Feb 18, 2011

Remidi (Kontrak)

REMIDI
Perkara Am Berkaitan Remidi
“Remidi” (pemulihan) yang dimaksudkan di sini ialah remidi kepada pihak yang terkilan atau teraniya akibat kemungkiran sesuatu kontrak. Apabila berlaku kemungkiran kontrak, maka remedi yang berikut boleh diperolehi atau dilakukan oleh pihak tersebut:
Pertama, enggan meneruskan pelaksanaan yang seterusnya,
Kedua, tindakan mendapatkan ganti rugi,
Ketiga, tindakan terhadap ‘quantum meruit’, dan
Keempat, memohon perintah pelaksanaan spasifik.
Berikut ini dibincangkan keempat-empat remidi tersebut:

Enggan meneruskan pelaksanaan yang seterusnya.
Apabila terjadi kemungkiran kontrak, maka pihak yang teraniaya itu boleh memilih untuk menamatkan (membatalkan) kontrak tersebut dan seterusnya enggan melaksanakan tugas selanjutnya seperti yang diperuntukkan di dalam kontrak. Menurut peruntukan seksyen 76 Akta Kontrak 1950, seseorang yang membatalkan suatu kontrak secara sah adalah berhak untuk mendapat pampasan bagi sebarang kerugian yang dialaminya kerana ketiadaan pemenuhan kontrak itu. Misalan yang diberikan di bawah seksyen 76 adalah seperti berikut:

A seorang penyanyi berkontrak dengan B, seorang pengurus sebuah panggung, untuk menyanyi dipanggungnya dua malam, dalam tiap-tiap minggu selama dua bulan yang berikutnya, dan B sanggup membayar kepada RM100 bagi pertunjukkan tiap-tiap satu malam. Pada malam ke enamnya, A dengan sengaja tidak menghadirkan dirinya di panggung itu dan berikutan darinya B membatalkan kontrak itu. B berhak menuntut pampasan bagi kerugian yang dialaminya kerana ketiadaan pemenuhan kontrak itu.

Tindakan mendapatkan ganti rugi.
Tujuannya ialah untuk membolehkan pihak yang teraniaya, yang rugi akibat kemungkiran kontrak mendapat pampasan. Dengan kata lain, pihak lain memberi kepada pihak yang teraniya sejumlah wang atau meletakkannya pada satu kedudukan kewangan yang sepatutnya diperolehi andai kata kontrak itu tidak dimungkiri.
      Peruntukan seksyen-seksyen 74 dan 75 Akta Kontrak 1950 adalah relevan tentang ganti rugi. Sebelum penulis membincangka lanjut mengenai ganti rugi, berikut ini diperturunkan peruntukan seksyen-seksyen 74 dan 75 tersebut:

74. Pampasan kerana kerugian atau kerosakan akibat dari pecah kontrak
(1)    Bila sesuatu kontrak telah dipecahkan, pihak yang mengalami kerugian akibat dari pemecahan itu adalah berhak mendapat, daripada pihak yang telah memecahkan kontrak itu, pampasan kerana kerugian atau kerosakan yang dialaminya oleh sebab demikian, yang sendirinya timbul dalam keadaan biasa daripada pemecahan sedemikian itu, atau yang diketahui oleh pihak-pihaknya, bila mereka membuat kontrak itu, bahawa mungkin akan berakibat daripada pemecahan itu.
(2)    Pampasan sedemikian itu tidaklah boleh diberi kepada sebarang kerugian yang terpencil dan tak langsung atau kerosakan yang dialami oleh sebab pemecahan itu.
(3)     Bila suatu kewajipan menyerupai apa yang ditimbulkan oleh kontrak telah dikenakan dan tidak ditunaikan, maka sesiapa yang mengalami muzarat kerana kegagalan untuk menunaikannya, adalah berhak untuk mendapat pampasan yang sama daripada pihak yang engkar seolah-olah orang sedemikian itu telah berkontrak untuk menunaikannya dan telah memecahkan kontraknya.

