Pada malam tadi, 14 Jun 2011, dalam slot HALAQAH: SENTUHAN KALBU, TV9, tajuk yang diketengahkan adalah "Bunuh Diri". Pada 5 Mac 2011, saya ada juga mengemukakan tajuk yang sama di dalam blog ini, namun ianya daripada perspektif undang-undang. Ia juga dalam kategori "bunuh diri secara langsung" (direct).
Entah dimana silapnya makhluk Allah bernama "manusia" ini, kerana ada pula sekelompok lagi "bunuh diri yang tidak langsung" (indirect) yang nampaknya sengaja diwujudkan... Contohnya:
Pertama
Agama dan undang-undang duniawi menyatakan bahawa arak itu najis dan memabukkan dan di sisi agama Islam, hukumnya haram. Namun ada manusia yang tetap meminumnya, dan mabuk. Apabila mabuk, manusia ini memandu pula kenderaan, walaupun otaknya sudah tidak berfungsi dengan waras dan hilang pertimbangan (memandu semasa dalam pengaruh alkohol juga satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987). Maka berlakulah kemalangan, dan silap haribulan, dia mati, atau, orang lain yang tak bersalah pula yang terkorban. Bukankah ini sejenis bunuh diri?
Kedua
Ada juga manusia pelik yang tak ada kerja lain yang nak dibuat, kecuali menghisap dadah, menyuntik dadah ke tubuhnya sendiri (menjadi doktor peribadi untuk peribadinya). Dah berbuih mulut pihak kerajaan, ahli akademik, doktor, dan lain-lain menasihatkan (dan bertindak, termasuk menangkap, menghukum), namun makhluk manusia jenis ini tetap juga melakukan perbuatan tersebut. Maka mereka ini pada akhir harinya akan menajdi "patung bernyawa", menghidap penyakit yang pelik-pelik, atau terkujur maut. Bukankah ini sejenis bunuh diri?
Ketiga
Pihak berkuasa sering menasihatkan bahawa, apabila menaiki bot, perahu, dan seumpamanya (hatta mahu memancing), pakailah jaket keselamatan. namun, kerana alasan "Saya pandai berenang", atau, "Tak apa la", atau, "Nak cepat", dan lain-lain, maka jaket keselamatan tidak dipakai. Jika berlaku kemalangan (misalnya bot tenggelam, dipukul ombak, berlanggar), maka kematian boleh berlaku akibat lemas dan panik. Bukankah ini juga sejenis bunuh diri? Hal yang sama juga kepada pemakaian topi keledar, topi keselamatan di tempat kerja, atau tali keledar keselamatan. Bukankah ini sejenis bunuh diri?
Keempat
Memandu laju, walaupun daripada jenis kenderaan mewah, mahal dan mempunyai ciri keselamatan yang tinggi, tetap terdedah kepada kemalangan, dan kalau makin laju, maka kemungkinan untuk berlaku kemalangan semakin tinggi. Kalau sedemikian, selain daripada menjadi kesalahan pemanduan (dan menunggang) jika memandu/ditunggang melebihi had laju, maka bukankah ini sejenis bunuh diri? Cuba bayangkan, jika kita memandu/menunggang sekitar 120km/j, berlanggar dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan yang dipandu/ditunggang pada kadar 80km/j. Secara mudah (tanpa mengira kadar perlahan kerana membrek kecemasan), kita terlibat dalam perlanggaran pada kadar selaju 200km/j! Bukankah ini sejenis bunuh diri?
Kelima
Dinasihatkan kita JANGAN MEROKOK, kerana merokok (termasuk menghisap cerut) membahayakan kesihatan daripada pelbagai sumber (narkotina, racun, karbon monoksida dan lain-lain). Ahli agama juga melarang merokok. Namun kita masih merokok, walaupu harga roko amat mahal! Bukankah ini sejenis bunuh diri?
Keenam
Sifat pengotor sebahagian kita, seperti tidak menjaga kebersihan di dalam rumah dan persekitaran rumah (yang mengundang lalat dan nyamuk, serta tikus dan lain-lainnya) tentunya mendedahkan kita kepada penyakit-penyakit merbahaya, seperti yang ada kaitan dengan e-coli, denggi, leptospirosis dan seumpamanya. Bukankah ini sejenis bunuh diri?
Ketujuh
Kegiatan pelacuran ada kaitannya dengan pelbagai penyakit seperti AIDS (selain penyakit sosial...). Namun ada sekelompok manusia yang masih berdegil untuk terus menjadi pelacur (sehingga ada yang menjadikannya sejenis perniagaan!), dan melanggan pelacur. Bukankah ini juga sejenis bunuh diri?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.