Sep 28, 2013

Kahwin Kerana Dendam?

Awal pagi ini, ahad 28 September 2013, seorang ustaz memberikan "kuliah" pada suatu siaran televisyen tentang "kahwin", dimana diantara yang disebutkan sepintas lalu adalah , "terdapat orang yang berkahwin kerana dendam". Tidak pula dihuraikan lanjut, mungkin kerana kekangan masa. Namun, saya bersetuju bahawa terdapat umat Islam (dan bukan Islam juga) yang berkahwin kerana dendam, dan bukan kerana sebab yang positif (menjalin silaturrahim, membantu yang susah, menambah zuriat, cintakasih, kerana memurtabatkan agama, dan sebagainya). Memang terdapat kes-kes dimana seseorang itu berkahwin kerana dendam. Diantara contohnya:

Pertama, dalam satu kes, seorang bapa (berumur sekitar 60an) ingin berkahwin seorang lagi dengan seorang janda (berusia lewat 30an). Semua anak dan juga isteri si lelaki tersebut membantah keras keinginan tersebut, dan menasihati dan macam-macam lagi, agar membatalkan hasrat tersebut. Namun malangnya si lelaki berkenaan berkeras ingin meneruskan hajatnya. Nak dijadikan cerita, seorang anak lelaki (sulung) si lelaki tadi (berumur awal 30an, dan belum berkahwin) telah secara diam-diam memikat si janda tersebut, dan pada 3 hari sebelum si bapa meneruskan hajatnya, si anak telah membawa si janda tersebut ke negara jiran dan mengahwininya. Kemudan si anak terus membawa isterinya itu ke rumah pada keesokan harinya, dan memperkenalkan kepada ahli keluarga, termasuk bapanya, "Ini la isteri saya"... Nak dipendekkan cerita, selepas 7 hari berkahwin, si anak lelaki tadi telah menceraikan isterinya. Maka si bapa pun tidak dapat lagi mengambil si janda tersebut sebagai isterinya sebab dia adalah bekas menantunya.
Kedua, dalam kes lain, seorang lelaki (lewat 20an) telah bercinta- cintun dengan seorang gadis berumur awal 20an. Setelah bercinta sekitar setahun, si lelaki mendapat tahu si gadis telah "menjalin hubungan intim" dengan seorang jejaka lain. Namun si lelaki tersebut berpura-pura tidak tahu hal tersebut, dan terus "menumpahkan kasih sayang" (yang kini dengan berpura-pura), dan seterusnya meminta mereka dikahwinkan segera. Setelah selesai upacara perkahwinan, dan mereka berdua "menjalani kehidupan suami isteri" selama satu malam (malam pengantin baru), tup tup pada awal pagi keesokan harinya si suami menceraikan isterinya dengan talak satu, dan menceritakan kepada si wanita (bekas isterinya itu) bahawa dia berkahwin itu hanya untuk membalas dendam "ketidaksetiaan" si wanita tersebut.
Ketiga, seorang lelaki daripada keluarga yang amat daif (miskin yang teramat miskin) telah "diasingkan" daripada kejiranannya (termasuk sanak saudara dan jiran tetangga). Lelaki tersebut telah berhijrah, dan menyambung pelajarannya, dan tidak pulang langsung ke kampungnya sekitar 20 tahun lebih. Nak dipendekkan cerita, dia berjaya dalam hidupnya sebagai seorang pegawai tinggi di sebuah institusi kewangan. Pada masa itu umurnya sekitar awal 30an, dan masih belum berkahwin. Dia sengaja pulang menjenguk kampungnya dengan kenderaan mewah (ibubapanya telah lama meningal dunia, dan 2 adiknya telah berhijrah jauh ke tempat lain). Dia bertandang ke sebuah rumah (yang keluarga ini dahulunya merupakan salah seorang yang amat membenci keluarganya dan menghinanya, kerana kepapaan keluarganya). Setelah dia mengetahui keluarga tersebut mempunyai seorang anak perempuan berumur sekitar 20an, dia segera melamarnya. Dengan senang hati keluarga tersebut menerima lamaran pegawai tinggi dan mewah tersebut, dan mereka segera melangsungkan perkahwinan. Kemudiannya dia membawa isterinya dan keluarga isterinya ke rumah besarnya di ibu kota. Nak di pendekkan cerita, sekitar sebulan perkahwinan, si lelaki tersebut mula menyerlahkan perangai panas baran, kedekut, bersikap menghina isteri dan keluarga isterinya dan macam-macam lagi perkara negatif yang dilakukannya. Tak tahan dengan sikap sedemikian, ahli keluarga dan isterinya lari pulang ke kampung... Kemudian pasangan tersebut telah bercerai....