Huraian – Dalam menganggarkan kerugian atau kerosakan yang timbul daripada suatu pemecahan kontrak, cara-cara yang wujud untuk memulihkan kesusahan yang timbul dari ketiadaan perlaksanaan kontrak itu hendaklah diambil perhatian.

Misalan-Misalan
(a)     A berkontrak untuk menjual dan menyerahantarkan  5(1) gantang sendawa kepada B dengan harga tertentu yang harus dibayar semasa penyerahantaran. A mungkir janjinya. B berhak menerima daripada A, sebagai pampasan, sejumlah wang, jika ada dengan mana harga yang dikontrakkan itu terkurang daripada harga yang B mungkin dapat membeli 50 gantang sendawa yang sama mutunya di masa sendawa itu sepatutnya diserahantarkan.
(b)     A menyewa kapal B untuk belayar ke Telok Anson, dan di sana untuk mengisi muatan ke kapal, pada 1hb Januari, yang A akan menyediakan, dan membawa muatan itu ke Port Dickson, di mana tambang akan dibayar semasa penyerahantarannya. Kapal B tidak belayar ke Telok Anson, tetapi A mempunyai peluang untuk mendapat pengangkutan yang sesuai bagi muatan itu dengan syarat-syarat yang sama baiknya dengan syarat-syarat yang dia telah menyewa kapal itu. A sendiri mengambil peluang-peluang itu, tetapi ia diletakkan dalam kesusahan dan perbelanjaan untuk berbuat demikian. A berhak mendapat pampasan daripada B mengenai kesusahan dan perbelanjaan sedemikian itu.
(c)     A berkontrak untuk membeli daripada B 50 gantang beras dengan harga yang ditetapkan, di mana masa tidak ditetapkan bagi penyerahantarannya. A kemudiannya memberitahu B bahawa dia tidak akan menerima beras itu jika B menyerahantarkan kepadanya. B berhak menerima daripada A, secara pampasan, sejumlah wang, jika ada dengan mana harga yang dikontrakkan itu melebihi harga yang B boleh dapat untuk beras itu pada A memberitahu B yang ia tidak akan menerimanya.
(d)     A berkontrak untuk memberli kapal B dengan harga RM60,000, tetapi mungkir menunaikan janjinya. A mestilah membayar kepada B, secara pampasan, jika ada, sejumlah wang dari harga yang dikontrakkan yang melebihi harga yang B boleh dapat untuk kapal itu, pada masa pemecahan janji itu.
(e)     A, tuanpunya sebuah bot, berkontrak dengan B untuk membawa muatan bijih timah ke Singapura, untuk dijual di tempat itu, mulai daripada tarikh tertentu. Kerana sebab-sebab yang bolehelak, bot itu tidak belayar pada masa yang ditetapkan, dengan mana ketibaan muatannya di Singapura telah lewat melebihi masa yang seharusnya ia tiba jika bot itu telah belayar mengikut kontrak. Selepas tarikh itu, dan sebelum ketibaan muatan itu, harga bijih timah telah jatuh. Ukuran bagi pampasan yang kena dibayar kepada B oleh A ialah perbezaan di antara harga yang B boleh dapat bagi muatan itu di Singapura, pada masa ia seharusnya tiba jika dihantar dalam masa yang sepatutnya, dan harga pasarannya pada masa yang ia pada hakikatnya tiba.
(f)      A berkontrak untuk membaiki rumah B dengan cara tertentu, dan telah mendapat bayaran lebih dahulu. A membaiki rumah itu tetapi tidak mengikut kontrak. B berhak mendapat balik daripada A harga untuk membaikinya selaras dengan kontrak itu.
(g)     A berkontrak untuk menyewakan kapalnya kepada B selama setahun daripada 1hb Januari, dengan sewaan tertentu. Disebabkan kenaikan tambang, maka pada 1hb Januari, sewaan yang boleh didapati bagi kapal itu adalah lebih tinggi dari sewaan yang dikontrakkan. A memecahkan janjinya. Dia mestilah membayar kepada B, secara pampasan, sejumlah wang yang sama banyaknya dengan perbezaan di antara bayaran yang dikontrakkan dan bayaran dengan mana B boleh sewa kapal yang serupa bagi satu tahun pada dan mulai dari 1hb Januari.
(h)     A berkontrak untuk membekalkan berisi kepada B sebanyak kuantiti tertentu dengan harga yang ditetapkan, dimana harga itu adalah lebih tinggi daripada harga yang mana A boleh dapat dan serahantarkan besi itu. B mestilah membayar kepada A, secara pampasan, perbezaan di antara harga besi yang dikontrakkan dan jumlah wang dengan mana A boleh dapat dan serahantarkannya.
(i) A menyerahantarkan kepada B seorang pemunggah, sebuah mesin untuk disampaikan tanpa lengah, ke kilang A, dan memberitahu B bahawa kilangnya telah terhenti oleh sebab ketiadaan mesin itu, dan akibatnya, A kehilangan suatu kontrak boleh untung dengan Kerajaan. A adalah berhak mendapat daripada B, secara pampasan, jumlah purata keuntungan yang seharusnya ia boleh dapat jika kilang itu berjalan pada masa penyerahantaran itu dilengahkan, tetapi tidak di atas kerugian yang dialami oleh kerana kehilangan kontrak dengan Kerajaan.
(j)       A, setelah berkontrak dengan B untuk membekalkan B 1,000 tan besi dengan harga RM100 satu tan, yang akan diserahantarkan pada suatu masa yang ditetapkan, berkontrak pula dengan C untuk membeli 1,000 tan besi dengan harga RM80 satu tan, dan memberitahu C bahawa dia berbuat demikian untuk melaksanakan kontraknya dengan B. C gagal melaksanakan kontraknya dengan A, yang tidak boleh dapat bekalan besi lain, dan B, berikutan darinya, sebagai keuntungan yang A mungkin dapat sekiranya ada perlaksanaan kontraknya dengan B.
