Jan 27, 2012

Mak Ngah Wo

"Mak Ngah Wo". Itu adalah panggilan saya dan beberapa orang kepada seorang wanita yang amat baik hati, peramah, pemurah dan pengasih, serta suka gelak tawa. Seingatan saya, dia tak pernah marah atau meninggikan suara terhadap saya. Nama sebenar beliau adalah HAWA BINTI AWANG. Dia adalah ibu saudara saya (iaitu kakak kepada ibu saya), yang tinggal di Kampung Banggol Chik Wan, Meranti, Pasir Mas, Kelantan. Beliau telah dijemput mengadap Ilahi pada bulan November 2000. Satu-satunya gambar beliau yang ada dalam simpanan saya adalah yang di bawah ini:


Semasa saya menumpang tinggal di rumah seorang saudara terdekat (semasa saya menyambung pelajaran dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, di Sekolah Menengah Rendah (dikenali pada masa itu sebagai "sekolah aneka jurusan")(Meranti, Pasir Mas), saya kerap bertandang ke rumah Mak Ngah Wo, yang jaraknya sekitar 1 kilometer dari rumah yang saya menumpang tinggal.

Saya masih ingat, pada suatu petang hari minggu, saya bertandang ke rumahnya. Dia sedang mengupas sebiji nangka masak yang kecil sahaja saiznya. Selain mengambil semua isi (ulas) dan biji-bijinya (yang dikupas kulit biji tersebut), beliau juga mengambil semua jerami isi nangka tersebut yang berwarna kekuningan. Selepas dipotong kecil dan dicampurkan santan, air, gula dan sagu, dan dimasukkan ke dalam satu periuk yang agak besar juga saiznya, beliau meletakkannya di atas dapur kayu yang terletak di satu ruang dapur rumahnya. Selepas itu dia mengajak beberapa budak, termasuk saya untuk bersama-sama makan bubur tersebut. Sedap...!!!!

Pada beberapa kali yang lain, dia menjemput saya makan di dapurnya. "Ddajih (itulah nama yang dia panggil saya, bagi kependekan nama saya, Abdul Aziz) makan nasi di rumoh Mak Ngah deh... Mak Ngah rebus telor itik". Saya cuma menganggukkan kepala (kerana memang pun saya lapar...). Biasanya dia akan merebus sebiji telor itik khas untuk saya dan saya makan nasi berlaukkan telor itik tersebut dan pencicahnya tak lain tak bukan adalah budu. Itulah sahaja yang saya makan, tapi kenyang....

Ada juga kadangkala dia memberikan saya kueh, terutama yang kerap dibuatnya, iatu kueh tepung bungkus.

Pendek kata, kalau saya berkunjung ke rumahnya (yang kerap saya berkunjung, dan sebab utamanya kerana lapar), maka saya akan pulang kekenyangan...

Apa yang saya perasan, Mak Ngah Wo ni, kalau dia memasak, dia akan memasak banyak, sebab dia akan ajak juga orang lain, terutama budak-budak, untuk makan, atau diminta anak cucunya menghantarkannya kepada jiran dan saudara-mara.

Sebenarnya, dia sendiri bukanlah orang kaya, dan hanya cukup makan sahaja.

Setelah saya pulang daripada perantauan, dan bekerja, kerap juga saya singgah di rumahnya. Ada juga kadangkala saya tidor di rumah dia (walaupun kurang selesa kerana banyak nyamuk dan tandas pula terletak di luar rumah...he he...), walaupun saya memang boleh tidor di hotel (secara percuma). Biasanya saya akan membawa buah tangan untuk Mak Ngah Wo apabila berkunjung ke rumah dia. Setiap kali sebelum berpisah, saya akan bersalaman (sambil memberikan sedikit wang sebagai tanda kasih). Kerap saya cium tangan dan dahinya, dan peluk dia.... Dia kerap berpesan, "Ddajih, bawo kereto jange laju..."

Semasa saya diperantauan, saya mendapat berita pemergiannya dipanggil Ilahi... Saya tak dapat pulang menziarahi jenazahnya... Apapun. kerap juga selepas solat, saya mendoakan kepada beberapa orang yang baik dengan saya, dimana Mak Ngah Wo adalah salah seorang daripadanya. SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMATNYA KEPADA MAK NGAH WO, DAN SEMOGA DIA DICINTA KASIH OLEH ALLAH DAN RASUL, SEPERTI DIA CINTA KASIH KEPADA SANAK SAUDARANYA, TERMASUK SAYA.

"Mak Ngah Wo, terima kasih atas segala kebaikan Mak Ngah kepada saya...saya maafkan dan halalkan segalanya kepada Mak Ngah...dari dunia sampai akhirat.. "

2 comments:

  1. Mak Ngah Wo insan mulia...Dalam era kini masih adakah mereka seperti Mak Ngah Wo ini?..Kisah yang dipaparkan pastinya menyentuh mereka yang bernama insan..

    ReplyDelete
  2. Salam, sdra Cikgu Izani.... Begitulah kita...Kita akan tetap mengingati mereka seperti ini. Kita mengingati mereka atas kebaikan mereka, dan bukan atas kaya dan kuasa, kan?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.