Apr 3, 2011

Pakcik Osman dan Makcik Khatijah

Seingatan saya, Pakcik Osman adalah Pembantu Hospital (HA) swasta yang bekerja di sebuah ladang getah di Ladang Kuala Pertang, Kuala Krai, Kelantan. Makcik Khatijah, isteri Pakcik Osman, seorang suri sepenuh masa. Saya tak ingat macam mana keluarga (ibubapa saya) mengenali mereka. Mereka ada 2 anak lelaki. Saya dan ibu kerap juga ke rumah kuarters mereka.  
     Pakcik Osman dan Makcik Jah (panggilan ringkas kami kepada beliau)) amat baik orangnya. Kerap tersenyum... dan saya tak pernah melihat mereka berwajah masam. Malah selalu mengambil berat hal kami sekeluarga. Kadangkala, Pakcik Osman mengajak saya ke bilik pengubatannya, dan memberitahu dia nak cucuk ubat di lengan saya (kadang-kadang di punggung saya), kerana katanya saya ni "la'ih" sangat, kuning dan amat kurus. Katanya saya ada penyakit dan kekurangan zat/vitamin, dan dia tolong cucuk ubat (walaupun saya tak tau ubat apa). Makcik Jah biasanya mengajak kami (biasanya ibu saya dan saya) makan bersama mereka. Sedap sangat makan, lauk bermacam jenis, dan lazat-lazat. Tapi saya tak makan banyak, malu. Maklum la, di rumah orang. Apabila kami nak pulang, biasanya mereka memberikan bekalam makanan, pakaian terpakai dan juga kadangkala duit belanja. Pernah juga mereka mengajak saya makan angin dengan kereta mereka. Kadangkala saya bermalam di rumahnya, sebab mereka kerap mengusulkan kami tidor di rumah mereka, kalau dah amat petang untuk pulang. Ini kerana kalau nak pulang, saya dan ibu akan berjalan kaki sekitar 5 kilometer. Pada suatu malam, semasa saya menonton tv di rumah mereka, saya duduk terperuk di satu sudut penjuru ruang (saya tak duduk di atas sofa/kerusi, sebab segan), tangan saya memeluk dada sambil menonton tv (hitam putih lagi masa tu), tiba-tiba Makcik Jah menyapa, "Aziz sejuk ker? nanti makcik kurangkan sikit kipas ni ya", sambil dia memperlahankan sedikit kelajuan kipas siling. Begitu la prihatinnya Makcik Jah.
     Hampir 20 tahun kemudian, setelah saya merantau ke banyak tempat untuk belajar dan bekerja, saya pergi mencari mereka, dan diberitahu mereka telah berpindah ke Machang, Kelantan. Saya mencari mereka di Machang berpandukan maklumat yang diberikan. Alhamdulillah saya bertemu.. Namun cuma sempat bertemu Pakcik Osman yang sudah amat uzur, dan katanya, "Makcik Jah dah lama meningal dunia. Sakit biasa sahaja..". Terkilan sangat tak dapat bersua Makcik Jah, untuk bersua muka, dan memberitahunya, "Saya berterima kasih atas jasa Makcik.."
      Saya mengembara lagi, mencari rezeki. Sekitar dua tahun kemudian, saya nak berkunjung semula ke rumah Pakcik Osman, tetapi seseorang memberitahu saya bahawa Pakcik Osman juga sudah menyambut panggilan Ilahi, "sekitar enam bulan yang lalu".

TERIMA KASIH YANG TAK TERHINGGA PAKCIK OSMAN DAN MAKCIK KHATIJAH ATAS SEGALANYA. SESUNGGUHNYA SAYA TAK DAPAT MEMBALAS KEBAIKAN DEMI KEBAIKAN YANG BANYAK YANG PAKCIK DAN MAKCIK HULURKAN KEPADA SAYA DAN KAMI SEKELUARGA.


Ya Allah
Kau cucurilah limpah rahmatMu kepada mereka berdua yang amat baik hati, pemurah dan sentiasa menolong kami
Ya Allah
Kau berilah aku peluang untuk menyusur langkah hidup mereka berdua dengan memberi peluang kepadaku untuk berbakti kepada orang lain sepertimana mereka berbakti kepadaku
Ya Allah
Semoga roh mereka dilindungiMu sehingga dan selama mereka di alam barzakh, dan alam akhirat yang kekal

Aamiiin..Ya rabbal 'alamiiin....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.