Jul 14, 2013

RIBA...



Riba adalah dalam kata asal Arab yang sama ertinya dengan al-ziyadah (tambahan). Daripada aspek yang mudah, ia bermaksud menambah atau menaikkan daripada nilai asalnya. Takrif ini disandarkan kepada satu hadis Riwayat Al-Syaikhan dengan riwayat Abu Said Al-Khudari berkata, "Rasulullah bersabda bahawa "Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, kurma dengan kurma dan garam dengan garam dipertukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam. Siapa yang manambah atau minta tambah maka ia telah malakukan riba, baik yang meminta maupun yang memberi, dalam hal itu sama saja”.
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka,mereka kekal didalamnya.” [Al-Baqarah:275]
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa [Al-Baqarah: 278-279]
Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keridhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang- orang yang melipat gandakan (pahalanya) [Al-Rum: 39]
Dari Usamah bin Zaid r.a, katanya Nabi s.a.w bersabda:Sesungguhnya riba itu boleh berlaku pada jual beli secara hutang (kredit).
Dari Jabir Ibn Abdillah telah berkata: Rasulullah SAW menglaknat sesiapa yang memakan (harta) riba, yang menjadi wakil, penulis (bagi kontrak)  dan saksi-saksi, Baginda telah berkata: Mereka semua sama) [Hadis Sahih Riwayat Muslim]
Rasulullah SAW bersabda: Jauhilah kamu daripada tujuh dosa-dosa besar: Syirik kepada Allah dan Sihir, bunuh manusia yang diharamkan darahnya oleh Allah, memakan (hasil) riba, memakan harta anak yatim,…)[ Hadis Sahih Riwayat Muslim]

Satu Cerita Tentang Pemakan Riba

Pada suatu petang, sekitar tahun 1998, saya singgah untuk solat maghrib di suatu mesjid yang terletak di Daerah Kuala Krai, Kelantan. Kebetulan saya tidak terlalu kalut untuk meneruskan perjalanan. Jadi saya mengambil kesempatan mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz. Tajuknya tentang riba dan pemakan riba. Sebaik sahaja dia membaca beberapa nas seperti di atas, tiba-tiba ustaz tadi terhenti daripada meneruskan kuliahnya... dan terdiam sekitar lima minit, sambil tangannya menyapu airmata yang menitis di kelopak matanya. Saya terpegun dan kaget melihat peristiwa tersebut... Suasana menjadi hening seketika, walaupun pada masa itu terdapat sekitar 20 orang yang hadir mendengar kuliahnya. Hadirin yang lain juga saling berpandangan dan sekali sekali memerhatikan gelagat ustaz tersebut. Kemudiannya ustaz tersebut meneruskan kuliahnya, tetapi dengan nada agak sebak.... Sekitar 20 minit kemudian, kuliah tersebut dihentikan (sebelum azan isya’ dikumandangkan). Selepas solat isya’, dan bersalaman dengan beberapa hadirin, saya tergerak hati untuk bertanya seorang orang tempatan (saya agak) tentang hal tersebut:
Saya: Pak cik, sebab apa ustaz tadi jadi macam tu?
Pak cik: Pak cik rasa, mungkin dia teringat kisah bapanya dulu...dah lama meninggal dunia. Bapanya dulu ceti... kaya sangat... Tapi bila dekat mati, dia tersiksa sangat sebab kena tipu, rumah kena rompak dan dia kena tetak. Kemudian dia jadi amat daif, miskin sangat. Masa mati pun, kain kafan dia orang kampung yang buat kutipan.  Masa tu ustaz tadi masih kecil lagi...
Saya: Oooo... begitu... Subhanallah...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.