Ali Imran: Ayat 96.
46   Op. cit., hlm. 714.
47   Akhbar Saudi Gazette 1 Jun 1992 (30 Zulkaedah 1412).
48   Haji tersebut digelar Haji Wida’ (Haji Selamat Tinggal) (kerana selepas mengerjakan haji ini, Baginda s.a.w. telah sakit dan wafat).

Di atas adalah cabutan daripada, Abdul Aziz Hussin. 1998. Suatu Tempat Bernama Kaabah. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hlm. 10-13.  

 

 Di bawah adalah Edisi Cetakan tahun 2014:


Berikut pemandangan sekitar kota Mekah, sekitar Kaabah pada tahun 2018 (kredit kepada pemunya asal gambar)





Berikut pemandangan di dalam Kaabah (kredit kepada pemunya asal gambar)















No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.