Jul 12, 2018

Fadhilat Solat Subuh dan Isya

Solat Subuh mempunyai banyak kelebihan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang berjaya menunaikannya dengan sebaiknya. Disebabkan itu, di dalam sebuah hadith yang sahih dinyatakan bahawa solat Subuh merupakan salah satu solat yang berat untuk dilaksanakan buat orang munafiq. Ini kerana, ia memerlukan usaha dan keazaman yang tinggi kerana ketika itu manusia baru sahaja bangun daripada tidur mereka. Hal ini disebutkan oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith:Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَثْقَلَ صَلَاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ، وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Maksudnya: “Seseungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat isyak dan solat al-Fajar (subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.” [Riwayat Muslim (651)]

Tidak dinafikan bahawa solat Subuh mempunyai kelebihan dan ganjarannya yang istimewa bagi sesiapa yang berjaya menunaikannya. Lebih-lebih lagi, bagi sesiapa yang menunaikannya secara berjemaah. Ini kerana, terdapat hadith lain yang hampir sama dengan riwayat di atas tetapi hadith ini adalah sahih dalam menyatakan ganjaran sesiapa yang solat subuh secara berjemaah. Antaranya adalah: Daripada Uthman bin al-Affan RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam.” [Riwayat Muslim (656)]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.