(k)     A berkontrak dengan B untuk membuat dan menyerahantarkan kepada B sebuah mesin yang tertentu pada satu hari yang ditetapkan. Dengan harga yang ditentukan. A tidak menyerahantarkan mesin itu pada masa yang ditetapkan, dan berikutan darinya, B terpaksa mendapatkan bekalan lain dengan harga yang lebih tinggi daripada harga yang dia seharusnya membayar kepada A, dan dia telah dihalang daripada melaksanakan suatu kontrak yang B telah membuat dengan orang ketiga pada masa kontrak itu dibuat dengan A (tetapi yang belum lagi dikomunikasikan kepada A), dan dia diwajibkan membuat pampasan kerana pecah kontrak itu. A mestilah membayar kepada B, secara pampasan perbezaan di antara harga mesin yang dikontrakkan dan jumlah wang yang telah dibayar oleh B untuk mesin yang lain. Tetapi tidaklah untuk jumlah wang yang dibayar oleh B sebagai pampasan kepada orang ketiga.
(l)       A, seorang tukang rumah, berkontrak untuk mendirikan dan menyudahkan sebuah rumah sebelum 1hb Januari, untuk membolehkan B, memberi possesi rumah itu pada tarikh itu kepada C, dengan siapa B telah berkontrak untuk menyewakannya. A telah diberitahu mengenai adanya kontrak di antara B dan C. A mendirikan rumah itu sebegitu buruk sekali sehingga, sebelum 1hb Januari rumah itu telah roboh dan terpaksa didirikan semula oleh B yang berikutan darinya, telah rugi sewaan yang dia seharusnya menerima daripada C, dan dia adalah terpaksa member pampasan kepada C kerana pemecahan kontraknya. A mestilah membayar pampasan kepada B untuk harga pembinaan semula rumah itu untuk sewaan yang telah rugi, dan untuk pampasan yang telah diberi kepada C.
(m)    A menjual sejenis barang dagangan kepada B, dengan waranti yang ianya adalah mengikut kualiti tertentu, dan B berpegang kepada waranti itu menjualnya pula kepada C dengan waranti yang serupa. Barang-barang itu didapati tidak seperti yang diwarantikan itu, dan B adalah bertanggungan untuk membayar kepada C sejumlah wang secara pampasan. B adalah berhak untuk digantibayar jumlah itu oleh A.
(n)     A berkontrak untuk membayar sejumlah wang kepada B pada suatu hari yang ditetapkan. A tidak membayar wang itu pada hari tersebut. B berikutan dengan ketiadaan penerimaan wang itu pada hari tersebut, tidak boleh membayar hutangnya dan dia ketumparan besar. A tidak bertanggungan membayar kepada B apa-apa kecuali sejumlah wang pokok yang ia berkontrak untuk membayar, bersekali dengan bunga sehingga hari pembayaran.
(o)     A berkontrak untuk menyerahantarkan 50 gantang sendawa kepada B pada 1hb Januari dengan harga tertentu. B kemudiannya, sebelum 1hb Januari berkontrak untuk menjual sendawa itu pula kepada C dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran pada 1hb Januari. A mungkir janjinya. Dalam membuat anggaran mengenai pampasan yang boleh dibayar oleh A kepada B, harga pasaran pada 1hb Januari hendaklah dikira, dan bukannya keuntungan yang mungkin boleh didapati oleh B daripada penjualan kepada C itu.
(p)     A berkontrak untuk menjual dan menyerahantarkan 500 bendela kapas kepada B pada suatu hari yang ditetapkan.A tidak mengetahui langsung tentang cara B menguruskan perniagaanya. A mungkir janjinya dan B tanpa mempunyai kapas, terpaksa menutup kilangnya. A tidak bertanggungjawab kepada B atas kerugian yang dialami oleh B kerana penutupan kilang itu.
(q)     A berkontrak untuk menjual dan menyerahantarkan kepada B pada 1hb Januari kain tertentu yang B bercadang untuk membuat topi jenis tertentu, yang tidak ada permintaan untuknya kecuali dalam musim itu. Kain itu telah tidak diserahantarkan sehingga selepas masa yang ditetapkan, dan terlampau lewat untuk digunakan bagi membuat topi dalam tahun itu, B adalah berhak untuk menerima daripada A secara pampasan, perbezaan di antara harga kain yang dikontrakkan dan harga pasaran pada masa penyerahantaran itu dibuat tetapi bukan keuntungan yang dia jangka boleh dapat dari membuat topi dan tidak juga perbelanjaan yang dia telah membelanjakan untuk persediaan dalam pembuatnya.
(r)      A seorang tuanpunya kapal telah berkontrak dengan B untuk menghantarnya dari Klang ke Sydney dalam kapal A yang belayar pada 1hb Januari, dan B membayar kepada A, secara cengkeram, setengah daripada tambangnya. Kapal itu tidak belayar pada 1hb Januari, dan berikutan darinya, setelah terkandas di Klang untuk beberapa ketika, dan kerana itu telah mengeluarkan perbelanjaan, B meneruskan perjalanannya ke Sydney dengan kapal lain, dan berikutan darinya, tiba di Sydney terlalu lewat, dan telah kerugian sejumlah wang. A adalah bertanggungjawab untuk membayar kepada B cengkeram dengan bunganya, dan perbelanjaan yang dia telah keluarkan oleh sebab terkandasnya dia di Klang dan apa-apa tambang, jika ada, yang telah dibayar kepada kapal yang ke dua yang melebihi apa yang telah dipersetujui untuk kapal yang pertama, tetapi tidak sejumlah wang yang B rugi oleh sebab ketibaannya di Sydney itu terlampau lewat.

