Sep 6, 2012

Demi Masa Depan...

Dari tempoh mulai 1 September 2012 sehingga 7 September 2012, kebanyakan universiti awam di Malaysia menyambut pelajar-pelajar baru mereka...
Di bawah ini gambar sekumpulan kecil pelajar baru yang menjalani aktiviti Minggu Orientasi/Suai-kenal mereka di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM, Pulau Pinang. Sebahagian daripada mereka akan menjadi pelajar saya apabila tiba di tahun 2 dan tahun 3 serta menyambung ijazah sarjana kelak, yang mengambil beberapa kursus undang-undang yang berkaitan.


PESAN SAYA KEPADA PARA PELAJAR BARU:
Tempuhilah alam dan tempuh pembelajaran semasa di IPT ini dengan tekun, sabar, tenang dan penuh disiplin;
Ingatlah, bahawa selain daripada membawa amanah diri sendiri, kita juga membawa amanah keluarga (yang sebahagian besarnya datang bersama kita semasa mendaftar diri, yang tersenyum riang dan memberitahu kawan dan saudara mara, "Anak kami dapat masuk IPT...", yang banyak menghabiskan masa, harta dan ikhtiar demi mempastkan kejayaan kita). Kita juga menjadi "ikon" kepada adik-adik, dan sanak saudara yang "junior" daripada kita;
Ingatlah, kita datang menuntut ilmu dan pengalaman, yang bukan sahaja berbentuk kuliah, tugasan, tesis, tutorial, lawatan sambil belajar, dan seumpamanya, tetapi alam pembelajaran, persekitaran tempat tinggal, rakan-taulan, dan segalanya juga adalah "guru" kita--bersedialah memilih dan mencerakin yang baik-baik sahaja, dan jangan sekali-kali terpemgaruh dengan segala elemen jahat, kabur, seleweng, putar-alam, dan apa jua aktiviti yang merugikan (wang, masa, tenaga, usaha, umur, masa depan);
Dengar dan ikutlah nasihat guru (yang namanya "pensyarah", "profesor", "pegawai pentadbiran", "dekan". dan seumpamnya); dan
Pesan-pesankan pada diri sendiri, "Walau sesibuk manapun kuliah, tugasan dan seumpamnya, aku tak akan tinggalkan solat, tak akan terlupa untuk berdoa bagi kebaikan, dan aku akan tetap bersabar dan berikhtiar mendapat yang terbaik":.

