Aug 18, 2011

Lif

Pernah saya terbaca satu iklan, bahawa bangunan yang bernilai tinggi dan mengandungi banyak tingkat (multi-storey) tidak akan mendapat nilai harganya jika bangunan tersebut tidak ada lif. Maknanya bangunan tersebut tidak dapat digunakan/dimanfaati jika lif tidak disediakan.

Malam semalam sekitar jam 10 malam (17 Ogos 2011)(17 Ramadhan 1432), selepas mengerjakan ibadat solat terawikh dan witir di surau (di tingkat bawah) pangsapuri yang saya diami (saya tinggal di tingkat 16)(bangunan tersebut setinggi 20 tingkat), sekitar 8 orang dewasa dan seorang kanak-kanak (sekitar umor 7 tahun) menaiki lif. Apabila pintu lif tertutup, tiba-tiba lif tersebut bergerak terhinjak turun sekitar 10 sentimeter dari aras sebenarnya di tingkat bawah. Mungkin lebih muatan? Mungkin lif tersebut "memberitahu" ia mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki? Kemudian pintu lif terbuka, dan 3 orang termasuk kanak-kanak tersebut (yang berada di bahagian hadapan) secara sukarela keluar dari lif, dan lif tertutup kembali dan meneruskan "tugasnya" seperti biasa...dan saya selamat sampai di tingkat 16. Alhamdulillah...

Ada seorang hamba Allah yang baik hati dan prihatin, telah mengirimkan email kepada saya (sekitar seminggu sebelum kejadian di atas), yang mengandungi gambar dan catatan berikut:

"...berhati-hati yer...
Bila pintu lift dibuka dan keadaan menjadi gelap, jgn cepat untuk masuk ke lift. Malang tidak berbau, bila pintu lift dibuka, wanita ini terus melangkah masuk. Rupa-rupanya lift belum lagi sampai dan beliau terjatuh ke atas bumbung lift yg berada di bawah


Tidak pula dicatatkan di mana kejadian tersebut berlaku, tetapi pastinya di bangunan yang terdapat lif la, kan? hehehe...

Lif juga adalah sejenis kenderaan, dimana selain daripada jet Harrier dan roket, lif adalah satu-satunya kenderaan yang bergerak menegak (dari bawah ke atas dan dari atas ke bawah). Oleh itu lah, ada guru yang mengajarkan, apabila hendak menaiki lif, elok kita membaca doa seperti menaiki kenderaan...



“Maha Suci Tuhan yang mempermudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya mengendalikannya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”
(surah Az-Zukhruf  13-14)

Terdapat pelbagai cerita tentang lif dan penggunaan lif:
1. Ada orang mengambil kesempatan merompak (dan ada kejadian dimana mangsa dibunuh) di dalam lif. Ada juga kejadian meraba (?), selok saku (pickpocket), "menggatal" di dalam lif.
2. Lif dijadikan tempat membuang sampah, dan ada kejadian orang membuang air kencing di dalam lif.
3. Ada kejadian orang tersepit di pintu lif (walaupun kini kebanyakan lif telah dilengkapi alat otomatik tuas(lever) bagi menghalang kejadian sedemikian.
4. Lif dijadikan tempat menampal pelbagai iklan dan notis-- daripada iklan jualan, hinggalah iklan along dan khidmat persundalan. Notis berbuka puasa dan aktiviti bergotong royong juga ditampalkan di dalam lif.
5. Lif dijadikan tempat melukis dan conteng (graffiti).
6. Lif dijadikan alat melepaskan perasan seperti dikopak dinding, dipecahkan penutup lampu, ditanggalkan sekeru penutup butang. Ini contohnya, yang saya rakam pada pagi 13 Mac 2012, satu notis yang ditampal di dalam sebuah lif sebuah pangsapuri di Pulau Pinang:


7. Ada orang mencuri alatan lif seperti aluminium penutup lantai atau penutup panel butang (yang belum ada ialah orang mencuri lif)(mungkin ada la tu selepas ini...).
8. Ada kejadian dimana saya terpaksa keluar dipertengahan jalan (di tingkat tertentu) kerana ada orang (bukan orang utan) yang masuk lif dengan selamba sahaja meneruskan menghisap rokok. Ada juga saya terjumpa orang-orang (pengguna) lain yang "berputih mata" tak dapat lagi menaiki lif kerana ada orang yang kedua-dua belah tangannya penuh dengan ikatan durian (ditangkainya) telah terlebih dahulu "menguasai" lif.
9. Ada juga bangunan kediaman yang terdapat 4 lif, tetapi penghuninya terpaksa "menapak" menaiki bangunan tersebut melalui tangga kerana semua lif tersebut rosak dan tidak dapat diperbaiki kerana "kekurangan" peruntukan kewangan.
10. Jika naik lif, dengan otomatis semua yang berada di dalam lif akan berdiam diri (tapi ada juga segelintir yang masih bising/berbual), dan masing-masing cuba mengelak daripada bertentangan wajah (jadi, salah satu caranya ialah setiap orang melihat butang lif, atau memandang siling lif... Boleh dikatakan tiada orang yang terkentut semasa berada di dalam lif, kenapa yer? he he he...