75.  Pampasan kerana pecah kontrak dimana penalti ditetapkan.
Bila suatu kontrak telah dipecahkan, jika suatu jumlah telah disebutkan dalam kontrak itu sebagai jumlah yang mesti dibayar jika berlaku pemecahan janji sedemikian, atau jika kontrak itu mengandungi apa-apa penetapan yang lain secara penalti, maka pihak yang mengadu tentang pemecahan itu berhak sama ada kerosakan sebenarnya ataupun kerugian yang disebabkan olehnya telah dibuktikan atau tidak, mendapat daripada pihak yang telah memecahkan kontrak itu pampasan yang munasabah yang tidak melebihi jumlah yang disebutkan itu atau, mengikut mana yang berkenaan, penalti yang telah  ditetapkan untuknya.
Huraian – Sesuatu penetapan bagi bunga dinaikkan daripada tarikh kemungkiran itu boleh dijadikan penetapan secara penalti.
Kecualian – Bila sesiapa membuat sebarang ikat-jamin, pengakuan jamin atau instruman lain yang serupa bentuknya atau dibawah peruntukan mana-mana undang-undang atau dibawah perintah Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan, membuat perbuatan di mana orang ramai adalah terlibat, maka dia adalah bertanggungjawab di atas kemungkinan syarat-syarat dalam mana-mana instrumen, untuk membayar suatu jumlah yang disebut di dalamnya.
Huraian – Seorang yang membuat kontrak dengan Kerajaan tidak semestinya berkewajipan untuk melakukan tugas awam, atau berjanji untuk melakukan sesuatu perbuatan di mana orang ramai adalah terlibat.

