Oct 3, 2012

Judi..Kaki Judi...



“JUDI”, jika dijadikan perbuatan, ia merupakan suatu perbuatan membuat pertaruhan, yang melibatkan sekurang-kurang dua pihak, dengan benda atau perkara yang menjadi pertaruhan itu adalah dalam bentuk wang atau nilai wang, atau barangan berharga, dalam sesuatu permainan, perbuatan, aktiviti, dan seumpamanya, yang belum pasti keputusan atau hasilnya, tetapi dengan harapan untuk menang. Itu tafsiran “judi” yang diberikan oleh… Abdul Aziz Hussin (…errrr, saya sendiri, he he….)

Macam-macam bentuk dan kegiatan berjudi: Berlaga ayam, lembu, kerbau, orang (gusti, tomoi, tinju dll)...malah melagakan semut pun mereka berjudi!! Ada pula atas pertaruhan judi bola, terutama bola sepak (judi, siapa menang/kalah, berapa gol, dll). Malah mereka berjudi juga berasaskan kejadian atau aktiviti tertentu termasuk keputusan pilihanraya. Malah terdapat keputusan pilihanraya (perwakilan, negeri, Negara, tempatan, persatuan dll.), permainan bola dll. yang dipengaruhi oleh sendiket judi. Yang paling teruk, jika berlaku kemalangan, si kaki  judi ini akan terus meluru ke arah kejadian kemalangan, tetapi bukan dengan tujuan untuk menolong si mangsa, tetapi nak lihat…”Kenderaan kemalangan tu no berapa???”

Daripada aspek kaedah analisis “kebarangkalian” (probability), kebarangkalian si penjudi untuk kalah adalah lebih besar berbanding untuk menang…. Sebab itulah organisasi (seperti syarikat dll) yang menganjurkan judi adalah merupakan organisasi yang untung banyak (dan sahamnya pun bernilai tinggi). Sebab apa mereka untung banyak? Diantara sebab utamanya adalah: Sebab ramai penjudi yang rugi besar/banyak.

Judi mempunyai lebih banyak kesan buruk berbanding kesan baik (tu pun jika ada, he he he..). Contohnya, ia bukan sahaja merugikan wang ringgit, sehingga sanggup meminjam daripada Ah Long, menggadai harta dan bini!!!), tetapi juga merugikan masa dan usaha. Selain itu ia juga merugikan “kemanfaatan” orang berkenaan (si penjudi). Penjudi juga biasanya merupakan orang yang tidak boleh dipercayai, dan ramai musuh. Penjudi juga biasanya mempunyai sifat penipu, pembohong, kurang sifat kesihan belas, dan kurang dipercayai, dan mempercayai orang lain. Oleh sebab itulah Undang-undang Islam menegah umatnya berjudi… Masaalahnya, wujud pula “judi yang dihalalkan”. Terdapat agama tertentu yang “membolehkan” penganutnya berjudi pada hari-hari tertentu. Hairan bin ajaib sungguh….

Beberapa wanita yang pernah mengadu kepada saya (untuk mencari jalan “mengubat” suami mereka dengan saluran undang-undang), kerap berkata, “Kami benci suami kami atas sifat penjudinya. Banyak harta kami dijual, kami tidak dipedulikan, termasuk makan minum anak-anak. Suami kami kerap murung, jarang tersenyum, malah suka marah-marah, memberontak tanpa sebab. Bukan itu sahaja, badan dia juga busuk sebab kadangkala beberapa hari tak mandi kerana asyik menunggu di tempat judi”.

Pernah terdapat kejadian seorang penjudi yang mati lemas kerana terjun ke dalam parit yang dalam, hanya kerana mengelak ditangkap, kerana berjudi. Lebih teruk lagi, sebelum itu dia memberitahu isterinya bahawa dia akan ke negeri… untuk berniaga…walhal cuma bersekongkol dengan geng judinya.

