Dec 11, 2014

Nasib Penghuni Bergelar "SETINGGAN"



Perkara ini ada dibincangkan dan diputuskan dalam Sidek bin Mohamad & 461 yang lain lwn. Kerajaan Negeri Perak dan yang lain [(1982] 1 MLJ 313. Mahkamah Persekutuan. Rayuan Sivil No 115 tahun 1981. 1 Februari 1982]. Dalam kes tersebut, Perayu-perayu telah meneroka suatu kawasan yang luas di dalam satu kawasan hutan. Mereka adalah setinggan, yang kemudiannya sekumpulan setinggan yang lain turut serta. Terdapat perbincangan diantara setinggan tersebut dan pegawai Kerajaan Negeri Perak dimana dikatakan bahawa Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak menyatakan pada awalnya bahawa setiap setinggan tersebut akan diberikan 5 ekar tanah. Artikel dalam akhbar Utusan Melayu, yang memetik sumber BERNAMA (Berita Nasional Malaysia), menyatakan bahawa Kerajaan Negeri bersedia membuka sekitar 10,000 ekar tanah untuk dimajukan oleh setinggan. Kemudiannya sebahagian setinggan diberikan 3 ekar tanah seorang, namun perayu dan yang lain tidak berjaya memperolehinya. Perayu-perayu diberikan notis memberhentikan kerja dan mengosongkan tanah yang dikerjakan. Perayu-perayu mengambil tindakan undang-undang untuk satu perisytiharan bahawa mereka berhak di bawah ekuiti sebagai pemilik lot masing-masing yang diterokai, dibuka dan didiami oleh mereka. Responden memohon untuk  menggugurkan tindakan perayu atas alasan Perayu-perayu adalah setinggan dan adalah budibicara Kerajaan Negeri sepenuhnya untuk untuk memberimilik tanah. Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan oleh responden, dan Perayu-perayu  telah mengemukakan merayu. Dalam menolak permohonan Perayu-perayu, hakim Raja Azlan Shah menyatakan, antaranya, seperti berikut: Adalah jelas perayu tiada kausa tindakan terhadap responden dan mereka tidak akan berjaya disebabkan mereka adalah setinggan. Setinggan tiada hak sama ada di sisi undang-undang atau di bawah ekuiti [Beliau merujuk keputusan McPhail lwn. Persons Unknown CA [1973] 1 Ch 447, 456] dan peruntukan seksyen 48 Kanun Tanah Negara 1965. Seterusnya mahkamah turut menekankan bahawa pendudukan secara haram tanah Negeri adalah suatu kesalahan di bawah seksyen 425 Kanun Tanah Negara, dimana telah termaktub bahawa mahkamah ekuiti tidak akan sama sekali membantu setinggan untuk menentang suatu arahan pengambilan yang pemerolehaan itu dibuat secara menyalahi undang-undang [Mahkamah merujuk keputusan Grafton lwn. Griffin 39 ER 130].

NOTA: Di atas adalah cabutan daripada buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 1996. Lesen Pendudukan Sementara dan Permit. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, hlm. 6-7. Edisi baru buku tersebut akan menyusul dalam tahun 2015, insyaAllah....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.