Misalan-Misalan
(a)     A berkontrak dengan B untuk membayar RM1,000 kepada B jika dia gagal membayar RM500 kepada B  pada suatu hari tertentu. A gagal membayar RM500 kepada B pada hari itu. B adalah berhak untuk mendapat balik daripada A pampasan, sejumlah yang tidak melebihi RM1,000 sebagaimana Mahkamah menganggapnya munasabah.
(b)     A berkontrak dengan B bahawa jika A mengamal sebagai jurubedah dalam kawasan Calcutta, dia akan membayar RM5,000 kepada B. A beramal sebagai jurubedah di Calcutta. B berhak mendapat pampasan sejumlah yang tidak melebihi RM5,000 sebagaimana Mahkamah menganggapnya munasabah.
(c)     A memberi pengakuan jamin yang mengikatnya dengan penalti sebanyak RM500 untuk menghadiri dalam Mahkamah pada sesuatu hari tertentu. Dia melucutkan pengakuan jaminnya. Dia adalah bertanggungan untuk membayar kesemua penalti itu.
(d)     A memberi kepada B satu bon sebagai bayaran balik sejumlah wang sebanyak RM1,000 dengan bunga atas kadar 12% pada penghujung tempoh 6 bulan, dengan suatu penetapan bahawa, sekiranya dia mungkir, bunga hendaklah dibayar mengikut kadar 75% daripada tarikh kemungkiran itu. Ini adalah suatu penetapan secara penalti dan B hanya berhak untuk mendapatbalik dari A pampasan sejumlah yang Mahkamah menganggapnya munasabah.
(e)     A yang terhutang wang kepada B, seorang peminjam wang, sanggup untuk membayarbalik kepadanya dengan menyerahantarkan kepadanya 10 gantang bijian pada tarikh tertentu, dan menetapkan bahawa dalam keadaan mana dia tidak dapat menyerahantarkan jumlah yang ditentukan itu dalam masa yang ditetapkan, maka dia adalah bertanggungan untuk menyerahantar 20 gantang. Ini adalah suatu penetapan secara penalti, dan B hanyalah berhak untuk mendapat pampasan yang munasabah sekiranya ada pemecahan.
(f)      A memberi kesanggupan untuk membayar balik kepada B satu pinjaman yang berjumlah RM1,000 dengan lima ansuran bulanan yang sama banyaknya dengan penetapan bahawa, jika ada kemungkiran membayar mana-mana ansuran, kesemua jumlah itu hendaklah dibayar. Penetapan itu bukanlah suatu penalti, dan kontrak itu boleh dikuatkuasakan mengikut syarat-syaratnya.
(g)     A berhutang RM100 daripada B dan memberi kepadanya satu bon untuk RM200 yang boleh dibayar dengan lima ansuran tahunan sebanyak RM40, dengan suatu penetapan bahawa, jika dia mungkir membayar mana-mana ansuran, maka kesemua jumlah itu hendaklah dibayar. Ini adalah suatu penetapan secara penalti.

