Aug 23, 2011

Sejarah Perkembangan (Pindaan) Perkara 135, Perlembagaan Persekutuan

Pada mula wujudnya Perlembagaan Persekutuan, peruntukan Perkara 135, adalah seperti yang berikut:


            135.    Sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat
(1)           Tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmtan yang tersebut dalam perenggan (b) hingga (g) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa rendah daripada pihak berkuasa yang, pada masa pembuangan kerja atau penurunan pangkat itu, ada mempunyai kuasa melantik seseorang anggota perkhidmatan itu yang sama pangkatnya.
(2)           Tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang tersebut di atas itu oleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat dengan tidak diberi peluang yang munasabah untuk didengar.
(3)           Dengan tiada persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan  Kehakiman dan Undang-undang, tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang disebutkan dalam perenggan (c), (f), atau (g) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat atau menanggung apa-apa lain tindakan tatatertib kerana sesuatu yang dilakukan atau tidak dilakukan olehnya pada menjalankan sesuatu tugas kehakiman yang diberi kepadanya oleh undang-undang.


Perkara 135 itu kemudian telah mengalami beberapa proses pindaan seperti yang berikut:

1.            Dalam Fasal (1), perkataan “perenggan (b) hingga (g)” telah dipinda “perenggan (b) hingga (h)”, oleh Seksyen 1(2). Akta Perlembagaan (Pindaan) 1973 (Akta A193/1973) berkuatkuasa mulai 1 Januari 1974 dan oleh Pemberitahuan Undang-undang P.U. (B) 566/1973.
2.            Noktah di hujung Fasal (1) telah diganti dengan noktah bertindih oleh Seksyen 5(a), Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1971 (Akta A31/1971) berkuatkuasa 24 Mac 1971.

3.            “Syarat (proviso) pertama Fasal (1) Perkara 135 telah diwujudkan oleh Seksyen 2, Akta Perlembagaan (Pindaan) 1968 (Akta A27/1968) berkuatkuasa mulai 9 Sepetember 1968. “Syarat” tersebut adalah seperti yang berikut:

         Dengan syarat bahawa pemakaiannya terhadap anggota perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (g) Fasal (1) Perkara 132, Fasal ini tidaklah dipakai bagi apa-apa undang-undang yang mungkin dibuat oleh badan perundangan mana-mana Negeri, lain daripada Pulau Pinang dan Melaka, iaitu undang-undang yang memberi kuasa kepada sesuatu Jumaah yang dilantik oleh Raja Negeri itu menjalankan semua kuasa dan tugas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri itu, lain daripada kuasa bagi membuat perlantikan mula-mula kepada perjawatan tetap atau perjawatan berpencen.

4.            “Syarat (proviso) kedua kepada Fasal (1) telah diwujudkan oleh Seksyen 30(a), Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976 (Akta A354/1976). Walaupun akta yang meminda Fasal (I) ini berkuatkuasa pada tahun 1976, tetapi peruntukan dalam “syarat” kedua ini berkuatkuasa mulai dari Hari Merdeka (iaitu 31 Ogos 1957). “Syarat” kedua tersebut adalah seperti yang berikut:
        
Dan dengan syarat selanjutnya bahawa Fasal ini tidak boleh dipakai bagi sesuatu kes seorang anggota mana-mana perkhidmatan yang tersebut dalam Fasal ini dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa menurut sesuatu kuasa yang diwakilkan kepadanya oleh sesuatu suruhanjaya yang baginya dipakai bahagian ini, dan proviso ini hendaklah disifatkan sebagai telah menjadi sebahagian integral Fasal ini mulai dari Hari Merdeka.

5.            Noktah di akhir Fasal (2) telah digantikan dengan noktah bertindih dan “syarat” pertama Fasal (2) telah diwujudkan oleh Seksyen 30(b). Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976 (Akta A354/1976). Walaupun Akta yang meminda Fasal (2) ini berkuatkuasa pada tahun 1976, tetapi peruntukan “syarat” pertama di Fasal (2) itu telah dengan sendiri menyebut bahawa “syarat” ini berkuatkuasa mulai dari Hari Merdeka (iaitu 31 Ogos 1957). “Syarat” tersebut adalah seperti yang berikut:

            Dengan syarat bahawa Fasal ini tidak boleh dipakai bagi kes yang berikut:
(a)           di mana seorang anggota sesuatu perkhidmatan itu dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sebab  kelakuan yang mengenainya suatu tuduhan jenayah telah dibuktikan terhadap anggota itu; atau
(b)           di mana pihak berkuasa yang diberi kuasa untuk membuang kerja atau menurunkan pangkat seorang anggota sesuatu perkhidmatan itu berpuasa hati bahawa dengan sesuatu sebab yang akan direkodkan oleh pihak berkuasa itu secara bertulis, kehendak Fasal ini tidak munasabah dijalankan secara praktik; atau
(c)           di mana Yang di-Pertuan Agong, atau, yang mengenai seseorang anggota perkhidmatan awam sesuatu negeri, raja, atau Yang Dipertua Negeri bagi negeri itu, berpuas hati bahawa bagi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya kehendak Fasal ini tidaklah mustahak dijalankan; atau
(d)           di mana sesuatu perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri, atau deportasi telah dibuat ke atas seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu, atau sesuatu bentuk sekatan, atau pengawasan dengan bon, atau selainnya telah dikenakan ke atas seseorang anggota itu, di bawah mana-mana undang-undang berkaitan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan pencegahan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen, atau perlindungan bagi wanita dan gadis.

