Dia seorang yang rajin dan patuh--apabila ada sesuatu masaalah dalam pengajiannya, beliau akan menghubungi saya, atau datang berjumpa. Dia rajin dalam melaksanakan pelajarannya, termasuk menyiapkan tesis seperti yang saya cadangankan (daripada aspek isi dan kemajuannya). Apabila saya mengarahkannya berjumpa untuk membincangkan tesis (atau menetapkan bersama tarikh perjumpaan), beliau akan muncul seperti tarikh dan jam yang dijanjikan, termasuklah jika hari itu adalah hari minggu. Jika beliau tidak dapat datang kerana sebab-sebab tertentu, termasuk tidak sihat atau kerana bekerja (dia bekerja sambilan, sambil belajar), dia akan menghubungi saya memohon maaf, dan tarikh baru akan ditetapkan.
Saya masih ingat tentang sifat beliau menghormati saya sebagai gurunya. Setiap kali datang berjumpa saya, dia akan mengetuk pintu, kemudian memberikan salam dan kemudian akan berdiri sekejap dan kemudian baru duduk, dan bersedia dengan bahan yang akan dibincangkan. Apabila semuanya selesai, beliau akan menghulurkan tangan dan bersalaman dengan saya (sambil membongkokkan badan dan mencium tangan saya)(Seingatan saya, saya sendiri melakukan begitu cuma apabila bersalaman dengan ibu saya, dan semasa kecil dahulu semasa bersalaman dengan guru mengajar al-Qur'an). Bahasa yang digunakan oleh Ridhwan ini juga santun, lembut dan bersifat "meraikan". Dia seorang murid yang saya selalu ingat, dan menganggap beliau seperti anak sendiri. Namun mengikut salah seorang kawannya, kadangkala dia memandu/menunggang laju...he he...(saya sendiri pun, masa muda dahulu, memandu laju, tetapi tidak la sampai, "laju macam pelesit"). Setelah tamat pelaksanaan tesisnya, saya dan Penyemak Kedua tesis tersebut memperakukan beliau mendapat markah "A". Mengikut jadual, beliau akan berkonvokesyen menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Projek) USM pada September 2011.
Pada 12 Julai 2011, jam 11:55:54 malam, satu sms sampai ke telefon saya. Pada masa itu saya sudahpun terlelap, keletihan, sebab sudah 2 hari (pagi dan petang) saya berdiri memberikan ceramah di kampus USM Cawangan Kelantan, di Kubang Keriaan, Kelantan. Saya membuka kotak mesej, dan tertulis seperti berikut:
"Salam pm..bekas pelajar master pm,muhamad ridwan dah meninggal krn kemalangan..takziah kepada keluarganya dan al-fatihah kpd arwah.. "
Saya mengucapkan., Innalillahiwa inna ilaihirooji'uun.......dan terus menalipon Mohd Zuhaidi (sahabat karib Ridhwan, yang juga murid saya). Zu mengesahkan berita di dalam sms yang dikirimkannya, dan katanya kejadian tersebut berlaku sekitar jam 6.15 pagi, isnin 11 Julai 2011, di persimpangan susur keluar Bertam, Pulau Pinang, semaa Ridhwan pulang daripada bertemu keluarga tunangnya di Perak, dan dia bergegas pulang ke rumahnya di Bertam Perdana, sebab pada pagi isnin itu dia kena pula ke tempat kerjanya. Zu juga berkata, Ridhwan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah apabila beliau yang sedang menunggang motosikal telah terlangar belakang sebuah lori.
Terdiam saya sekitar satu jam, dan dalam air mata yang tergenang, saya berkata,
"Ridwan, saya halalkan Ridhwan atas ilmu yang saya berikan dan segala yang saya berikan, dan saya memaafkan segalanya... Kamu anak yang baik... Semoga Allah memberikan perlindungan yang terbaik untukmu... Aamiin...."
Begitulah, "Tiada Yang Kekal", melainkan Allah...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.