Feb 21, 2011

MENGURUS SURAT KUASA WAKIL

MENTAFSIR

Sebagai langkah awal menguruskan apa-apa yang dikehendaki dilakukan oleh sesuatu surat kuasa wakil, ialah mentafsirkannya.

            Dalam mentafsirkan sesuatu surat kuasa wakil, beberapa kes Mahkamah telah memutuskan bahawa perlunya sesuatu surat kuasa wakil itu mempunyai makna yang jelas, ditafsirkan dengan tegas dan ditafsirkan kearah kaedah fasilitatif (tetapi terhad).

            Dalam kes T. Nallapiravy dan seorang lagi lwn.Mohadevan dan seorang lagi,1 hakim Gunn Chit Tuan, setelah merujuk Halbury’s Laws of England,2 ada menyebut,3
                       “Surat kuasa wakil itu adalah keterangan bagi satu serahak dimana bentuk serahak tidaklah menjadi perkara pokok – yang penting ianya mempunyai makna yang jelas ………”

            Dalam kes Magnum Finance Bhd. lwn.Ling Sing Ping,4 hakim Siti Norma Yaakob ada menyebut,5

                       “Apabila mentafsir kuasa yang diberi dalam sesuatu surat kuasa wakil ….. bahawa surat kuasa wakil mestilah ditafsirkan dengan tegas, dan ditafsirkan sebagai hanya memberi otoriti seperti mana yang dinyatakan secara jelas atau melalui implikasi yang perlu”

Seterusnya, diberikan garis panduan dalam mentafsir sesuatu surat kuasa wakil:

a)      Bahagian operatif sesuatu surat kuasa wakil adalah dikawal oleh mukadimah; apabila wujud kesamaran;
b)      Apabila otoriti diberi untuk melakukan sesuatu perbuatan tertentu atau khusus, diikuti dengan perkataan-perkataan am, maka perkataan-perkataan am adalah terhad kepada apa-apa yang perlu bagi perlaksanaan wajar perbuatan khusus tersebut:

c)      Perkataan-perkataan am, tetapi terhad kepada tujuan dimana otoriti itu diberi, dan adalah ditafsir untuk meluaskan kuasa-kuasa khas sahaja apabila perlu untuk maksud itu; dan

d)      Surat ikatan (yakni termasuklah surat kuasa wakil) hendaklah ditakrifkan bahawa termasuklah semua kuasa-kuasa sampingan yang perlu untuk maksud pelaksanaannya secara efektif.

Dalam kes Donby lwn. Coutts & Co.,6 fakta dan keputusan Mahkamah yang relevan dengan perbincangan disini adalah seperti berikut:

            Dalam mukaddimah kepada satu surat kuasa wakil, ada dinyatakan bahawa plaintif akan keluar negara dan ingin melantik seorang pemegang kuasa wakil (yakni defendan) untuk bertindak bagi pihaknya semasa ketiadaannya itu. Namun isi surat kuasa wakil tidak menyebut hal tersebut. Defendan telah membuat dua bahagian – satu semasa plaintif berada diluar negara, dan satu lagi semasa plaintif telahpun pulang ke negara.

            Keputusan : Bahawa mukaddimah mengawal keumuman bahagian operatif suratcara kuasa wakil itu dan mengehadkan pelaksanaan kuasa wakil untuk tempoh plaintif tiada dalam negara sahaja. Oleh sebab itu bayaran kedua yang dibuat oleh pemegang kuasa wakil (defendan) semasa plaintif telah pulang adalah tidak sah.

KEPERLUAN PENGESAHAN DAN MENDAFTAR SURAT KUASA WAKIL

Setelah sesuatu surat kuasa wakil disiapkan oleh pembuatnya (yang biasanya melalui pengalaman penulis, dibuat oleh peguam) yang dibuat di Semenanjung Malaysia ia hendaklah disahkan oleh mana-mana orang berikut7:
           
i)        Majistret; atau
ii)       Jaksa Pendamai; atau
iii)     Pentadbir Tanah; atau
iv)     Notari Awam; atau
v)      Pesuruhjaya Sumpah; atau
vi)     Peguambela & Peguamcara; atau
vii)   Pegawai Bank

Format borang pengesahan adalah seperti didalam Jadual Pertama, Akta Surat Kuasa Wakil, 19498.

