Hari ini aku tiba lagi di situ. Memandu sendirian. Setelah beberapa bulan aku tidak singgah di situ kerana aku berkursus di luar negara. Sebab-musabab dan alasannya untuk aku singgah di situ serupa seperti sebelumnya.
Aku tiba di situ dengan sedikit kegopohan, kerana jam telah hampir 6.30 petang. Kewajipanku bagi solat zuhur dan asar yang diniat jamak takhir belum lagi kutunaikan. Aku memandu laju mengejar masa tiba ke destinasi itu. Aku sempat melintasi suatu perarakan yang cukup ringkas, yang nampaknya keluar dari kawasan masjid itu – enam orang sedang mengusung suatu usungan yang aku pasti keranda, dengan diiringi beberapa orang lagi yang aku rasa tak sampai sepuluh orang semuanya. Dek mengejar masa aku tidak sempat memberhentikan keretaku untuk sekadar bertanyakan jenazah siapa yang diusung.
Aku bersegera ke kolah masjid. Berwuduk. Bergegas untuk menunaikan solat. Setelah selesai, seperti biasanya aku mundur ke kiri bahagian belakang masjid itu. Baru aku perasan penghuni tetap tempat itu telah tiada.
Tikar mengkuang lusuh itu telah digulung. Aku membongkok mengintai di dalam gulungan tikar itu. Beberapa helai pakaian termasuk sepasang kain dan baju sedekahku yang lepas tergulung sama di dalam.
Selain gulungan tikar itu, tempat itu nampaknya telah dibersihkan. Bersih dari lipatan kain-kain lusuh dan sebagainya.
Suasana petang hening. Tiada seorang pun di masjid itu. Aku duduk bertinggul berhampiran gulungan tikar itu. Tanpa apa-apa lagi yang dilakukan. Beberapa ketika berlalu. Seorang lelaki datang ke masjid. Tentu untuk solat maghrib.
“Abang, boleh saya tanya sikit?” aku terlonjak kata kerana tak sabar nak tahu kesimpulan persoalan benakku.
“Orang tua yang biasa berada di sini, ke mana dia?”
“Ooo…oh…dia telah meninggal dunia petang tadi. Selepas zuhur. Dia baru dikebumikan tadi. Selepas asar.”
“Oh, yang tadi?”
“Ya.”
“Innalillahi wainna ilaihirajiun…, sudah dipanggil Pemiliknya.”
Nota:
Di atas adalah sedutan daripada Abdul Aziz Hussin (1995) Penjuru Yang Ditinggalkan (cerpen). Mingguan Malaysia , 22 October 1995.
Walaupun ia cerpen, tetapi ia berdasarkan satu pengalaman sebenar saya, yang saya ceritakan semula dalam bentuk cerpen (dengan sedikit pengubahsuaian daripada cerita sebenar).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.