BERIKUT INI KOMBINASI "RAKAMAN PERISTIWA" SEMASA SAYA BERGELAR "PELAJAR" DI BEBERAPA INSTITUSI PENGAJIAN, SEBAGAI IKTIBAR DAN PANDUAN KITA...
1. Saya pernah berjalan kaki dalam sinaran terik matahari, dari tempat kediaman di luar, di tepi kampus untuk ke kuliah, yang memakan masa sekitar 2 jam berputar-putar di dalam kawasan kampus,  hanya kerana tersesat jalan....Longlai sangat, dan runtuh semangat saya pada masa itu. Sesampai di tempat belajar, saya meneguk air mentah di pili sepuas-puasnya, akibat amat dahaga... Nasib baik, walaupun kuliah telah pun berjalan, saya masih diizinkan masuk, dan pensyarah berkaitan cuma melihat sahaja ke arah saya, tanpa berkata apa-apa....dan meneruskan kuliah seperti biasa.
2. Semasa minggu orientasi, kami diberikan makanan percuma. Pada suatu pagi, kami diberikan mihun goreng dan teh "o". Semasa makan, saya dapati terdapat seketul lauk, yang saya cubit-cubit sambil memakannya, yang saya dapati, dan baru perasan, ianya adalah sebiji hempedal ayam yang belum dibelah!!!!! uweeekkk... Tapi saya cuma berdiam diri, dengan sayuuu hati...
3.Semasa saya berjalan bersama 3 kawan untuk ke kuliah, seorang lelaki (saya percaya ianya pegawai IPT tersebut) menumpangkan kami. Alhamdulillah..bersyukur sangat kerana ada orang yang prihatin, kerana pada masa itu hujan turun renyai-renyai. Bila sampai ke destinasi, sekitar 1 kilometer, kami turun, dan saya orang yang terakhir turun, dan dammm...agak kuat saya menutup pintu penumpang belakang kereta tersebut. Saya tak sengaja sebenarnya kerana masa tu hujan dan bahagian luar kereta tersebut licin, dan... "Oiii!!! Jahanam kereta aku!!!! Tak ada adab!!!". Itu ungkap pemandu tersebut dalam nada herdikan yang amat kuat. Saya cuma mampu memohon maaf kepadanya dalam kegugupan, dan berkata, "Maaf, saya tak sengaja". Dia berlalu dengan menekan minyak agak kuat. Kami berempat terpinga-pinga. Walhal keretanya bukan "kereta baru" dan bukan "kereta mahal". Selepas peristiwa tersebut, saya amat takut untuk menumpang kereta orang...
4. Selepas selesai mandi dan berwuduk awal pagi di tandas yang terletak di hujung bangunan, saya berjalan pulang ke bilik asrama, dan...membuka pintu...tapi tersilap masuk bilik orang lain! Maklum la, bilik-bilik asrama adalah seragam. Penghuni bilik itu segera bertanya, "Nak cari siapa?", dan saya secara spontan menjawab, "Man pergi mana? "Oh, Man pi tandas". "OK, saya balik dulu...", he he he....
5. Saya ni dahulu berbadan kecil, dan sangat kurus... Ada seorang pelajar lelaki yang kerap membuli saya, tetapi saya tak pernah melawan pun, dan cuma berdiam diri... Jika dia suruh saya membasuh pakaiannya, saya basuh, dengan niat membantunya. Setelah sekian lama, dia tidak lagi membuli saya, dan pada suatu hari setelah kami tamat bercuti (dan pulang ke kampung), dia berjumpa saya, dan menyerahkan sehelai baju putih, seraya berkata, "Nah Aziz, ni baju, aku sedekahkan kepada mu". Saya cuma menjawab, "Terima kasih", sambil mengambilnya dengan seronok, walaupun itu bukanlah "baju yang baru", tetapi "masih baru". Saya memakai baju tersebut untuk sekian lama, sehinggalah ianya "tak sesuai dipakai" lagi kerana sangat lusuh dan koyak....
6. Semasa saya pulang daripada satu Projek Anak Angkat di Perlis, dengan bas IPT berkenaan (semasa cuti semester), saya terus ke asrama, kerana masa tu masih awal pagi, dan keretapi untuk saya pulang ke kampung akan bertolak pada sebelah malam. Jadi, oleh kerana saya tak ada tempat menumpang berteduh pada siang hari tu (kunci bilik mesti dipulangkan sebelum tamat semester), saya berjumpa Ketua asrama tersebut meminta izin menggunakan bilik asrama sekejap. Dia menengking saya dan menyatakan "Tak boleh!!", sambil hidungnya ditutup dengan tangan, sebab saya berdiri agak dekat dengannya..Mungkin bau badan saya yang "kurang enak", sebab maklum la, seharian semalaman di dalam keretapi... Setelah merayu dan memberikan sebab, akhirnya dia "melontarkan" saya kunci bilik asrama, dan beritahu, "Lepas guna, letak bawah pintu bilik saya". Saya tunduk mengambilnya dengan airmata sedikit menitis, sebab rasa terhina sangat diperlakukan sedemikian, tetapi tetap berkata, "Terima kasih, tuan..".
7. Di satu IPT yang lain pula, pada hari saya hendak mendaftar tempat tinggal, diberitahu bahawa asrama sudah penuh. Bayangkan, kat mana saya nak tinggal???? Saya terus berjumpa "Penggawa" asrama (yang juga salah seorang pensyarah saya), dan meminta bantuannya. Dia segera menyiasat, dan saya diberikan sementara satu bilik asrama... Alhamdulillah.... Beberapa hari kemudian, tiba-tiba dia terjenguk di hadapan bilik asrama saya, dan berkata,."Aziz, macam mana, boleh ker, sesuai ker? Maaf la, kalau kurang OK, sebab tak ada bilik lain". Saya cuma tergelak, dan berkata, "Alhamdulillah, Dr., semua OK. Ni pun dah amat bagus, terima kasih". Saya tinggal di bilik asrama tersebut sekitar  2 bulan, sebelum saya mendapat tempat tinggal yang lain. Semasa saya menulis ini, dia sekarang memegang jawatan NAIB CANSELOR IPT tersebut. Semoga Allah memberikan segala kebaikan kepada beliau. Beliau ini salah seorang pensyarah yang saya kagumi, yang bukan sahaja kerana ketinggian ilmunya, tetapi sifat prihatin, suka membantu, rajin, dan...suka tersenyum....dan gelak....