      Sebagai huraiannya, perlulah penulis nyatakan bahawa asas ukuran ganti rugi ialah nilai pelaksanaannya kepada pihak menuntut, bukan kosnya kepada pihak yang dituntut. Contoh pengiraan ganti rugi kemungkiran kontrak membekalkan barang ialah, dapatkan nilai perbezaan antara harga barang itu di pasaran (semasa kemungkiran kontrak itu berlaku) dengan harga kontrak yang asalatau jika harga pasaran sama atau lebih rendah daripada harga kontrak, maka pihak itu cuma berhak mendapat ganti rugi nominal. Terdapat beberapa pengelasan ganti rugi, yang secara umum dijelaskan seperti yang berikut:
          (i)   Ganti rugi am – ganti rugi kewangan yang diarahkan oleh mahkamah apabila terdapat kemungkiran kontrak yang wujud daripada kemungkiran kontrak itu.
          (ii) Ganti rugi khusus – ganti rugi yang bukan semula jadi timbul daripada kemungkiran kontrak. Contohnya kehilangan pendapatan pada masa hadapan, perbelanjaan perubatan, tempat tinggal dan seumpamanya.
          (iii) Ganti rugi nominal – dalam kes seperti ini pihak yang menuntut tidak mengalami sebarang kerugian sebenar, atau tidak dapat dibuktikan amaun sebenar yang ia rugi, maka ganti rugi yang dituntut hanya berbentuk sejumlah bayaran yang cukup sekadar untuk memberitahu bahawa pihak menuntut adalah berhak menuntut, dan memenangi kesnya. Dalam kes Industrial & Agricultural Distribution Sdn Bhd lwn Golden Sands Construction Sdn Bhd[1] mahkamah menekankan betapa pentingnya pihak plaintif, iaitu pihak yang menuntut ganti rugi, membuktikan dia memang mengalami kerugian.
         (iv) Ganti rugi teladan – satu bentuk hukuman terhadap pihak yang dituntut sebagai pengajaran kepadanya. Ganti rugi seperti ini jarang digunakan dalam undang-undang kontrak.
(v) Ganti rugi jumlah yang terlebih dahulu ditentukan[2] – Dalam kes Dunlop Pnuematic Tyre Co. Ltd lwn New Garage and Motor Co Ltd[3] mahkamah menghuraikan maksud “ganti rugi jumlah yang terlebih dahulu ditentukan”, iaitu anggaran awal kerugian sebenar (yang munasabah[4]) yang akan dialami (oleh pihak yang menuntut ganti rugi) yang akan terjadi jika pihak yang satu lagi memungkiri kontrak tersebut.
          (v) Ganti rugi jumlah tak tentu – jumlah ganti rugi akan ditentukan oleh mahkamah selepas kes itu dibicarakan berdasarkan fakta kes.
         (vii) Penalti – penalti juga sejenis ganti rugi yang telah ditentukan dan dipersetujui oleh pihak-pihak semasa membuat kontrak. Jumlah penalti agak besar sedikit daripada ganti rugi biasa, walaupun nilai kerugian sebenarnya tidaklah begitu besar. Namun prinsipnya ialah di Malaysia, jika penaltinya adalah keterlaluan (iaitu amaunnya tidak munasabah) maka mahkamah akan mengetepikan fasal kontrak yang berkaitan, dan tidak akan menguatkuasakannya. Dalam kes Maniam SS lwn Kerajaan Negeri Perak[5], mahkamah tidak lagi membezakan antara penalti dan juga ganti rugi, asalkan amaunnya munasabah[6].
      Perlu juga disebut di sini bahawa pihak yang teraniaya (pihak menuntut) perlu mencuba meminimumkan kerugian yang dialami akibat kemungkiran kontrak itu. Tugas ini dinamakan tugas atau tanggungjawab mengurangi kerugian. Contohnya, jika seorang pekerja dibuang kerja (secara tak sah) oleh majikannya, ia perlu sedaya upaya mencari pekerjaan lain dan tidak seharusnya berdiam diri di rumah. Begitu juga jika seorang pelanggan hotel membatalkan tempahan bilik, maka pengurus hotel itu sudah tentu menyewakan bilik itu kepada pelanggan lain (jika ada). Dalam kes Kabatasan Timber Extraction Co. lwn Chong Fah Shing,[7] A bersetuju membekalkan kayu balak ke kilang R. A telah mengirim sebahagian kayu balak itu, tetapi kayu itu diletak jauh sedikit dari kawasan kilang R. R tidak mahu menerima kayu balak itu kerana katanya A telah memungkiri kontrak. R membeli kayu balak lain dan mendakwa A memungkiri kontrak. Mahkamah menyatakan bahawa A memungkiri kontrak tetapi adalah menjadi tugas R mengurang kerugian. Jadi apa yang perlu dilakukan oleh R ialah menarik kayu-kayu balak tersebut ke kilangnya dan menuntut ganti-rugi, kerana membayar upah menarik kayu balak tersebut.

