Jun 14, 2012

“SETIA” SEBAGAI TONGGAK KECINTAAN DIRI, ORGANISASI, NEGARA DAN AGAMA

Kamus Dewan[1] mentakrifkan “setia” sebagai tidak berlaku curang, jujur, amanah serta teguh hati dalam hubungan, (berpegang) teguh pada janji dan lain-lain; taat dan patuh kapada pemerintah. Kesetiannya juga bermaksud keikhlasan atau menyerah jiwa raga kepada seseorang, negara, kumpulan, atau kelompok manusia[2]. Ia juga merujuk kepada hal keadaan atau kualiti ketaatan, keikhlasan dalam komitmen atau obligasi[3], atau keteguhan pematuhan yang ikhlas kepada sesuatu kedaulatan, pemerintah (kerajaan), pemimpin, kelompok orang, dan seumpamanya[4].

Encyclopaedia Britannica[5] pula menekankan bahawa kesetiaan adalah ketaatan kepada kedaulatan atau kerajaan yang telah bertapak dimana dia (orang yang mentaati tadi) menjadi rakyatnya, dan juga termasuklah menyerah jiwa raga serta rasa hormat kepada kedaulatan tersebut dan kejelujurannya.

“Setia” amat mendalam maknanya dan mencangkupi aspek-aspek sosial, ekonomi, politik, undang-undang, malah agama, dan lain-lain. Kesan daripada “kesetiaan” dan “ketidaksetiaan” juga amatlah mendalam, yang bukan sahaja melibatkan moral-sosial, tetapi juga ekonomi, kewangan, undang-undang, agama dan lain-lain. Terlalu luas dan banyak yang boleh dibincangkan tentang “setia” dan “tidak setia”. Apapun, artikel ini hanya menjurus lebih kepada aspek setia daripada perspektif undang-undang. Penulis mengatakan bahawa perkataan “setia” ini merupakan satu perkataan, yang banyak berada di dalam kelompok “positisma”, yakni menerapkan dan memihak kepada aliran positifnya. Namun “setia” juga perlu dilihat daripada perspektif “negatisma”. Contohnya, suatu kumpulan mafia atau sindiket dadah juga menghendaki setiap ahlinya setia kepada ketua kumpulan, dimana jika didapati ahli tidak setia maka ahli tersebut akan dihukum, termasuk dipotong anggota badan, atau dibunuh.
Kesetiaan boleh tercalar, berkurangan (merosot), tercabar, malah boleh terhakis terus (hilang). Beberapa situasi atau sebab dan justifikasi yang boleh dilihat punca kesetiaan menjadi sedemikian adalah:
  1. Sifat atau sikap yang sememangnya tidak setia (termasuk sifat memberontak);
  2. Kesetiaan yang berpindah kerana atas perbandingan, diantara: Baik lwn. Tidak baik;
  3. Kerana pihak yang satu lagi tidak setia, tidak boleh diharapkan;
  4. Hilang kepercayaan;
  5. Pemerintah atau majikan yang zalim, tidak memperdulikan rakyat/pekerja (maka berlaku tunjuk perasaan, guling pemerintah, mensabotaj majikan dan sebagainya); dan
  6. Majikan/negara/pemerintah yang tidak dapat/tidak mahu memenuhi hasrat pekerja/rakyat.
Diantara Cogan Kata (Slogan) yang memanifestasikan “kesetiaan” yang kerap kita temui, antaranya, “Bersekutu Bertambah Mutu[6], “Sehidup Semati”, dan “Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing”.
Selain itu, Rukun Negara[7] juga menggambarkan, antaranya, betapa perlunya kesetiaan kepada Raja dan Negara:
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
·   Kepercayaan kepada Tuhan
·   Kesetiaan kepada Raja dan Negara
·   Keluhuran Perlembagaan
·   Kedaulatan Undang-undang
·   Kesopanan dan Kesusilaan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara” yang ditekankan dalam Rukun Negara membawa maksud bahawa setiap warganegara Malaysia di peringkat Persekutuan hendaklah menumpukan sepenuh taat setia secara jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, setiap rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja/sultan yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin (namun tidaklah pula mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong).
Jika kita melihat spektrum dan senario “kesetiaan”, ianya merupakan hubungan dua hala: Contohnya Ketua kepada pengikut, dan pengikut kepada Ketua. Bagi Ketua Negara, ianya dimulakan oleh Ketua Negara dan Kerajaan itu sendiri (iaitu dimulakan dengan Sumpah Setia). Kemudiannya terdapat pula, “Setia Kepada Negara” (yang menjadi salah satu rukun di dalam Rukun Negara). Terdapat juga “Setia Kepada Majikan”, “Setia Kepada Pasangan”, ”Setia Kepada Rakan”, atau “Setia kepada Kumpulan”.  
         Seperti dibincangkan di atas, seseorang dikatakan tidak setia jika ia belot, tidak ikut ketua, atau mengkhianati. Daripada konsep inilah juga lahir ungkapan, antaranya, ”Harapkan pagar, pagar makan padi”. Dalam Mohd. Amin lwn. Pendakwa Raya[8] misalnya, Mohamed Amin Mohamed Razali, yang merupakan ketua sekumpulan seramai 28 ahli yang lain, telah menjalani hukuman gantung di Penjara Sungai Buloh Selangor pada 4 Ogos 2006. Ahli yang lain iaitu Zahit Muslim, Jamaluddin Darus, dan Jemari Jusoh menjalani hukuman gantung seminggu sebelumnya di penjara yang sama[9]. Kesemua mereka pada mulanya telah didakwa di bawah seksyen 121 Kanun Kesiksaan, iatu persediaan melawan Yang di-Pertuan Agong. Namun kemudiannya 14 orang daripada mereka telah dipinda pendakwaan, iaitu daripada seksyen 121 kepada seksyen 122 Kanun Kesiksaan (dan kemudiannya didapati bersalah dan dihukum 10 tahun penjara). Baki 11 orang lagi telah dihukum penjara seumur hidup.
               Dalam undang-undang Islam, ketidaksetiaan yang paling serius kesannya adalah orang Islam yang tidak setia kepada Allah (s.w.t.), yang akan tergolong ke dalam kelompok murtad— dimana dia akan hilang kehidupan sejahtera di akhirat yang kekal. Allah (s.w.t.) berfirman, yang maksudnya,
Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya[10].
Ayat ini menunjukkan bahawa amal orang murtad dihapus di dunia dan di akhirat. Seterusnya Allah (s.w.t.) juga ada berfirman, yang bermaksud,
Bagaimana Allah akan menunjukkan kepada suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahwa Rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul, dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak akan menunjukkan orang-orang yang zalim[11]