Perlu diingatkan kepada "orang kurang baik", bahawa ada sebahagian lif yang dilengkapi CCTV (cuma saya tak pasti berapa peratus yang berfungsi dan dipantau dengan baik, he he he..).

Yang saya belum baca atau jumpa (mungkin saya tak tahu) ialah lif dijadikan mini kafe, atau restoran mini, atau bilik tidor. Belum juga terdapat lif yang dilengkapi tandas.

Ada satu cerita benar yang berlaku dalam tahun 1977, semasa saya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di bahagian tengah Semenanjung Malaysia. Pada satu petang, selepas kuliah, saya dan kawan-kawan, termasuk juga ramai lagi pelajar sedang menunggu lif. Kelas pengajian saya di tingkat 11. Apabila, "tingggg....", salah satu lif terbuka, kami ramai-ramai serbu masuk. Dalam lif agak padat. Kemudiannya pintu lif tertutup. Beberapa ketika, tiba-tiba lif terhenti dan lampu di dalam lif padam. Salah seorang kawan sekuliah saya yang agak kelakarkarakatau, namanya Hussin (bukan bapa saya, dan nama tu bukan tidak nama sebenar, he he he), mula bersuara dengan nada sayu hiba, lebih kurang begini..."emmm...entah la..... apa nak jadi pada kita....mungkin lama kita terperangkap....maka kita semua akan lemas...tak adaaa orang tolong kita.... matiiiii la... kita kali niiiiiii...isk isk..." Saya tau dia buat lawak sebab sebelum itu dia ada membisikkan di telinga saya. "Mu Aziz dok diam, aku nak kecohkan sikit mereka ni". Dua pelajar perempuan mula menangis betul-betul. Lepas tu, semua orang terdiam, termasuk Hussin. Kami mula betul-betul panik. Udara semakin panas dan nafas mula agak semput (kekurangan oksijen). Tak berapa lama kemudian saya terdengar orang dari luar lif memanggil kami dan bertanya kami berapa orang. Ada antara kami menjawab, "Kami tak tau berapa orang, tak boleh kira, gelap, tapi rasanya semua masih OK". Sebentar kemudian lif terbuka, yakni dibuka secara paksa dari luar, tetapi ia terbuka separuh bahagian bawahnya sekitar 1 meter berada di dinding bangunan, dan bukannya di pintu lif. Nak tau siapa yang mula-mula dan paling segera melompat keluar dahulu? Hussin...!!!!, sambil dia berteriak, "Segeraaaa!!!!".

Saya ada satu kisah atau pengalaman berkaitan lif juga yang berlaku pada satu hari sabtu, awal tahun 2009. Pada pagi tersebut, seperti lazimnya saya ke pejabat (kerja hari minggu menyeronokkan sebab tiada "gangguan" daripada tetamu luar, pelajar, rakan sekerja, dan banyak kerja dapat dibuat dan diselesaikan dengan licin). Sekitar jam 1 tengah hari, saya pergi pula ke sebuah pasaraya yang terletak bersebelahan kampus (saya ni, kalau boleh nak semuanya terletak dekat denga rumah atau pejabat saya...malas nak memandu/berjalan jauh-jauh). Kebanyakan yang dibeli adalah berkaitan dengan tembolok/perut (makanan la tuuu..). Sekitar jam 2 petang, saya dah sampai di pangsapuri saya. Setelah meletak kenderaan, saya menjinjing barangan yang dibeli tadi menuju ke lif. Alamaaaak (bukan alabapaaak la pulak...), lif tak dapat digunakan kerana elektrik padam. Diberitahu oleh seorang kawan bahawa ia sudah hampir satu jam terjadi, dan tak tahu bila akan ada bekalan elektrik. Saya pun membawa balik sebahagian barangan tadi ke dalam kereta (kerana agak banyak dan berat jika menjinjing mendaki bangunan), kerana saya akan "menapak" menaiki tangga menuju ke tingkat 16 (unit kediaman saya). Setelah beberapa kali berhenti menghilangkan keletihan di beberapa tingkat, sambil saya membilang tingkat, maka saya kira saya sudah sampai di tingkat 16. Saya buka pintu di tangga di tingkat tersebut, dan terlihat tulisan di atas lif...alamaaaak, saya dah terlajak ke tingkat 17!!!!. Cubaaan.... Sabar jer la... Kemudian saya turun satu tingkat, masuk ke rumah. Minum air sejuk 2 gelas, rehat sekejap, solat, dan ke dapur semula untuk menyimpan barangan yang dibeli tadi, termasuk menyimpan di dalam peti sejuk (peti sejuk masih sejuuuk, walaupun sudah satu jam lebih tiada bekalan elektrik). Sekali lagi, alamaaaak..saya tak membawa naik aiskrim!!!!. Selepas makan, dan sekitar satu jam kemudian, berbunyi, "tiiinggg...!!!", menandakan lif sudah berfungsi dan elektrik sudah ada (kipas di rumah saya pun dah berpusing, dan bunyi kompresor peti sejuk pun dah kedengaran). Saya bergegas turun dan terus ke kereta....dan...sekali lagi, alamaaak, aiskrim dah "terkulai" lebur!!!! Cubaaaan... dugaaaannnn....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.