            Setelah ianya disahkan oleh mana-mana orang berkenaan, untuk menjadikan surat kuasa wakil itu sah bagi maksud ianya diwujudkan, maka menurut peruntukan seksyen 4, Akta Surat Kuasa Wakil, 1949, salinan sebenar surat kuasa wakil itu hendaklah disimpan di Pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi (dalam negeri dimana surat kuasa wakil itu dibuat). Jika surat kuasa wakil itu dibuat dalam bahasa selain daripada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, maka terjemahannya (oleh juruterjemah yang diiktiraf) perlulah dibuat.9 Ianya akan didaftar oleh pihak Mahkamah Tinggi (dengan orang yang membuatnya membayar fee tertentu sebagai bayaran pendaftaran)10. Ini diperuntukkan dibawah seksyen 9, Akta Surat Kuasa Wakil, 1949. Seterusnya, setelah semua proses di atas disempurnakan maka satu tanggapan undang-undang berkaitan pembuktian dokumen telah dibuat dibawah seksyen 11, Akta Surat Kuasa Wakil, 1949.

Mengikut seksyen 11, salinan surat kuasa wakil sedemikian (yang disah, disimpan dan didaftarkan) adalah dianggap sebagai bukti mencukupi bagi isikandungan dokumen tanpa perlu lagi keterangan lanjut. Ini bermakna apabila berlaku pertikaian mengenai perkara-perkara seperti kewujudan, mentafsir isikandungan, dan lain-lain berkaitannya, maka mahkamah akan terus merujuk dokumen itu tanpa perlu lagi mencari dokumen-dokumen atau keterangan-keterangan sokongan lain mengenai hal itu.
            Isu-isu mengenai perkara-perkara berkaitan penwujudan, pengesahan, dan terutamanya mengenai pendaftaran sesuatu surat kuasa wakil telah wujud didalam banyak pertikaian, dimana sebahagian daripadanya diberikan dibawah ini.

            Kes United Malayan Banking Corporation & Bhd. lwn. Official Receiver & Liquidator of Soon Hup Seng Sdn. Bhd. (In liquidation) dan seorang lagi,11 adalah salah satu ke berkaitan perkara di atas. Fakta kes yang releven ialah seperti berikut:

                       Soon Hup Seng Sdn. Bhd. (SHS) meminjam wang daripada UMBC dengan mencagarkan tanah. Cagaran ini didaftarkan dibawah Akta Syarikat, 1965, dan Kanun Tanah Negara, 1965. SHS juga menandatangani satu debentur untuk meminjam RM100,000 lagi daripada bank itu dengan cagaran harta aleh dan takaleh dengan kuasa untuk melantik penerima jika ada kes memerlukannya. Satu pemiutang, iaitu Sin Min Auto Pte. Ltd (SMA) telah mendapat perintah (berkaitan tuntutan hutang) terhadap SHS. SMA telah mengambil prosiding bagi menahan pelaksanaan dan mendapat perintah larangan (urusniaga dan lain-lain) terhadap perintah tersebut. Dalam masa yang sama UMBC telah melantik penerima kepada harta-harta SHS. Pemiutang, iaitu SMA memfail petisyen penggulungan terhadap SMA dan perintah penggulungan telah diperolehi. Pihak SMA menimbulkan, antaranya, isu-isu :
Penerima tidak boleh bertindak atas nama SHS kerana tidak ada surat kuasa wakil yang didaftarkan dibawah Ordinan Surat Kuasa Wakil, 1949.

Peguam SHS pula berhujjah:
                 Bahawa debentur yang memberi kuasa kepada UMBC hendaklah didaftarkan dibawah Ordinan Surat Kuasa Wakil, 1949 sebagai suatu surat kuasa wakil.

Hakim Shankar12 telah merujuk kes Sawman & beberapa lagi lwn. David Trust Ltd. & seorang lagi13 yang telah memutuskan:
                              Bahawa walau penggulungan syarikat akan menafikan hak penerimaan dari mengikat syarikat secara peribadi dengan bertindak sebagai agennya, ia tidak pula memberi kesan kepada kuasanya untuk memegang dan melupuskan harta syarikat yang terkandung dalam debentur termasuk kuasa untuk guna nama syarikat bagi maksud itu dan pelupasan harta syarikat yang dibuat mengikut  ikuiti oleh debentur adalah mengikat syarikat dan sesiapa yang menuntut melaluinya dalam penggulungan itu. Mahkamah juga memutuskan bahawa surat kuasa wakil yang diberi kepada pemegang-pemegang debentur dalam kes itu tidak dibatal oleh penggulungan syarikat