Tindakan Terhadap ‘Quantum Meruit’.
Dalam kes kemungkiran kontrak, pihak yang teraniaya boleh juga memohon sejumlah bayaran terhadap apa yang telah dilakukannya di dalam kontrak itu yang dikenali sebagai quantum meriut (sejumlah yang perlu diperolehinya). Sebagai contohnya, jika suatu pihak enggan meneruskan sesuatu kontrak, maka pihak yang satu lagi boleh memperolehi bayaran bagi kerja yang telah dilakukannya. Dalam kes Planche lwn Colburn,[8] F bersetuju menulis dalam majalah yang diterbitkan oleh C dengan bayaran $100. P telah menulis sebahagian tetapi C kemudian memberhentikan penerbitan majalah itu. Dalam hal ini mahkamah memutuskan P berhak mendapat bayaran bagi tulisan yang telah dibuatnya itu.


[1] [1993] 3 M.L.J. 433
[2] Lihat peruntukan seksyen 75 Akta Kontrak 1950 yang telah diberikan sebelum ini.
[3] [1915] A.C. 79
[4] Iaitu amaunnya  tidaklah sehingga seolah-oleh menghukum pihak yang satu lagi yang memungkiri kontrak: Wearne Brothers (M) Ltd lwn Jackson [1966] 2 M.L.J. 155
[5] [1957] M.L.J. 75
[6] Perkara yang sama dinyatakan oleh mahkamah dalam kes Wearne Brothers (M) Ltd lwn Jackson [1966] 2 M.L.J. 155
[7] (1969) 2 M.L.J. 6.
[8] (1831) 8 Bing. 14.


Di atas adalah cabutan daripada buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2011. Pengenalan Kepada Undang-undang Kontrak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


Gambar buku edisi terdahulu adalah seperti berikut:


2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.