Oct 3, 2011

Membazir

Sekitar jam 1.28 petang, 24 September 2011, seorang wanita pembaca Berita 1.30 TV3 ada menyebut, antara lain, “Banyak lagi rumah terbuka, tetapi elakkan pembaziran”.

Perkataan “membazir” menurut kamus Dewan bermaksud, “berlebih-lebihan menggunakan (membeli) sesuatu sehingga ada yang terbuang dengan sia-sia”, “membazirkan menggunakan sesuatu dengan berlebih-lebihan sehingga terbuang, memboroskan, membuang-buang”, “pembaziran perbuatan atau hal membazirkan (wang, tenaga dsb)“

Cuba lihat contoh-contoh daripada ungkapan-ungkapan berikut:

Jom la kita pulang, membazir masa jer mendengar ucapan beliau

Eh eh… kenapa kamu ambil makanan berlebih-lebihan. Saya yakin kamu tak akan dapat menghabiskannya. Membazirkan makanan la kamu ni

Kenapa kamu tempah pakaian terlalu banyak, berlebihan? Siapa yang nak pakai? Kamu telah membazirkan pakaian dan wang ringgit

Matikan la enjin kereta tu.. . Membazirkan minyak dan duit jer

Kamu tau tak, kalau tidur berlebihan, membazir faedah umur sahaja

Tak usah la teruskan usaha itu, sebab tiada apa yang bermanfaat yang diperolehi. Membazirkan usaha kita….”

Tutuplah sebahagian lampu-lampu di dalam bilik itu. Membazirkan elektrik dan bil elektrik sahaja

Paip air yang pecah itu masih belum dibaiki. Banyak air yang membazir…”

Kaedah melaksanakan kerja-kerja ini nampaknya banyak membazirkan tenaga kerja, bahan binaan dan kewangan

Banyak juga lagi contoh membazir, misalnya,

Pertama: Katakan sebuah organisasi diperuntukkan RM10,000 untuk satu acara rasmi tahunan bagi 1000 tetamu. Dicadangkan kosnya RM10 untuk setiap tetamu (kos purata untuk makanan RM6/orang, tempahan tempat dan aktiviti berkaitan majlis tersebut). Namun pihak yang diamanahkan menyediakan makanan dan yang menempah makanan telah berpakat iaitu mereka menyediakan untuk 900 orang tetamu sahaja. Jadi organisasi tersebut “membazirkan” kos akibat kurangan 100 orang tetamu akibat sifat “pecah amanah”. Ini juga sejenis pembaziran.

Kedua: Dalam majlis tetentu, makanan yang disediakan amat berlebihan (kuantiti, jenis)sehingga banyak yang dibuang selepas majlis berakhir. Ini merupakan pembaziran yang amat ketara.

Ketiga: Kita kerap bertemu tetamu yang hadir disesuatu Jamuna telah mengambil makanan yang berlebihan, dan Cuma memakannya sebahagian, dan yang lain ditinggalkan. Bukankah ini juga “membazir”?

Menurut Iman As-Shafi’i, boros atau membazir ialah mengeluarkan atau membelanjakan harta tidak kena pada tempatnya. Imam Malik pula berpendapat bahawa membazir ialah mendapatkan harta daripada sumber yang benar, yang diharuskan oleh Allah tetapi membelanjakannya tidak pada jalan yang diredai oleh Allah.

“Pembaziran” juga dilebarkan pengertiannya dan skopnya oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T.ada berfirman, antaranya,

Tiada lain yang mereka mengatakan kecuali ucapan mereka, "Wahai Pemelihara kami, ampunilah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan apa yang membazir (berlebihan) dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang tidak percaya" (3:147).

Ujilah anak-anak yatim sehingga mereka sampai umur perkahwinan; kemudian, jika kamu melihat mereka berfikiran waras, serahkanlah kepada mereka harta mereka, dan jangan kamu memakannya dengan membazir, dan tergesa-gesa bahawa mereka telah dewasa. Jika sesiapa kaya, maka hendaklah dia menahan diri; jika fakir, biarkanlah dia makan dengan baik. Apabila kamu menyerahkan kepada mereka harta mereka, adakanlah saksi-saksi ke atas mereka; cukuplah Allah menjadi penghitung (harta anak yatim) (4:6).

Dia yang menumbuhkan kebun-kebun yang berjunjung, dan tidak berjunjung, dan pohon-pohon palma, dan tanaman yang bermacam-macam hasilnya, dan zaitun, dan delima, yang mutasyabihat (serupa) sesamanya dan tidak mutasyabihat sesamanya. Makanlah buah-buahan mereka apabila mereka berbuah, dan berilah yang patut diberi pada hari memetiknya, dan janganlah membazir; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membazir (makan, memberi) (6:141)

Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid; dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu membazir; Dia tidak menyukai orang-orang yang membazir.(perhiasan, makan, minum)( 7:31).

Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah Saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya (17:27)

Yang, apabila mereka menafkahkan (membelanjakan) tidak membazir, dan tidak juga kikir, tetapi di antara yang demikian itu, dengan satu pendirian yang saksama (nafkah) (25:67).

Dan janganlah mentaati perintah orang-orang yang membazir (berlebihan) (26:151)
Yang membuat kerosakan di bumi, dan tidak membetulkan(26:152)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.