Pada awal April 2011, kita tentu terbaca (dan menonton tv) berita sepasang suami-isteri di utara Semenanjung Malaysia yang dimasukkan ke ICU (Intensive Care Unit=Unit Rawatan Rapi)(bukan ICU=Implementation Coordination Unit), kerana memakan cendawan beracun, dan dua hari kemudiannya si isteri meninggal dunia. Begitulah kehidupan di kampung... dek mencari makan, ada yang terkorban. Ada yang diserang binatang (ular, gajah, harimau, beruang, babi dan lain-lain) semasa menoreh atau berkebun, atau mencari makanan (buahan, pucuk, berburu dan lain-lain) di hutan. Ada juga kes terjatuh gaung atau ditimpa pokok yang ditebang (untuk mengambil buahnya)(?). Saya sendiri pun pernah mengalami saat getir menghampiri maut kerana memakan umbut beracun. Ceritanya begini:
Semasa itu saya berumur sekitar 8 atau 9 tahun. Suatu pagi, bapa dan ibu keluar menebas menebang hutan, meneroka tanah untuk dijadikan kebun, di Kg. Chenulang, Kuala Krai, Kelantan. Pada tengah hari, mereka berdua pulang ke pondok (bukan layak dipanggil rumah pun), dan membawa pulang sejenis umbut. Sambil memasak nasi, ibu menyediakan masak air umbut tadi. Bapa kata itu umbut bayas, sejenis palma hutan. Tengah hari tu kami makan nasi dengan masak air umbut tadi, dan ikan kering bakar. Berselera kami makan, kecuali ibu, yang seperti biasa, akan lewat makan daripada kami (yang baru saya sedari bahawa dia berbuat demikian secara sengaja kerana demi mempastikan kami makan cukup kenyang. Dia akan makan terkemudian, dengan nasi bercampur kerak (nasi akan berkerak kerana ditanak dalam periuk di atas dapur kayu). Kalau saya tanya sebab apa, dia kata, "Kerak ni sedap, wangi")(tapi saya percaya, sebenarnya dia makan nasi bercampur kerak kerana sifatnya yang tak suka membazir, dan lagipun, nasinya cuma tinggal sedikit...). Selepas makan dan kekenyangan, saya terlena (saya rasa macam mengantuk sangat dan perut sakit serta rasa meloya). Sekitar setengah jam kemudian, saya termuntah, muntah, dan muntah...sampai seperti terkeluar semua isi perut. Abang, bapa juga teruk muntah. Ibu agak kurang muntah. Habis kemuntahan, sekitar separuh hari, dan hampir malam, kami semua terbaring terkulai... Rumah kami terletak jauh daripada rumah-rumah peneroka lain, dan dengan itu tiada siapa yang lain yang tahu hal kami. Kami cuma dapat saling pandang memandang antara satu sama lain, dan masing-masing amat letih lemah terkulai. Namun naluri ibu tetap hebat. Dia menggagahi dirinya dan memberikan kami minum air dengan banyak... Keesokan paginya kami dapat melihat semula dunia dengan badan semakin segar...
Nota:
Beberapa hari kemudian bapa memberitahu bahawa umbut yang disangkakan bayas itu adalah salah satu daripada pokok yang ditebangnya untuk membuka tanah untuk dijadikan kebun. Kawannya ada memberitahunya bahawa pokok itu bukan pokok bayas, tetapi sejenis pokok yang serupa tetapi beracun. Itulah kesan keracunan daripada umbut beracun.
Nota:
Ada juga orang yang meracun diri sendiri. Saya tak faham mental orang sedemikian.
Nota:
Ada juga orang yang sanggup meracuni pemikiran orang lain. Apakah motifnya?
Nota:
Ada juga orang yang meracun diri sendiri. Saya tak faham mental orang sedemikian.
Nota:
Ada juga orang yang sanggup meracuni pemikiran orang lain. Apakah motifnya?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.