[1] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Pelajar. Edisi Kedua. 2008. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] en.wikipedia.org/wiki/Loyalty [Diakses 4 Mac 2010]
[3] Dictionary.reference.com/browse/loyalty [Diakses 4 Mac 2010]
[4] Ibid.
[5] The Encyclopædia Britannica Edisi ke-11. Lihat juga Ladd, J. 1967. "Loyalty", dlm. Edwards, P. The Encyclopedia of Philosophy 5 Macmillan, hlm. 97; Vandekerckhove, W. 2006. Whistleblowing and organizational social responsibility: a global assessment. Corporate social responsibility series. Ashgate Publishing, Ltd. hlm. 127 et seq; dan Kleinig, J. 1996. The ethics of policing. Cambridge studies in philosophy and public policy. Cambridge University Press, hlm. 291.
[6] Iaitu salah satu ciri lambang Negara Malaysia.
[7] Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara.
[8] [2003] 4 AMR 253 (Mahkamah Persekutuan).
[10] Al-Qur’an, Surah Baqarah, ayat 217.
[11] Al-Qur’an, Surah Ali Imran, ayat 86.



4 comments:

  1. Assalamualaikum Ayahanda... apa khabar? Lama tak mendengar cerita... didoakan semoga Ayahanda sentiasa sihat dan di bawah naungan dari-Nya... Amin. Kenal tak saya ni? hehehehh

    ReplyDelete
  2. Salam, anakanda Sue...Ewaaah....dah 2 anak, kan? Alhamdulillah..Satu jenis/kategori Setia juga la tu.... Terima kasih banyak kerana membantu ayahnda dalam penerbitan buku. Semoga bantuan anakanda dibalas Allah adanya...

    ReplyDelete
  3. Eh, mana dua orangnya... baru seorang je.. Insya-Allah, belum rezeki lagi... Terima kasih atas doa Ayahanda...

    ReplyDelete
  4. Ops, dua termasuk bapa kepada anak la yer....he he

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.