Sep 28, 2013

Kahwin Kerana Dendam?

Awal pagi ini, ahad 28 September 2013, seorang ustaz memberikan "kuliah" pada suatu siaran televisyen tentang "kahwin", dimana diantara yang disebutkan sepintas lalu adalah , "terdapat orang yang berkahwin kerana dendam". Tidak pula dihuraikan lanjut, mungkin kerana kekangan masa. Namun, saya bersetuju bahawa terdapat umat Islam (dan bukan Islam juga) yang berkahwin kerana dendam, dan bukan kerana sebab yang positif (menjalin silaturrahim, membantu yang susah, menambah zuriat, cintakasih, kerana memurtabatkan agama, dan sebagainya). Memang terdapat kes-kes dimana seseorang itu berkahwin kerana dendam. Diantara contohnya:

Pertama, dalam satu kes, seorang bapa (berumur sekitar 60an) ingin berkahwin seorang lagi dengan seorang janda (berusia lewat 30an). Semua anak dan juga isteri si lelaki tersebut membantah keras keinginan tersebut, dan menasihati dan macam-macam lagi, agar membatalkan hasrat tersebut. Namun malangnya si lelaki berkenaan berkeras ingin meneruskan hajatnya. Nak dijadikan cerita, seorang anak lelaki (sulung) si lelaki tadi (berumur awal 30an, dan belum berkahwin) telah secara diam-diam memikat si janda tersebut, dan pada 3 hari sebelum si bapa meneruskan hajatnya, si anak telah membawa si janda tersebut ke negara jiran dan mengahwininya. Kemudan si anak terus membawa isterinya itu ke rumah pada keesokan harinya, dan memperkenalkan kepada ahli keluarga, termasuk bapanya, "Ini la isteri saya"... Nak dipendekkan cerita, selepas 7 hari berkahwin, si anak lelaki tadi telah menceraikan isterinya. Maka si bapa pun tidak dapat lagi mengambil si janda tersebut sebagai isterinya sebab dia adalah bekas menantunya.
Kedua, dalam kes lain, seorang lelaki (lewat 20an) telah bercinta- cintun dengan seorang gadis berumur awal 20an. Setelah bercinta sekitar setahun, si lelaki mendapat tahu si gadis telah "menjalin hubungan intim" dengan seorang jejaka lain. Namun si lelaki tersebut berpura-pura tidak tahu hal tersebut, dan terus "menumpahkan kasih sayang" (yang kini dengan berpura-pura), dan seterusnya meminta mereka dikahwinkan segera. Setelah selesai upacara perkahwinan, dan mereka berdua "menjalani kehidupan suami isteri" selama satu malam (malam pengantin baru), tup tup pada awal pagi keesokan harinya si suami menceraikan isterinya dengan talak satu, dan menceritakan kepada si wanita (bekas isterinya itu) bahawa dia berkahwin itu hanya untuk membalas dendam "ketidaksetiaan" si wanita tersebut.
Ketiga, seorang lelaki daripada keluarga yang amat daif (miskin yang teramat miskin) telah "diasingkan" daripada kejiranannya (termasuk sanak saudara dan jiran tetangga). Lelaki tersebut telah berhijrah, dan menyambung pelajarannya, dan tidak pulang langsung ke kampungnya sekitar 20 tahun lebih. Nak dipendekkan cerita, dia berjaya dalam hidupnya sebagai seorang pegawai tinggi di sebuah institusi kewangan. Pada masa itu umurnya sekitar awal 30an, dan masih belum berkahwin. Dia sengaja pulang menjenguk kampungnya dengan kenderaan mewah (ibubapanya telah lama meningal dunia, dan 2 adiknya telah berhijrah jauh ke tempat lain). Dia bertandang ke sebuah rumah (yang keluarga ini dahulunya merupakan salah seorang yang amat membenci keluarganya dan menghinanya, kerana kepapaan keluarganya). Setelah dia mengetahui keluarga tersebut mempunyai seorang anak perempuan berumur sekitar 20an, dia segera melamarnya. Dengan senang hati keluarga tersebut menerima lamaran pegawai tinggi dan mewah tersebut, dan mereka segera melangsungkan perkahwinan. Kemudiannya dia membawa isterinya dan keluarga isterinya ke rumah besarnya di ibu kota. Nak di pendekkan cerita, sekitar sebulan perkahwinan, si lelaki tersebut mula menyerlahkan perangai panas baran, kedekut, bersikap menghina isteri dan keluarga isterinya dan macam-macam lagi perkara negatif yang dilakukannya. Tak tahan dengan sikap sedemikian, ahli keluarga dan isterinya lari pulang ke kampung... Kemudian pasangan tersebut telah bercerai....

JANGAN BERKAHWIN KERANA DENDAM, KERANA BURUK KESUDAHANNYA, DAN KEMUNGKINAN ADA ORANG YANG TERANIAYA. INGATLAH, SALAH SATU DOA YANG MUDAH DIMAQBULKAN ALLAH, ADALAH "DOA ORANG YANG TERANIAYA"

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.