Dec 17, 2015

Tetamu Baru Dan Istimewa

Pada 13 Disember 2015, sekitar 4.50 pagi, seekor tapir (tenuk) telah mengunjungi laman pondok kami. Ianya amat jinak, tanpa sikap agresif dan mudah disekati. 


Tapir (tenuk) (nama binomialnya tapirus indicus)(juga dikenali sebagai tenuk asia), sudah dua kali datang bersama anaknya ke kawasan Pondok Al-Huda ini untuk mencari makanan.  
Menurut kajian Mohd Khan bin Momin Khan, "Status and Action Plan of the Malayan Tapir (Tapirus indicus)," Tapirs: Status Survey and Conservation Action Plan, IUCN Tapir Specialist Group, 1997, hlm. 1, tenuk adalah haiwan vegetarian, dengan hidupnya memakan pucuk-pucuk serta daun kayu. Ia haiwan yang bergerak perlahan. Bagaimanapun, apabila diancam atau takut, tenuk mampu berlari pantas meskipun berbadan besar dan juga akan bertindak agresif mempertahankan dirinya dengan cengkaman kuat serta gigi yang tajam. Tenuk Malaysia berkomunikasi melalui decitan dan siulan.



Nota: Dalam hubungan di antara haiwan dan manusia, diperturunkan di bawah ini beberapa perkara berkaitannya daripada perspektif Islam:
Al-imam al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Umar ra dari Nabi S.A.W bersabda, "Seorang wanita dimasukan ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan serangga bumi."
Dalam riwayat di dalam sahih al-Bukhari, "Seorang wanita diseksa kerana seekor kucing yang dia kurung sehingga mati. Dia masuk neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum sewaktu mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya dia makan serangga bumi."
Sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda, “Seorang pelacur dari Bani Israel diampun dosanya oleh Allah dan dimasuknya ke syurga kerana ia bersimpati dengan seekor anjing yang kehausan air, lalu ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya untuk diberi minum kepada anjing itu.”
 Allah mengutuk orang yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran (yakni sasaran untuk memanah atau menembak untuk suka-suka).” Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad.
Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (haiwan) terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadanya).” Hadith Riwayat Bukhari, Ahmad dan Ibnu Majah.
Kasihanilah siapa saja yang ada di bumi ini, nescaya kalian akan dikasihani oleh yang ada di langit.” Hadith Riwayat Tirmidzi, Ath-Thabrani dan Al Hakim.
Jabatan Mufti Negeri Perak. 2013. “Pemeliharaan Dan Penjagaan Haiwan Mengikut Perspektif Islam” memberikan pandangan berikut: http://mufti.perak.gov.my/arkib/26-artikel-fatwa/56-pemeliharaan-dan-penjagaan-haiwan-mengikut-perspektif-islam.html
Haiwan mempunyai peranan yang penting di dalam menyambung kitaran hidup alam ini. Haiwan di dalam alamnya yang tersendiri mempunyai perasaan, terasa bila disakiti dan mempunyai bahasa pertuturannya yang tersendiri serta bertasbih namun kita tidak memahaminya.”
Al-Qur’an:  Surah al-Isra’:  44 ada menyatakan bahawa, “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
Hadis riwayat Buhkari dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sedang seorang Nabi telah berteduh di bawah sepohon pokok, ia digigit oleh seekor semut. Baginda memerintahkan agar mengemas barangan dan mengarahkan agar seluruh sarang semut itu dibakar. Allah SWT menegur perbuatan itu lantaran berfirman : Bukankah yang menggigit kamu itu hanya seekor semut!”
Hadis hasan, dari Mas’ud bin Abdullah, Rasulullah SAW bersabda, “Kasihanilah makhluk di bumi, nescaya anda dikasihani makhluk di langit.”
Orang Islam dilarang membunuh atau menyeksa binatang (kecuali gagak, helang, tikus dan anjing gila kerana ia  boleh mendatangkan memudaratkan). Satu hadis hasan, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang membunuh seekor burung secara sia-sia, maka burung itu akan mengadu kepada Allah pada hari kiamat, dan berkata: Wahai Tuhan ku si fulan membunuh ku secara sia-sia tanpa berdasarkan menafaat tertentu.”
NOTA: Entri di atas adalah sama seperti pada entri pada blog berikut:  http://mujahadah2012.blogspot.my/2015/12/tetamu-baru.html
di mana ia juga ditulis oleh saya (Abdul Aziz Hussin) pada 16 Disember 2015, atas kapasiti sebagai Penasihat Undang-undang Yayasan Kebajikan Mahfatim, Terengganu.
Ops, ni ada satu lagi makhluk yang masuk ke mini kebun saya di TSI, Sungai Petani pada Disember 2023

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.