6.            Noktah dihujung perenggan (d) Fasal (2) ini kemudiannya telah diganti dengan noktah bertindih oleh Seksyen 3(a), Akta Perlembagaan (Pindaan) 1978 (Akta A442/1978). Dan seterusnya, “syarat” kedua Fasal (2) telah diwujudkan di hujung perenggan (d) oleh Seksyen 3(b), Akta Perlembagaan (Pindaan) 1978 (Akta A442/1978). Walaupun Akta A442/1978 itu berkuatkuasa pada tahun 1978, tetapi peruntukan “syarat” kedua Fasal (2) itu telah dengan sendirinya menyebut bahawa “syarat” ini berkuatkuasa mulai Hari Merdeka (iaitu 31 Ogos 1957).

7.            Berkuatkuasa mulai 31 Mei 1960, melalui Seksyen 18, Akta Perlembagaan (Pindaan) 1960 (Akta A10/1960), Fasal (3) telah dimansuhkan. Walau bagaimanapun seluruh peruntukan Fasal (3) telah diwujudkan semula oleh Seksyen 53(1), Akta Malaysia 1963 (Akta 26/1963) berkuatkuasa mulai 16 September 1963. Dengan itu “pemansuhan sementara” Fasal (3) cuma bagi tempoh 31 Mei 1960 hingga 16 September 1963. Walaupun adanya tindakan pemansuhan oleh Akta A10/1960 dan pewujudan semula oleh Akta 26/1963 ini, sepatutnya tidak menimbulkan kekeliruan kerana Seksyen 18, Akta A10/1960 itu sendiri telah dimansuhkan oleh Seksyen 72(a), Akta 26/1963.

      Dengan pindaan di atas, maka peruntukan Perkara 135, Perlembagaan Persekutuan yang terkini ialah seperti yang berikut:

135.    Sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat
(1)           Tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmtan yang tersebut dalam perenggan (b) hingga (h) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa rendah daripada pihak berkuasa yang, pada masa pembuangan kerja atau penurunan pangkat itu, ada mempunyai kuasa melantik seseorang anggota perkhidmatan itu yang sama pangkatnya.
                    Dengan syaratnya bahawa dalam pemakaiannya terhadap anggota-anggota perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (g) Fasal (1) Perkara 132, Fasal ini tidaklah dipakai bagi apa-apa undang-undang yang mungkin dibuat oleh badan perundangan mana-mana Negeri, lain daripada Pulau Pinang dan Melaka, iaitu undang-undang yang memberi kuasa kepada sesuatu Jemaah yang dilantik oleh Raja Negeri itu menjalankan semua kuasa dan tugas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri itu, lain daripada kuasa bagi membuat perlantikan mula-mula kepada perjawatan tetap atau perjawatan berpencen;
                    Dan dengan syarat selanjutnya bahawa Fasal ini tidak boleh dipakai bagi sesuatu kes seorang anggota mana-mana perkhidmatan yang tersebut dalam Fasal ini dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa menurut sesuatu kuasa yang diwakilkan kepadanya oleh sesuatu suruhanjaya yang baginya dipakai bahagian ini, dan proviso ini hendaklah disifatkan sebagai telah menjadi sebahagian integral Fasal ini mulai dari Hari Merdeka.
(2)           Tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang tersebut di atas itu oleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat dengan tidak diberi peluang yang munasabah untuk didengar:
                    Dengan syarat bahawa Fasal ini tidak boleh dipakai bagi kes-kes yang berikut:
(a)           di mana seorang anggota sesuatu perkhidmatan itu dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sebab  kelakuan yang mengenainya suatu tuduhan jenayah telah dibuktikan terhadap anggota itu; atau
(b)           di mana pihak berkuasa yang diberi kuasa untuk membuang kerja atau menurunkan pangkat seorang anggota sesuatu perkhidmatan itu berpuasa hati bahawa dengan sesuatu sebab yang akan direkodkan oleh pihak berkuasa itu secara bertulis, kehendak Fasal ini tidak munasabah dijalankan secara praktik; atau
(c)           di mana Yang di-Pertuan Agong, atau, yang mengenai seseorang anggota perkhidmatan awam sesuatu negeri, raja, atau Yang Dipertua Negeri bagi negeri itu, berpuas hati bahawa bagi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya kehendak Fasal ini tidaklah mustahak dijalankan; atau
(d)           di mana sesuatu perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri, atau deportasi telah dibuat ke atas seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu, atau sesuatu bentuk sekatan, atau pengawasan dengan bon, atau selainnya telah dikenakan ke atas seseorang anggota itu, di bawah mana-mana undang-undang berkaitan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan pencegahan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen, atau perlindungan bagi wanita dan gadis.

        Dengan syarat selanjutnya bahawa bagi maksud Perkara ini, jika perkhidmatan seorang anggota perkhidmatan itu ditamatkan untuk kepentingan awam di bawah mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa atau di bawah mana-mana peraturan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 132(2), penamatan perkhidmatan itu tidaklah bermakna buang kerja sama ada atau tidak keputusan menamatkan perkhidmatan itu berhubung dengan salah laku pegawai itu atau pelaksanaan tugas yang tidak memuaskan olehnya berkaitan dengan jawatannya atau akibat-akibat penamatan itu melibatkan suatu elemen hukuman; dan proviso ini hendaklah disifatkan sebagai sebahagian integral Perkara ini mulai dari Hari Merdeka.
(3)           Dengan tiada persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (c), (f), atau (g) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat atau menanggung apa-apa lain tindakan tatatertib lain kerana sesuatu yang dilakukan atau tidak dilakukan olehnya pada menjalankan sesuatu tugas kehakiman yang diberi kepadanya oleh undang-undang.
           

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.