Sep 13, 2015

HEBAT SANGATKAH DIRIKU? HEBATKAH DIRIMU?



MUHASABAH UNTUK DIRI SAYA SENDIRI, DAN INGIN SAYA KONGSIKAN DENGAN SEMUA SAHABAT DIKASIHI

Sifat Ujub dan Senarionya
Ujub adalah sikap merasa kagum dan hebat yang luar biasa serta terpesona kepada diri sendiri, serta rasa hebat diri, dan kita memiliki kelebihan dan kehebatan melebihi orang lain tanpa bersandarkan bahawa semuanya itu adalah atas kurniaan Allah SWT. Dalam hal ini Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa, "Perasaan ujub adalah kecintaan seseorang pada suatu kurniaan dan merasa memilikinya sendiri, tanpa mengembalikan keutamaannya kepada Allah." Manakala Sufyan at-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada diri sendiri sehingga dia merasa bahawa dia lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya berbanding orang lain.
Dalam sebuah hadis, ada Rasulullah SAW menyebut, “Tiga hal yang membawa pada jurang kebinasaan: (1) tamak lagi kikir, (2) mengikuti hawa nafsu (yang selalu mengajak pada kejahatan), dan ujub (takjub pada diri sendiri).” (Hadis riwayat Abdur Razaq, Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)
Perasaan ujub boleh timbul dari dalam sendiri atau setelah dipuji dan dipuja oleh orang lain. Perasaan ujub boleh datang semasa kita berseorangan dan juga semasa berada bersama-sama orang lain. Misalan-misalan situasi yang boleh menwujudkan rasa ujud adalah seperti berikut:
Orang yang berpelajaran dengan pelbagai ijazah digengami, merasa kagum tentang kehebatannya.
Orang yang kerap menghulurkan sedekah dan derma, merasa kagum dengan sedekah dan dermanya.
Orang yang kerap melakukan ibadat berjemaah merasa kagum dengan ibadatnya.
Orang yang rupawan atau hensem, merasa kagum dengan rupa parasnya.
Orang yang kaya raya serta berjawatan tinggi, merasa kagum dan hebat dengan kekayaan dan jawatannya.
Imam Nawawi rahimahullah berkata, ”Ketahuilah bahwa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit ujub. Sesiapa ujub dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya".
Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tenggelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri” (Surah An-Nisaa' 4:36) |
Cara Menghilangkan Atau Mengubat Ujub
Diantara cara untuk menghilangkan atau menentang atau menghalang sifat dan penjelmaan ujud, adalah seperti berikut:
1.  Seperti diperingatkan oleh Allah SWT,
Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa).” (Surah An-Nisa’: 86)
2.  Istighfar (meminta ampun) dan taubat sebanyak-banyaknya kepada Alla SWT.
3.  Sentiasa bermuhasabah diri dan mengingati bahawa diri kita adalah kepunyaan Allah SWT dan kepada-Nya kita akan kembali.
Dalam memuhasabah diri, cuba kita renungi apa yang diluahkan oleh Muthrif rahimahullah: “Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi.”
Abu Ubaidah al-Jarrah (sahabat Rasulullah SAW) telah mengimami sautu solat berjemaah. Sebaik sahaja beliau selesai solat, beliau segera berkata, “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.