Seterusnya hakim Shankar14 menyebut,
                              “Saya dengan ini memutuskan bahawa melainkan terlebih dahulu didepositkan (disimpan) seperti dinyatakan15 maka ada tidak berkesan bagi mewujudkan suatu kuasa yang sah pada UMBC atau Penerimanya …. Tujuan pendaftaran, antaranya, adalah untuk memberi notis kepada umum mengenai penwujudan suatu hak atau status dan dengan itu meminimakan kemungkinan berlaku frid dan lain-lain kejadian malang yang tidak diingini ….. Apakah tujuan berguna yang dicapai dengan mendaftar …. Dengan Pendaftar Mahkamah? Di England, keperluan pendepositan surat kuasa wakil telah dimansuhkan oleh Akta Surat Kuasa Wakil,1971. Meskipun kita tidak bercadang pergi sejauh itu tetapi nampaknya dalam kes menjadikan Ordinan kita kemaskini ialah dengan membuat pindaan sewajarnya kepada seksyen 4 untuk menjadikannya tidak lagi memerlukan pendaftaran dua kali.16

Bagi maksud perbincangan dibawah seksyen 4 Ordinan (kini Akta) Surat Kuasa Wakil, 1949, hakim Shankar ada mengulas,17
                              “Mujurlah Ordinan berkenaan seperti sedia ada tidak memperuntukkan sebarang had masa untuk pendepositan (penyimpanan) suratcara (yakni surat kuasa wakil atau debentur yang ada kuasa wakil itu) dengan Pendaftar Mahkamah Tinggi. Apabila telah dilakukan, dalam kes ini, Fasal 13 debentur18 berkenaan adalah menjadi efektif sepenuhnya”
Dalam konteks seksyen 4 dan seksyen 6(1)(a)19 Ordinan (Akta) Surat Kuasa Wakil, 1949, hakim Shankar memutuskan seperti berikut20:

                              “Jika debentur ini telah didepositkan (disimpan) dibawah seksyen 4 Ordinan (dan masih belum terlewat untuk melakukannya) maka … ini menjadikan penggulungan (SHS) tidak ada kesan dari segi keesahan Fasal 13 debentur. Fasal ini merujuk kepada kuasa bank (UMBC) dan/atau Penerima untuk memberi kuasa/hak terhadap atau ke atas harta syarikat (SHS) yang ada atas nama syarikat”.

Dalam kes ini Mahkamah21 telah mengarahkan UMBC (pemohon) mematuhi peruntukkan seksyen 4 Ordinan (Akta) Surat Kuasa Wakil, 1949, (yakni mendeposit atau menyimpan dengan Mahkamah) dalam masa 14 hari berkaitan kuasa wakil yang terkandung didalam debentur, dan selepas itu Penerima bebas untuk menjual tanah itu bersekali dengan bangunan di atasnya mengikut terma-terma debentur dan memindahhak ianya kepada pembeli..

            Dalam kontek hubungan surat kuasa wakil (yang telah didepositkan dan didaftarkan) dengan kehendak seksyen 309,22 Kanun Tanah Negara, 1965, pula, hakim Shankar ada menambah,23

                              “Rujukan boleh dibuat dalam konteks seksyen 309, Kanun Tanah Negara, yang menghendaki pindahmilik disertakan bersama dengan satu salinan pejabat surat kuasa wakil”.

Dalam kes T. Nallapiravy dan seorang lagi lwn. Mohadevan dan seorang lagi24 suatu surat kuasa wakil takboleh batal telah tidak didaftarkan serta merta pada masa ianya dibuat, tetapi cuma didaftarkan selepas kematian pembuatnya (yakni pemberi kuasa wakil). Dalam hal ini plaintif menghujjah bahawa surat kuasa wakil itu, oleh kerana tidak didaftarkan dibawah peruntukan seksyen 4, Akta Surat Kuasa Wakil, 1949, sehinggalah ke tarikh pembuatnya mati, maka ianya tidak sah.

Defendan pula menyatakan bahawa seksyen 4 itu tidak mengenakan sebarang had masa dalam mana sesuatu surat kuasa wakil itu mesti didaftarkan dan didepositkan di pejabat Penolong Pendaftar. Hakim Gunn Chit Tuan25 merujuk seksyen 6, Akta Surat Kuasa Wakil, 1949, dan memutuskan bahawa kematian pembuat surat kuasa wakil bagi sesuatu surat kuasa wakil tak boleh batal tidaklah memberi apa-apa kesan kepada surat kuasa wakil itu.26
            Dalam hubungan isu-isu keesahan sesuatu surat kuasa wakil itu, dalam hal pentadbiran tanah, terutama dalam hal pendaftaran transaksi urusniaga misalnya, Das, S.K.27 berpendapat bahawa pihak berkuasa pendaftaran berkenaan hendaklah juga berpuashati bahawa surat kuasa wakil itu belum lagi dibatalkan dan bahawa ianya ada memberi kebenaran kepada transaksi itu dan (pegawai pendaftaran) boleh juga menghendaki bukti bahawa ianya masih berterusan. Berkaitan salinan sebenar surat kuasa wakil (dalam kes transaksi berkaitan tanah), menurut Das, S.K. lagi,28 jika belum didepositkan dengan pejabat pendaftaran tanah dalam hubungan dengan lain-lain transaksi tanah sebelum ini, hendaklah diserahantar bersama dengan salinan asal atau salinan pejabat, mengikut mana yang berkenaan, untuk dibuat perbandingan dan disimpan. Surat kuasa wakil asal atau salinan pejabat akan dikembalikan selepas pendaftaran suratcara tersebut dan suatu nota dibuat di atas salinan yang didepositkan dan di atas suratcara yang dikemukakan bahawa surat kuasa wakil itu telah diserahantar bersama suratcara yang dikemukakan.