Ini kisah seorang penjudi yang “insaf”. Pada suatu senja, Mr. M telah datang berjumpa saya dengan wajah yang sayu… Dia ni saya tahu memang seorang “penjudi tegar”. Dia merintih kepada saya..
Abang Aziz, saya  menyesal berjudi
Kenapa menyesal?
“Saya kehilangan isteri, dia lari kerana saya suka berjudi, dan tak ada wang untuk nafkah dia. Dua anak juga ikut lari bersama isteri....Saya pun dah jadi penganggur sekarang kerana kerap ponteng kerja kerana ikut tabiat ketagih judi
Jadinya?
Jadinya, saya nak berhenti berjudi”, tegas  Mr. M bersungguh-sungguh
Entah kenapa, saya tergelak, dan bukan berubah memberikan rasa simpati kepadanya
Dia melihat saya, dan bertanya, “Kenapa abang Aziz gelak?"
Saya cuma tersenyuuuummmmm jer..
Dia pun berkata dengan tegas kepada saya
OK, kalau abang Aziz tak percaya, kita bertaruh RM100. Jika saya masih mengulangi berjudi, nah amik duit ni!!!”
Lagi la saya tergelak…Tergelak besar….

Harap kita mendapat iktibar daripada cerita di bawah:

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang ditinggalkan isteri dan anaknya kerana gemar berjudi, bercadang menjual salah satu buah pinggangnya bagi melangsaikan hutang judi berjumlah RM20,000. Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Phuah, 45, berkata, dia rela menjual organnya sendiri kerana menemui jalan buntu untuk melangsaikan hutangnya akibat ketagih bermain judi internet. Katanya, dia telah meminjam sebanyak RM15,000 daripada ahli keluarganya manakala RM5,000 lagi daripada ah long, namun menanggung kerugian apabila kalah berjudi.

 “Saya hanya terfikir untuk menjual buah pinggang bagi mendapatkan wang. Saya kehilangan segala-galanya malah isteri saya telah meninggalkan rumah bersama dua anak perempuan kami minggu lalu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm (11 Oktober 2012)

Benar juga ungkap M Daud Kilau dalam lagu "Gila Judi"...





Ajal ketika judi waktu solat Jumaat
Wartawan Sinar Harian
22 Jun 2014 

Antara ayam sabung yang dirampas dalam kejadian judi sabung ayam di Kampung Kubang Panjang, petang semalam. 

TUMPAT – Seorang warga emas menemui ajal akibat serangan jantung selepas melarikan diri dari serbuan polis dalam kejadian judi sabung ayam di sebuah kebun rambutan di Kampung Kubang Panjang, Chabang Empat di sini, petang kelmarin.
Mangsa merupakan lelaki Melayu berusia 63 tahun dari Pasir Mas ditemui mati pada jam 6 petang, kira-kira 150 meter dari lokasi serbuan judi sabung ayam tersebut.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharudin Rasip berkata, mayat mangsa ditemui di lokasi tersebut selepas anggota polis membuat pemeriksaan di sekeliling lokasi serbuan.
“Mangsa dipercayai suspek kes judi yang cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan punca kematiannya akibat serangan jantung,” katanya.
Menurutnya, serbuan itu dilakukan ketika solat Jumaat berlangsung oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menahan 19 lelaki termasuk 10 lelaki Siam dan 9 lelaki Melayu ketika leka berjudi sabung ayam di dalam kebun rambutan itu.
“Empat daripada 19 suspek yang ditangkap gagal mengemukakan pengenalan diri, kesemua lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari berakhir 24 Jun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya,  kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 44(g) Ordinan Binatang 1953 dan Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990.
Katanya, polis turut merampas 15 ekor ayam sabung, peralatan sabung ayam dan wang tunai RM725.
“Wang tunai dan ayam sabung itu digunakan suspek untuk dipertaruhkan dalam kegiatan judi tersebut,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.