JANGAN BERKAHWIN KERANA DENDAM, KERANA BURUK KESUDAHANNYA, DAN KEMUNGKINAN ADA ORANG YANG TERANIAYA. INGATLAH, SALAH SATU DOA YANG MUDAH DIMAQBULKAN ALLAH, ADALAH "DOA ORANG YANG TERANIAYA"

Sep 26, 2013

Apa Gunanya?

Boleh anda fikirkan 3 kegunaan/tujuan utama tali besar yang diikatkan pada jajaran pokok-pokok rhu ini?


Sep 24, 2013

Abang Chik dah tamat pengajian...

Pada 21 September 2013, diadakan konvokesyen UniKL kali ke 10, dan Abang Chik (Mustaqem) adalah salah seorang yang menerima skrol ijazahnya pada hari tersebut. Alhamdulillah telah tamat fasa kedua kehidupannya, dan bermulalah fasa ke 3 yang penuh mencabar, iaitu MENCARI REZEKI DI BUMI ALLAH ini. Semoga Abang Chik dilindungiNya daripada apa-apa musibat, masaalah, perangkap dan mudarat. Semoga Allah menunjukkan jalanNya dan memberikan kemudahan dalam menyusur kehidupan mencari rezeki yang halal dan diberkatiNya. InsyaAllah...







Sep 18, 2013

Kemalangan "sondol" di Selatan Thailand...

Ini gambar kemalangan "sondol" di Selatan Thailand... Kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi (9 pagi waktu Thailand) sekitar 1 km dari pekan Weng...
Naper laaa boleh tersondol tiang elektrik nih?




"WESTARN" Food?

WESTARN food la pulak... Silap haribulan, jadi pula WESTARN FOOT"...




Sep 3, 2013

Rupa-rupanya RAMAI PEMANDU OKU...

Pada sekitar jam 10.30 pagi 1 September 2013, semasa saya berhenti rehat di satu R&R Lebuhraya Utara-Selatan di dalam Negeri Perak, dalam perjalanan saya dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, saya  dapati rupa-rupanya ramai pemandu OKU yang menggunakan lebuhraya PLUS. BUKTINYA: Saya dapati 2 tempat letak kereta untuk pemandu OKU senantiasa penuh...selepas sebuah kereta keluar dari petak tersebut, akan ada kereta lain yang masuk. Saya percaya mereka ini pemandu OKU sebab memang terpampang pada Papan Tanda dan juga di atas jalan di petak tersebut, bahawa 2 petak tersebut khas untuk pemandu OKU...cuma mungkin mereka ini, hampir semuanya (kalau bukan SEMUANYA) adalah dalam golongan "OKU PEMIKIRAN EGO" la kuit...sebab saya perhatikan para pemandu yang keluar daripada kereta-kereta tersebut tidaklah pula menggunakan tongkat putih, atau dipimpin, atau menggunakan kerusi roda khas, atau peralatan lain yang khas untuk segala macam OKU.

Bayangkan jika pada masa itu, OKU sebenar ingin menggunakan kemudahan (tandas, surau, tempat makan dll) di situ, dan mereka tak dapat menggunakannya kerana tak ada tempat untuk meletak kenderaan mereka kerana tempat khas itu telah direbut oleh  "OKU PEMIKIRAN EGO" ini. Buruk perangai sungguh.. Tak ada rasa keprihatinan ka????

NOTA: Pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan tegas kepada para pemandu "OKU PEMIKIRAN EGO" ni kerana tiada takrif itu di dalam seksyen 2, Akta Orang Kurang Upaya 2008.


Seksyen 2: "orang kurang upaya" termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Seksyen 26. Akses kepada kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunanawam

(1) Orang kurang upaya hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada dan menggunakan kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang ramai atas asas kesetaraan dengan orang upaya, tetapi tertakluk kepada kewujudan atau kemunculan apa-apa keadaan yang boleh membahayakan keselamatan orang kurang upaya.
(2) Bagi maksud subseksyen (1), Kerajaan dan penyedia mana-mana kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam hendaklah memberi pertimbangan yang sesuai dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan bahawa kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam itu serta penambahbaikan kelengkapan yang berkaitan dengannya menepati reka bentuk sejagat bagi memudahkan akses kepada dan penggunaan oleh orang kurang upaya.



Malangnya Akta Orang Kurang Upaya 2008 tidak mempunyai peruntukan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang, antaranya, menyalahgunakan hak atau keistimewaan yang disediakan untuk OKU. Sepatutnya Akta ini dipinda sewajarnya bagi maksud tersebut.