Macam-macam lagi kisah suka-duka semasa saya begelar pelajar...

Apapun, PESAN SAYA KEPADA DIRI SAYA SENDIRI, PARA PENSYARAH DAN PENTADBIR IPT:
1. Bantulah pelajar. Mereka amat memerlukan sokongan kita. Kita pengganti ibubapa mereka. Mereka "menyerah diri" kepada kita, demi mencari ilmu.
2. Jangan buli, tengking dan hina mereka. Mereka perlu dianggap sebagai anak kita. Jangan ungkap perkataan yang keji terhadap mereka, seperti mengumpamakan mereka dengan makhluk lain, kayu, batu, dan mengatakan mereka, "bodoh". Ya la, kalau mereka dah bijak pandai, tentu la mereka tak menjadi "pelajar", tetapi mungkin menjadi "guru" kita pula, kan? Mereka perlukan kita dalam berkongsi ilmu.
3. Jangan "ambil kesempatan" terhadap mereka dalam pelbagai cara, sama ada secara yang nyata atau tersembunyi...
4. Cuba "jenguk" lah juga kebajikan mereka. Mungkin kita dapat menambah "sumbangan bermakna" kepada mereka: walaupun, mungkin dalam bentuk memberikan nasihat, atau teguran yang membina...

NOTA:
Ini gambar saya dalam bentuk lukisan, yang dihadiahkan oleh bapa kepada seorang pelajar saya. Cerita ini berlaku dalam tahun 2003: Setelah menamatkan pengajian, pelajar tersebut telah menelefon saya meminta pinjam sekeping gambar foto saya, kerana katanya bapanya (seorang artis lukisan Cina) hendak melihat wajah saya. Setelah saya berikan sekepng gambar, tup tup, sebulan kemudian, saya menerima satu bingkai gambar yang dibalut cantik yang di dalamnya ada satu lukisan amat cantik (ditarikhkan 9-6-2003), dan...ni la dia....

 Terima kasih Tan Eam Lim....

4 comments:

  1. Assalamualaikum Prof. 1 penulisan yang baik.

    Kejadian nombor 4 dibawah tajuk BERIKUT INI KOMBINASI "RAKAMAN PERISTIWA" SEMASA SAYA BERGELAR "PELAJAR" DI BEBERAPA INSTITUSI PENGAJIAN, SEBAGAI IKTIBAR DAN PANDUAN KITA... pernah terjadi juga sewaktu saya dan rakan rakan menghuni Desa Bakti blok H17. Tak silap saya kawan kawan sedang bermain daun terup waktu itu bilamana seorang senior tersalah masuk bilik. Kelakarnya bila senior tadi sedar beliau tersalah bilik (kami yang dalam bilik pula cuak sebab takut dimarah bermain daun terup) terus berkata 'Takpe takpe main main (daun terup tu)' sambil tersengih sengih berlalu.

    Berkenaan kejadian kejadian sedih dalam penulisan Prof diatas, saya kira agak malang kerana mereka mereka yang bersifat begitu masih berada atau masih ada dalam universiti universiti kita umpama tikus kepala hitam.

    ReplyDelete
  2. Macam-macam, kan, cerita kita... Apapun, itu memberikan keinsafan kepada kita bahawa bertapa sukarnya mendapat segenggam ijazah, diploma dan sebagainya. Dan hairannya, selepas dapat, kita tak pula menghargainya.... Pelik, kan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Em. Betul tu Prof. Kena tepat pada muka saya. Hehe... Tersentak juga bila fikirkan pernyataan Prof tu. Dah belajar susah susah sampai dapat ijazah Muda dengan Master pun masih ada rasa inferior dalam jiwa. Terima kasih teguran Prof.

      Berkenaan pelajar pelajar baru tu, zaman saya dulu ada 2 orientasi. Hak USM dengan hak School masing masing. Hak school dulu pelajar senior design handle. Masalah juga bila depa main pukul rata aja membuli semua pelajar design dengan non design sedang senior non design tak ada pun macam tu. Akhirnya non design kurang respect pada senior design.

      Jadi rasa berbeza beza antara non design dengan design makin besar. Ini pemerhatian sayalah waktu di HBP dulu.

      Delete

Note: Only a member of this blog may post a comment.