Pernah melihat pensil?
Tentulah jawabnya: PERNAH...
Ini satu kisah (dan pengajaran) daripada "pensil"...
Semasa saya di Sekolah Menengah Teknik, Kuantan dahulu (tahun 1972-1973), diantara barang yang amat diperlukan adalah pensil jenis HD, terutama untuk digunakan dalam matapelajaran Lukisan Kejuruteraan, dan juga Ukur.
Kerap saya kehilangan pensil. Walaupun dah berkali-kali saya membeli ganti, namun ia kerap hilang, terutama setelah peralatan lukisan (termasuk pensil) ditinggalkan di dalam laci (berkunci) atau di dalam laci tak berkunci di bilik darjah. Pada suatu masa, saya menjadi amat hangat hati apabila kehilangan semua pensil saya, dan hari itu terpaksalah saya meminjam pensil kawan. Nak dijadikan cerita, pada malam itu, selepas habis kelas malam, saya telah melakukan "operasi haram" iaitu mencuri banyak pensil HD kepunyaan pelajar lain yang saya jumpa di dalam kelas saya dan kelas-kelas lain. Walaupun saya tidak mengopak laci-laci bagi mencuri pensil, namun, "banyak juga" pensil yang saya dapat kumpulkan, iaitu 2 berkas (sekitar 2 dozen!!!). Maka untuk beberapa hari berikutnya saya kaya dengan pensil...
TETAPI, "kekayaan" saya itu tidak bertahan lama... Sekitar seminggu kemudian saya kehilangan semua pensil tersebut. Pada hujung minggu berikutnya, saya terpaksa membeli sekotak pensil (10 batang), tetapi saya perasan, kesemuanya lagi cepat hilang daripada sebelumnya, dan saya beli lagi sekotak, dan malangnya semuanya juga hilang. lalu saya terfikir: INILAH BALASAN TUHAN KEPADA AKU KERANA MENCURI.
Semenjak saat itu, saya tekad tak akan dan tidak mahu lagi mencuri pensil... Cuma saya terkilan sehingga sekarang, sebab sehingga saat saya meninggalkan sekolah itu, saya tidak memohon maaf dan memohon dihalalkan kepada rakan-rakan sekolah saya atas perbuatan saya itu, sebabnya, pertama, malu, kedua, takut, dan ketiga, saya tak tahu tuanpunya sebenar kebanyakan pensil-pensil itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.