Perkara-perkara berkaitan prosedur ini, dan hubungannya dengan suratkuasa wakil ada dinyatakan didalam seksyen-seksyen 157A, 157B,29 309, 310 dan 31130 Kanun Tanah Negara, 1965, ...


1       (1978) 2 M.L.J. 119
2       Halbury’s Laws of England, Edisi Ketiga, Vol. 4, di m.s. 492
3       Op. cit. Notakaki 1, di m.s. 120
4       (1988) 2 M.L.J. 403
5       Di m.s. 404. Beliau merujuk Bousted on Agency, Edisi ke 13, di m.s. 65.
6       (1885) 29 Ch. D. 500
7       Seksyen 3(1), Akta Surat Kuasa Wakil, 1949. Lihat LAMPIRAN LIMA buku ini.
8       Lihat LAMPIRAN LIMA.
9       Seksyen 4(2), Akta Surat Kuasa Wakil, 1949.
10     Mengenai amaun, jenis dokumen dan cara bayaran fee, lihat Kaedah-Kaedah-Kaedah Surat Kuasa Wakil (Fee) 1949 (di penghujung LAMPIRAN LIMA buku ini).
11     (1986) 1 M.L.J. 75
12     Ibid. di m.s. 79
13     (1978) 1 All E.R. 616
14     Op. cit. Notakaki 10, di m.s. 81
15     Yakni seperti yang dinyatakan didalam Ordinan (kini Akta) Surat Kuasa Wakil, 1949.
16     Yakni sekali dibawah Akta Syarikat 1965 dan sekali lagi dibawah Akta Surat Kuasa Wakil, 1949
17     Op. cit. Notakaki 13, di m.s. 81
18     Iaitu fasal yang mewujudkan kuasa wakil kepada UMBC
19     Lihat LAMPIRAN LIMA. Seksyen 6(1)(a) adalah mengenai penerusan keesahan dan operasi surat kuasa wakil yang diberi dengan balasan bernilai jika berlaku kematian (termasuk penggulungan), dan lain-lain pemberi kuasa.
20     Op. cit. Notakaki 10, di m.s. 81
21     Ibid., di m.s. 83
22     Lihat LAMPIRAN TUJUH buku ini.
23     Op. cit. Notakaki 10, di m.s. 82
24     (1978) 2 M.L.J. 119
25     Ibid, di m.s. 122
26     Mahkamah tidak membincangkan mengenai yang dihujjahkan berkaitan seksyen 4 itu. Namun berpandukan keputusan kes United Malayan Banking Corporation Bhd. lwn. Official Receiver & Liquidator of Soon Hup Seng Sdn. Bhd. (In liquidation) dan seorang lagi (1986) 1 M.L.J. 75, yang telah dibincangkan sebelum ini, adalah jelas surat kuasa wakil takboleh batal itu dianggap masih sah.
27     Das, S.K., 1963, The Torrens System in Malaysia. Singapore : Malayan Law Journal Ltd., di m.s. 156.
28     Ibid.
29     Lihat LAMPIRAN ENAM buku ini.
30     Lihat LAMPIRAN TUJUH buku ini.



Di atas adalah cabutan daripada Bab 4, Abdul Aziz Hussin. 2004. Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 44-57. Harga RM12.



2 comments:

  1. dalm kes jual beli tanah yang menggunakan Surat Kuasa Wakil,seksyen berapa yang mengatakan bahawa surat kuasa wakil perlu ditandatangani setelah keseluruhan harga jual beli diterima?

    ReplyDelete
  2. dalm kes jual beli tanah yang menggunakan Surat Kuasa Wakil,seksyen berapa yang mengatakan bahawa surat kuasa wakil perlu ditandatangani setelah keseluruhan harga jual beli diterima?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.